Saturday, 9 April 2011

Aku-aku. Kau-kau.


...dalam islam, tiada istilah aku-aku, kau-kau...



"Nanti, dah duduk asrama, jangan tak kawan dengan orang lain. Bahaya," itu pesan bonda kepada saya dan saudara kembar saya.

Ketika itu, kami baru sahaja mahu menapakkan kaki memasuki sekolah berasrama penuh ketika di tingkatan 4.

"Kenapa bahaya?" soal saya yang tak memahami.

"Iyalah, kalau kita selalu bersendiri, mudahlah pihak yang jahat 'masuk' line, nanti jadi perkara yang buruk-buruk."


Sabda Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya syaitan itu adalah serigala bagi manusia seperti serigala terhadap kambing. Ia menyerang kambing yang jauh dan memencilkan diri. Maka hindarkanlah dirimu daripada hidup jauh berjauhan, dan hendaklah kamu berjemaah, bersama orang ramai dan melazimkan diri dengan masjid” [Hadith riwayat Ahmad]



"Pihak yang jahat? Syaitan ke? Jin?"

"Pun boleh juga. Mungkin juga manusia lain yang jahat."

"Oo... tapi kami berdua. Bukannya duk sorang-sorang."

"Memanglah kamu sentiasa berdua, kalau kamu tak berkawan sangat dengan orang lain. Orang lain pun akan 'takut' nak berkawan dengan kamu, bimbang tak dilayan. Asyik berkepit aje kamu berdua ni." ujar bonda panjang lebar.

Kami tersengih.

Itulah saya dan saudara kembar saya suatu ketika dahulu. Kami selalu bersama, walaupun kadang-kadang berlainan kelas. Memang sedar jugalah, yang orang lain ala-ala tak berani nak berkawan sangat dengan kami berdua, dek kerana kami sentiasa bersama.

Disebabkan kami mahu cuba 'membuka ruang' agar kawan-kawan lain turut berkawan dengan kami, kami cuba 'merenggangkan' diri antara satu sama lain.

Cuba berjalan seorang diri. Ke kelas, ke dewan makan, ke surau.

Iya. Kami 'tersilap' cara. Tindakan kami yang cuba merenggangkan diri antara satu sama lain dengan harapan agar kami masing-masing mendapat kawan-kawan rapat yang lain, akhirnya hanya menambah kesunyian kepada kekerapan berkeseorangan.

Haha.

Hipotesis awal tertolak.

Akhirnya, kami kembali bersama ke mana sahaja.

Dan kini, memang saya rindu untuk selalu bersama dengannya. Masing-masing berada di bumi orang membawa haluan sendiri. Saya tahu dia sentiasa membaca catatan saya di blog ini. Buat kamu, saya rindu kamu okeh.


***

Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, karena itu damaikanlah antara kedua saudaramu (yang beselisih) dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat.
[surah al-hujurat 49:10]



Menjadi muslim,secara automatiknya, kita tidak bersendirian. Juga tak boleh bersendiri.

Tak boleh juga kita menyendiri tak tentu hala. Iaitu, sengaja bersepi-sepian seorang diri tanpa ada sebab yang jelas lagi munasabah.

Melatih diri untuk selalu menyendiri tanpa tujuan yang jelas, kita hanya menempah bala.

Hidup di zaman selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, mengundang banyak cabaran berbentuk ala-ala millenium.


"Aku buat hal aku, kau setelkan hal kau."

"Mind your own bussiness."

"Kain sendiri rabak, jangan duk usya kain orang boleh?"

"Alaaa... selagi dia tak kacau kita, biarlah dia buat apa pun."

"Kubur kita bukan ke asing-asing?"



Itu antara ayat-ayat yang mudah didengari berkenaan situasi hidup ala-ala nafsi-nafsi.

Menyumbang kepada keruntuhan akhlak.

Meningkatkan ego tak bertempat.

Mendorong hidup kurang bermaruah.

Tolak ke tepi sebentar, perihal kebangkitan ummah.

Selagi mind-set aku-aku, kau-kau ini tak diubah, memang selamanya kita akan berada di takuk yang sama.

Sebagaimana solat berjemaah itu menjadi keutamaan dalam solat fardhu, seperti itu jugalah kita perlu sentiasa bersama-sama dalam kehidupan seharian.

Dalam islam, tiada istilah aku-aku, kau-kau.

Kalau menjaga hal orang lain itu, atau bahasa mudahnya 'busybody', adalah tidak patut,

mana mungkin Rasulullah SAW beratus-ratus kali pergi mengetuk pintu rumah si Abu Jahal, demi mengajaknya kepada islam?

mana mungkin juga perlakuan ithar(melebihkan orang lain) menduduki tempat tertinggi dalam tangga ukhwah?

mana mungkin juga manusia diciptakan hidup di bumi dengan beban galas, melaksanakan tugas khalifah?

Logiknya mudah.

Pabila kita tak peduli dengan hal orang lain, secara automatik, kita tiada rasa tanggungjawab untuk berusaha mengajak orang lain bersama-sama kita menuju syurga.

Begitu.

Kita memang kena ambil tahu tentang orang lain. Lebih-lebih lagi tentang orang yang rapat dengan kita. Kawan-kawan kita. Adik-beradik apatah lagi.

Walaupun kadang-kadang ada orang yang tak suka dengan sikap kita yang ala-ala busybody, kita tetap kena ambil tahu juga perihalnya.

Boleh jadi juga sikap kita yang suka mengambil berat dengan perihal kawan kita, terjemahannya pada dia hanyalah kita ini penyibuk.

Jangan cepat melatah jika ini berlaku.
Mungkin ada cara kita yang tak berapa kena dengan situasi, pemikiran, mahupun penerimaan dia.

Bersabar.
Bermuhasabah lah.

Dan kita, elakkan diri daripada suka buat hal sendiri sahaja.

Hidup hanya untuk diri sendiri?
Tak seronok pun.

Hidup hanya memikirkan hal orang lain dengan mengabaikan diri sendiri?
Diri kita ada hak nya.

Mari.
Kita saling hidup untuk satu sama lain.



Jangan memencilkan diri tanpa sebab yang wajar.

Tak perlu menyendiri atas alasan 'malas bergaul'.

Kurang cemerlang dalam pergaulan?

Kelemahan bersosial jika dibiarkan, dikhuatiri akan membawa kepada kesan yang lebih kronik.

Tak mengapa. Perlahan-lahan lah. Latihlah diri agar selalu menjadi proaktif, bukannya reaktif.



Jangan terlalu suka melakukan hal sendiri-sendiri. Bahaya.

Jangan terlalu tak suka ambil tahu hal orang lain. Pun bahaya.

Samalah tu, tukar ayat je.

Haha.

Jangan sorang-sorang okeh.

No comments: