Sunday, 13 September 2015

Tukar kerja

Aku dah tukar kerja.
Selepas dua tahun lebih terikat kontrak dengan kilang lori.
Alhamdulillah, pengalaman berharga.
Banyak yang belajar,
walau ada sakit dan pahit,
banyak juga yang manisnya.
Antara yang amat berharga untuk aku kenang,
adalah banyak bergaul dengan operator-operator kilang,
belajar tak tinggi mana,
tapi usaha untuk hidup amat menggugah jiwa.
Mereka yang berpendapatan rendah sebegini,
selalu dipandang rendah juga,
tapi aku lihat wajah  mereka jernih,
mungkin dek Hati bersih yang nak menyara keluarga,
mencari rezeki halal.
Selalu redha.
Tawakalnya pasti menjulang petala.
Sungguh aku kagum.
Aku juga melihat permainan golongan atasan,
putarbelit peraturan dan situasi,
semata-mata menjaga perut dan airmuka sendiri.
Sungguh aku benci.

Kini aku sudah bertukar kerja.
Dan kali ini aku memilih untuk berdiam diri.
Lebih mengguna mata dan telinga memerhati.
Cukuplah aku bekerja untuk sekadar mengenali ragam manusia pelbagai gaya,
gaji masuk bulan-bulan.
Iya aku sudah hampir hilang rasa,
pada politik ofis golongan bajet kayangan.

Aku berhajat untuk tukar lagi kerja,
bidang berbeza,
kumpul pengalaman,
sambil membina empayar membuat bisnes.

Sambil kerja makan gaji.
Sampai masa nanti,
aku lakukan bisnes sepenuh masa.
Itu impianku.

Langkah masih jauh,
tapi tapakku sudah bermula.
Doakan aku mampu.
Aku yakin yang aku mampu.
Bisnes lebih menjemput tawakalku pada Tuhan.
Lebih mengajakku berlapang dada,
memberi tanpa mengira.

Harapan ada.
Pasti ada.


-gja-
Tepi Bukit

Wednesday, 22 October 2014

Isteri Orang

Kurang 72 jam dari saat post ini ditulis.

Aku bakal bergelar isteri orang.

Tak pernah terlintas.

Beginilah jalan ceritanya.

Tak pernah terbayang.

Itulah orangnya.


Flashback.
Doa yang diulang tayang.
Tiap waktu selepas solat.

"Ya Allah Ya Tuhanku. Kurniakan aku jodoh  dengan cara yang paling Engkau sukai."

Dan pasti inilah cara yang dah ditetapkan.


Pabila ditanya,

"Mengapa dia?"

Aku hanya membalas dengan senyum.

Pabila disogok kata,

"Kadangkala, kita perlu memilih. Tak salah untuk kau berfikir semula."

Aku tersenyum lagi.
Kali ini nafas dihela.
Jelas, si penanya memang tak mengenali aku.

Pabila diasak soal,

"Apa ada padanya?"

Jawabku, "Bukan apa yang ada padanya. Tapi apa yang jadi padaku setelah dia datang."



***


Aku tenung langit malam.
Dalam-dalam.

"Memilih suami adalah ibarat memilih pintu Syurga."

Terngiang-ngiang pesanan aku pada diri sendiri.
Iya Syurga itu ada harganya.
Kau perlu bersusah payah, berkorban jiwa raga untuk ke SyurgaNya.

Lalu perlahan aku cuba bisikkan pada Hati.
Penuh hati-hati.
Bimbang tak termengerti diri sendiri.

"Untuk Syurga. Pilih yang sukar dibuka kuncinya."

Maka aku pejam mata.
Rapat.
Dengan lafaz basmalah.
Aku terima lamaran itu.

Lalu urusan demi urusan dipermudah Tuhan.

Paling tidak, sehingga saat ini.

Yang bakal terjadi esok lusa.
Hanya berserah padaNya.

"Perkahwinan itu suatu perjudian."
Pesan Bonda berulang kali.

"Jangan fikir banyak sangat. Kadang-kadang kita hanya perlu redah je."
Lagi Bonda ulang.

Telan air liur.

Aku mula menyusun langkah.
Keputusan yang sudah dibuat tak bisa diubah.

Satu-satu aku redah.

Dan tiap satunya Allah permudah.

Allahu...

Tanda apa lagi yang aku mahu untuk keyakinan yang lebih jitu?


Isteri.
Satu gelaran yang penuh bunga-bunga.
Penyeri rumahtangga lah senang kata.
Penyejuk mata pula.

Berat tanggungjawab.
Moga tak dianggap beban.

Tuhan,
bantu aku menjadi isteri dia.


---

Rumah Sewa,
221014

Sunday, 12 October 2014

Kilang lori dan perihal sambung belajar

Kilang lori.

Tempat aku melaksanakan tuntutan kehidupan sehingga kini.

Pada saat awal menyatakan persetujuan untuk menerima kerja ini,
memang aku tak fikir banyak.

Keserabutan dengan presentation final,
juga huru-hara mahu mencari biasiswa buat sambung master.

Itu antara sebab yang buatkan aku terus menerima tawaran kerja dari kilang lori ini.
Panjang ceritanya.

Impian sejak sekolah menengah,
mahu sambung belajar hingga peringkat pHd.
Mahu jadi pensyarah, cerita aku pada semua.
Impian tinggal impian.

Sejurus tamat ijazah sarjana muda (degree),
terus aku melompat masuk ke alam kerja,
sumpah tak pernah terbayang dek mata.

Ingat lagi,
pada waktu awal bulan Februari 2013,
aku memang diserabutkan dengan perihal final presentation,
juga tesis yang menuntut otakku bekerja keras,
tenaga dan masa yang dikerah sebagai pelajar tahun akhir,
memang cukup untuk membuatkan aku gila.

Mujur,
aku masih punya Tuhan,
yang membantuku menamatkan juga status pelajar tahun akhir.

Di celah keserabutan itu,
aku masih tak dapat tawaran biasiswa.
Bagaimana aku bisa sambung belajar (Master) di negara orang?

Bonda di kampung kerap meluahkan rasa risau.
Bagaimana kamu hendak hidup di Jepun tu?
Antara soalan yang kerap ditanya.

Keresahan bonda mendatangkan ketidaktenangan aku.
Lalu aku hantar doa ke petala,
mohon Tuhan lorongkan jalan.

Tolong tenangkan Hati bonda, pintaku dalam sujud.
Saban waktu.

Kembalilah ke tanah tumpah darah, seakan Tuhan membisik jawapan.

Lalu ku putuskan untuk pulang.

Kalau sambung belajar, iya hanya di dalam Malaysia.
Kan masih bisa capai cita-cita, pujukku pada diri.
Sambung belajar adalah cita-citaku dari dulu.

Tapi, keputusan mendadak di masa kritikal sebegitu.
Mana mungkin aku mampu dapat tawaran biasiswa dan tempat sambung belajar dengan segera.
Masa suntuk.
Sudah Februari.
Hujung Mac patut dah balik Malaysia.
Kurang dua bulan untuk aku memastikan diriku tak melepak sahaja selepas pulang ke tanah air.
Nak menganggur di rumah?
Itu tak pernah terbayang di kepala.
Duit.
Aku perlu duit untuk sara hidup.

Lalu aku pun menghantar resume ke beberapa syarikat di Malaysia.
Tak fikir banyak pun.
Main hantar je.
Di fikiran, hanya mahu dapat kerja.
Nak duit. Nak duit. Nak duit.

Takdir Allah Taala,
Aku dapat panggilan temuduga untuk kilang lori ini.
Tak fikir banyak.
Aku redah je.
Temuduga hari jumaat, pukul 9 pagi kalau tak silap.
Khamis malam,
aku naik tren ke rumah junior di Hachioji.
Jumaat pagi, lepas subuh aku terus gerak pergi ke kilang lori,
tempat temuduga.
Dalam tren, kurang dari satu jam,
itulah saatnya aku baru belek internet,
cari tips untuk jawab temuduga.
Gila!
Aku memang tak prepare langsung untuk pergi temuduga.
Dalam masa yang suntuk itu jugalah,
aku tonton youtube,
tentang contoh jawapan bagus untuk temuduga.

Pendek kata,
aku memang tak bersedia langsung untuk temuduga.

Satu jam masa temuduga.
Aku goreng je segala jawapan yang logik.
Muka konfiden tu confirm.

Takdir Allah,
aku dapat juga tawaran kerja di kilang lori ini.

Entah kenapa,
aku terima.

Kontrak kerja dua tahun.

Selamba aku kata setuju.

Konon nak biasakan diri dengan suasana Malaysia,
sempatlah untuk buat rancangan masa depan.
Iyalah kan, planning hidup aku tiba-tiba berubah bila aku tiba-tiba putuskan untuk kerja.
Padahal selama ni dalam kepala set untuk sambung belajar.

Eh, mana ada lupa cita-cita.

Waktu temuduga,
memang aku dah maklumkan pada si penemuduga,
big boss kilang, big boss production, juga big boss HR.
Aku mahu hanya kerja dalam office hour,
dan jangan ganggu hujung minggu.
Ok.
Kata mereka.

Dalam surat tawaran pun ada tertulis begitu.
Itulah sebab kenapa aku tak fikir panjang,
terus terima tawaran kerja ni.

Oh...
Mahu hanya kerja office-hour,
dan jangan ganggu hujung minggu.
Itu bertujuan untuk aku punya masa sendiri,
untuk sambung belajar.
Aku mahu ambil kelas di hujung minggu.
Belajar sambil kerja.
Janjiku pada diri.

Tapi kini.
Pukul 730am selalunya aku sudah terpacak di kilang.
Pulang malam pukul 800pm dikira seronok.
Kerja Sabtu adalah normal.
Kerja Ahad pun tak ada hal.

Entah ke mana hilang cita-citaku untuk sambung belajar.

Hilang.


---


Malam Ahad.
Tak boleh tidur.
Bai.
0218am waktu Jepun.
12/10/2014.





Sunday, 15 June 2014

Hilang hidup

Kadang-kadang,

aku rasa macam dah hilang hidup.

Jam 730pagi sudah terpacak di kilang.

Jam 730malam, kalau sudah menjejak rumah,
akulah manusia yang paling gembira.

Macam nak lompat-lompat pun ada.

Hidup macam hilang.

Sekejap.

Atau diri aku yang sudah hilang?

Tenggelam dengan suasana sekeliling.

Entah.
Aku tak dapat fikir.
Macam tak mahu nak fikir.

Redah.

Redha.

Dua kata kunci,
yang memungkinkan aku untuk terus melangkahkan kaki.

Monday, 9 December 2013

Salahkah aku?

Salahkah aku mahu menjadi baik?

Salahkah aku yang cuba menjadi solehah?

Kau umpama menidakkan kemanusiaan aku,
pabila mengharapkan aku untuk terus sempurna tanpa cela.

Aku juga manusia,
jangan lupa itu.

Salahkah aku cuba mengenal Tuhan?

Salahkah aku yang cuba merangkak keluar dari gelita,
cuba mengejar cahaya yang aku percaya ada?

Kau tak pernah cuba tahu,
bagaimana kegelapan itu menghantui aku.

Salahkah aku berbuat salah?

Kau umpama menafikan kemanusiaan aku,
pabila tersenyum akan kesalahan aku.

Tegurlah aku,
andai aku tersalah laku.

Nasihati aku,
andai aku terlajak kata.

Salahkah aku yang cuba berpakaian labuh dan longgar?

Salahkah aku yang cuba meraikan rasa malu pemberian Tuhan?

Salahkah aku yang cuba berasa izzah dengan kemuliaan yang dijanjikan Tuhan buat wanita yang memelihara dirinya?

Menjadi wanita di zaman ini,
tak pernah aku rasa mudah.

Salahkah aku cuba menjaga diri?

'Orang Baik' yang kau labelkan padaku,
tak pernah menjadi syarat untuk aku tetap berbuat perkara yang betul setiap masa.

Aku juga manusia,
jangan lupa itu.

Apa kau fikir,
wanita berpakaian labuh dan longgar itu sudah pasti ahli Syurga?
Sehinggakan kau berasa jelek akan kesalahan yang diperbuatnya.

"Takkanlah ahli Syurga duk buat perangai pelik yang tak elok gitu?"

Seumpama terngiang-ngiang suara kau menjerit sebegitu.

Wahai teman...

Khabarkan pada aku,
andai aku tersalah.

Jangan hakimi aku,
jangan pernah kau cuba menilai aku.

Kau tak pernah berjalan dengan kasutku,
mana mungkin kau faham kesakitan yang aku rasa sepanjang perjalanan hidupku.

Kalaupun kau pernah menyarung kasutku,
kau takkan pernah mengerti wahai teman.

Kerana gerak langkah kaki kita berbeza.

Ia takkan pernah sama.

Aku juga manusia.
Jangan lupa itu.

---

Nota Alas : Lalu aku memilih untuk menulis, kerana aku tahu kau akan baca.

Nota Tapak : Maafkan aku, kerna aku lahir berpakejkan sifat-tak-pernah-sempurna.


---

Tuhan,
jadikan aku manusia berhikmah.

Di saat maruah perempuan seolah di tapak kaki,
jadikan aku bidadari.




Jiwa Yang Hidup

Jiwa yang hidup,
adalah yang segar lagi menyegarkan.

Betapa hidup jiwanya,
hingga tempiasnya naik ke muka.

Kiri kanan manusia seronok dan teruja pabila bersamanya.

Jiwa yang hidup,
adalah yang berasa resah bila terbuat dosa.

Itu tanda hati sedang berinteraksi dengannya.

Makan minumnya dijaga semampunya.
Akan jadi darah daging,
berulang kali dia mengingatkan diri.

Jiwa yang hidup,
adalah yang sentiasa merasakan kehadiran Tuhan.

Bukankah kita hidup di dunia ini,
untuk menggalas gelaran 'hamba'?

"Wahai orang-orang yang beriman! Penuhilah seruan Allah dan Rasul, apabila dia menyerumu kepada sesuatu yang memberi KEHIDUPAN kepadamu, dan ketahuilah bahwa sesungguhnya Allah membatasi antara manusia dan hatinya dan sesungguhnya kepadaNyalah kamu akan dikumpulkan."
[Al-Anfal 8: 24]

---

Maka merugilah mereka,

yang tak mengendahkan ajakan,

yang mampu menghidupkan jiwanya.

Dia sudah mati,
sebelum Mati.


---

Nota : Disalintampal dari mukabuku milik peribadi. Sudah dibilang, post-post tertentu sedang dikumpulkan semula di blog usang ini.

Nota juga : Jangan tanya kenapa.

Tuesday, 26 November 2013

Tanah Tumpah Darah

Malaysia.

Aku kira,
selagi hidup dan segala urusan diri sendiri masih haru-biru,
maka ujian datang bertalu-talu.

Tuhan mahu mengajarkan aku,
bahawa hanya Dialah tempat bergantung harap.

Doa.

Iya,
aku belajar tentang doa,
yang memang sebenar senjata.

Tawakal.

Aku makin belajar,
bahawa tawakal itu,
adalah bersedia untuk redha dan tetap sabar,
walau apa yang terjadi,
walau langit runtuh menyembah bumi,
walau bumi merekah terbelah dua,
jiwa aku perlu bersedia,
menerima segala,
tanpa rungut tercela,
tanpa mengeluh hampa.

(';




Monday, 4 November 2013

Sabar

Kebelakangan ini,banyak perkara yang tak terjangka,terjadi.

Satu persatu.Cukup membuatkan aku terkebil-kebil.

Entah bagaimana,ada kekuatan yang membuatkan aku tak mudah goyah,tak melatah.

Entah dari mana,ada rasa tenang yang mendamaikan jiwa,mendekatkan aku pada Sang Pencipta.

Tipu.

Tipulah andai aku langsung tak terganggu,dek dugaan bertalu-talu,satu persatu.

Cuma,cumalah aku rasa kebersamaan Tuhan.

Itu sahaja.

---

Sebagaimana 313 ahli Badar itu,dicukupkan keperluannya di medan perang.1000 kuffar dikalahkan. Satu nisbah tiga. 

Walau ia tak logik dek akal,bagi Tuhan ia cukup mudah. Seakan Tuhan berbicara,"Serahkan urusan kamu kepadaku. Biar aku yang menguruskan. Cukuplah andai kamu berserah diri." 



---Maka segala yang sedikit di mata kita,serahkanlah kepada Allah.Dia akan mencukupkan.








Aku,
masih lagi belajar,
erti berjiwa besar.



Sunday, 15 September 2013

Senja

Insiden senja.

Allah mengajarkan tentang sabar,
dan kecukupan.

Juga rahsia-rahsia yang belum terbentang.

Sekejap cuma,
tapi menyentap jiwa.

Dalam kebasahan hujan,
aku bersandar di tepi tangga.
Memandang langit yang mendung mengandung hujan.

Titisan hujan yang selalu menggembirakan,
tadi sekadar hiasan alam.

Titisan air mata yang penat bertakung,
sudah pun tertumpah paksa.

Lidah cuba juga mengulang istighfar.

Tapi dengusan nafas terluah juga.

Hampa.

Berjalan pulang meredah hujan.
Kaki dihayun laju,
supaya minda tak terfokus pada rasa sayu.

Langit sudah bertukar warna.

Hitam.

Sang rembulan yang kurang suku penuh.
Seakan menyimpan rahsia,
tak mampu bercerita.

Aku tersenyum dalam hujan.
Istighfar diulang-ulang.
Menyebut nama Tuhan sebanyak mungkin.


Tuhan sedang bertanya,
apa benar doa yang aku pinta,
sama ada memang sebenar pinta,
atau pemanis mulut semata.

Tuhan sedang mengajarkan sesuatu,
naluriku memberitahu.

Aku mengangguk,
seakan setuju.

---
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.

Merajuk.
Nak Tuhan pujuk, boleh?

Membawanya Pulang

Tanah ini menjadi saksi.

Yang tersurat,
dia kembali atas urusan kerja.

Yang tersirat,
dia kembali mengutip serpihan rasa,
yang bertabur tertinggal lara.

Mengumpulkan lalu memeluknya dengan Cinta,
agar ia tak terburai menjadi hampas yang bakal hapak,
dia mahu membawanya pulang.


---

Katanya,
langit di sini masih seperti dulu.
Senjanya tetap memukau.

Katanya lagi,
hujan di sini masih menambat jiwa.
Cantik bertempias ke muka.
Dia suka!


---
Nota tapak : Dia menghitung serpihan rasa yang berjaya dikumpul. Setiap malam cuba mencantum.


(';


Saturday, 14 September 2013

Tenaga yang berpindah

Seperti yang dipelajari dalam kelas fizik.

Tenaga tak dapat dicipta atau dimusnahkan. Cuma bisa dipindahkan.

Ooohh patutlah orang-orang yang sedang marah akan membentak-bentak, menjerit-jerit, mendengus-dengus... suara jadi makin tinggi... mata mencerlang bukan main... macam nak terkam orang...

Ooohhh...
Mereka sedang cuba menyalurkan 'tenaga kemarahan' kepada persekitaran.

Tenaga tak dapat dicipta atau dimusnahkan. Cuma bisa dilemahkan.

Sebab tu... nabi pesan... bila marah, yang berdiri wajarlah duduk, yang duduk usahakanlah untuk berbaring... tak cukup dengan tu, kena ambil wuduk lagi untuk meredakan rasa marah...

'Tenaga kemarahan' tu memang takleh hilang... cuma dapat dilemahkan... disalurkan kepada aura yang lebih baik... sebab yang memuncakkn tenaga kemarahan adalah syaitan dan para pengikutnya... kita lemahkan si geng syaitan dengan mengambil wuduk...

Cantik je islam ajar kita.

Tenaga tak boleh dicipta atau dihapuskan. Ianya akan berjangkit. Yang kita boleh buat hanyalah melemahkan tenaganya sahaja.

---




Nota : Ini petikan daripada post-post lama mukabuku saya. InsyaAllah, akan ada banyak lagi post mukabuku yang bakal diserap masuk ke sini. Sebagai usaha menyimpan post yang memberi kesan kepada diri. 

Nota lagi : Atau lebih jujur, persediaan kepada penyahaktifan akaun mukabuku bila-bila masa. Mungkin. Ia seakan merimaskan. Masih ditimbangtara.



Jangan tanya kenapa.

Friday, 30 August 2013

Satu-satunya pilihan yang aku suka

ialah memilih untuk tetap menapak,
di saat berdiri tegak bukan lagi pilihan jawapan,
sedang menoleh belakang pun dah dihapus jejak.

---


Ini bukan puisi.
-gja-


Thursday, 29 August 2013

Teruslah tersenyum

Allah sedang mengajarkan sabar.

Lalu teruslah tersenyum.

Sedang mereka hairan dengan kau yang masih bisa bertahan dalam situasi begini.

Lalu teruslah tersenyum.

Kau tak sendiri, Tuhan sedang menyertaimu.

Lalu tersenyumlah.

Terus.


---


Aku yakin, Tuhan memang sedang mengajarkan sabar.

-gja-
0255am
Shah Alam

Tolong Doa

Tolong doa.

Mohon doa.

Doakan ya?

Itu antara ayat-ayat penghujung untuk beberapa post di blog pelik ini, akhir-akhir ini.

Para pembaca tegar dan secret admirer (nak perasan sikit--) mesti perasan hal ini kan?

Pemilik nick name 'Aku-bukan-robot' perasan tak hal ni? Kikiki--- (special dedication)

Ehem.

Tak ada apa, saja.

Mengharapkan ada doa daripada hati yang jujur di luar sana. Mana tahu, doa kalian yang Allah angkat ke langit.

Mengenangkan diri sendiri yang masih lagi bergelumang dengan jahiliyah sendiri, membuatkan saya selalu meminta orang lain untuk mendoakan saya.

Orang tua-tua.

Pengemis tepi jalan.

Adik bertudung jual ubat tepi bank.

Pakcik berkopiah jual kereoek di hujung bangunan.

Pakcik mekanik yang namanya seperti ayah saya.

Itu antara orang yang saya minta doanya.

Mak saya selalu pesan, orang yang susah, hidup biasa-biasa tu, selalunya ikhlas. Makcik-makcik cleaner, janganlah kita pandang lekeh je. Orang sebegitu, selalunya buat kerja ikhlas. Hatinya baik.

Itu antara sebab saya suka bersembang dengan makcik dan akak cleaner.

Saya tahu yang akak cleaner yang belum betudung (free hair) di tempat kerja saya, mempunyai seorang anak berusia belasan tahun, yang memasuki sebuah pesantren di Indonesia atas kemahuan sendiri.

Anaknya mahu belajar agama, katanya. Saya mengangguk sahaja.

Akak cleaner ni pernah datang ke Malaysia suatu masa dulu, mula bekerja di Sungai Petani sebagai bibik. Kemudian pulang ke negaranya sebelum datang semula ke Malaysia untuk bekerja sebagai cleaner ditempat kerja saya. Pernah beberapa kali saya terlihat dia sedang berjalan pulang selepas kerja bersama rakan-rakannya yang lelaki. Dia seorang je perempuan? Mesti sunyi ... kesiannya... rasa macam nak jalan sekali... saya bermonolog setiap kali melihatnya berjalan pulang, sedangkan saya naik kereta (tumpang member la tapi) walau rumah dekat tak sampai 10minit je. Cuak kot nak lintas jalan kat area Shah Alam yang banyak kenderaan dan para pemandu gila yang kurang sabar. Ops---

Sedih dan sayu pabila mengetahui dia berusaha mengumpul duit untuk dihantar ke Indonesia buat anaknya yang mahu belajar agama. Beberapa kali dia mengulangi cerita yang sama kepada saya.

Aiseh macam mana boleh termasuk cerita pasal akak cleaner ni....

Kembali ke topik asal.

Tolong doa.

Saya amat memaksudkannya.

Menjangkakan diri sendri sudah membuat persediaan mental fizikal buat menghadapi kehidupan di Malaysia yang dikatakan sungguh realiti itu.

Rupanya saya tersilap perhitungan.

Masih lagi berlaku cultural shock. Ewah--

Betul, tak tipu.

Kejutan budaya di tanah tumpah darah sendiri.

Banyak juga kejutannya.

Masih cuba mencari 'tune' buat mengikut rentak yang sukar difahami.

'Baru nak bernafas....' itu antara ayat saya pabila ditanya 'Amacam hidup di Malaysia?'

Kehkeh.

Sekian bebelan ringkas.

Nak sambung tidur.

Tadi awal sangat terkoma. Penat otak dan badan. Mujur jiwa masih dibelai Tuhan. Sumpah, tak tipu.

Nak senyum boleh?

Nak tidur sikit lagi. Moga boleh bangun dan jadi manusia normal esok. Biological clock tak boleh diganggu. Hoi-- Kang ada kes orang menguap kat ofis.

Makin merepek nampaknya.

Bye.


---

Nak doa lagi tau.

Tuesday, 27 August 2013

Mesir : Ceritalah Lagi, plisss

Ramai yang bertanya,

"Bagaimana kami bisa membantu rakyat Mesir yang ditindas pemerintah sendiri secara terang-terangan?"

"Takkan doa je? Takkanlah infaq duit je? Mesti ada cara lain yang lebih praktikal? I mean, yang menggunakan jiwa raga dan tenaga kami ni?"

"Seriously rasa loser bila hanya mampu geleng kepala sambil istighfar je bila baca cerita pasal Mesir, Syria... Palestin jangan ceritalah, dari dulu lagi tak habis-habis. Kami sedih! Apa yang kami boleh buat?"

Dan tak kurang banyaknya kemunculan pengulas tanpa bayaran di laman mukabuku mahupun laman kicau yang turut rancak bercerita tentang isu-isu sebegini.

Iya, silakan bercerita. Maksud saya, ceritakan yang benar, toksah duk tokok tambah bagi sedap cerita.

At least, wujudkan 'spark' kepada perbualan sesama teman-teman. Laman mukabuku mahupun laman kicau, silakan aja. Kat sekolah ke, universiti ke, tempat kerja ke, dewan makan ke, tepi warung ke.... Tak kesahlah di mana, cubalah timbulkan sedikit cerita mengenai Mesir itu.

Contoh ayat ,

"Korang tahu tak, kenapa ramai orang duk tukar DP jadi simbol jari empat warna kuning?"

"Tadi... i ada scrolldown kat mukabuku, perrrgghhh banyak benor orang duk cerita pasal Mesir. U all tau tak kat Mesir tu kan, ...bla bla bla...."

Gitu~

Anda tak perlu tahu semua cerita dan berita tentang Mesir untuk melayakkan anda bercakap tentangnya. Cukuplah anda tahu siapa As-Sisi, apa yang telah berlaku pada Dr Musri, dan bagaimana keadaan rakyat Mesir ketika ini.

Pokok pangkalnya, kita mahu LEBIH RAAAAAAAAMAAAAAI manusia yang TAHU apa yang sedang berlaku di sana.

Mengapa?

Jawapannya mudah.

Supaya makin ramai yang celik mata!

Bukankah kita dan mereka di Mesir itu, sama-sama manusia?

Atas alasan kemanusiaan pun, kita takkan tergamak membiarkan mereka diperlakukan sedemikian rupa.

Apatah lagi buat kita yang mengucap syahadah yang sama seperti mereka di sana.

Khabarnya, kita dan mereka itu bersaudara. Mana mungkin seseorang saudara itu selamba je membiarkan saudaranya ditembak sesuka hati? Kat Malaysia yang kecoh dengan isu tembak-tembak seumpama dah jadi counter strike pun, kita dah menggelepar tak senang duduk. Opsss....

Kembali ke tema asal.

Berceritalah tentang Mesir kepada teman-teman anda. Seramai yang mungkin. Timbulkan spark je. The rest, suruhlah mereka google sendiri. Zaman kan dah maju. Budak kecik umur 3 tahun pun dah pandai guna internet. Takkan yang dah besor panjang tak reti cari info. Malu la bang. Internet Malaysia takdelah slow sangat. Kalau tak, takdelah budak 3 tahun cukup sabar menunggu video youtube untuk buffer kan?

Kenapa pula kita nak makin ramai yang celik mata?

Begini....

Ada sebuah rumah kondo setinggi 20tingkat.
Penghuninya hidup aman damai lagi harmoni tak terkata.
Tiba-tiba, ada manusia gila yang masuk ke sebuah rumah di tingkat 11, lalu menembak sesuka hati. Oh yaaa, si gila itu turut menghidupkan api lalu membakar rumah di tingkat 7.
Seorang penghuni di tingkat 12 nampak akan kejadian tembak itu, lalu terus update status mukabukunya mengkhabarkan pada rakan-raknnya yang turut menghuni di kondo yang sama.
Salah seorang penghuni lain kondo di tingkat 20, menyedari akan kewujudan kebakaran lalu menjerit 'Apiiii.... Apiiiii....'
Jeritannya didengari oleh seorang penghuni lain di tingkat 13, lalu dia terus menaip status mukabukunya melalu henset touch-screen yang sentiasa ada di tangannya itu. Lama-kelamaan, makin ramai yang menyedari kewujudan si gila yang suka tembak orang sesuka hati dan tindakan jahatnya yang segaja bakor rumah orang. Api yang sudah marak itu perlu dipadam, dan si gila itu patut ditangkap. Jika tidak, tak mustahil semua penghuni kondo itu mati ditembak. Plaing tidak pun, mati kehangusan dibakar api.
 


Okeh itu cerita rekaan.
Tapi logikanya begitulah lebih kurang.

Okai?

Maka berceritalah kepada sahabat handai, saudara mara, mahupun sesama pengunjung psar malam. Sebarkan cerita itu kepada ssesiapa sahaja.

Mana tahu, doa mereka yang Allah angkat ke langit. (pesan seorang teman saya di laman mukabuku)

Gitu.

Itu antara langkah yang boleh diambil untuk membantu mereka yang ditindas di Mesir, dan negara-negara di sekitarnya itu.

Oh yaa....

"Tegakkan islam dalam dirimu, nescaya ia akan tertegak di negerimu."

Ramai yang tahu, tapi rami juga yang buat-buat lupa.

"Kemenangan islam hanya akan dikecapi apabila majoriti manusia di mukabumi ini faham dan amalkan islam sebenar. Zaman yang so-called Ustaziyatul Alam."

Lalu ini kata-kata beliau, suatu masa dahulu. Beliau pernah menyelar pengumpulan angka-angka kosong dalam gerakkerja dakwah.

"Banyak surat telah sampai kepadaku , sama ada dari Morocco , Mesor , Jawa , Iraq dan negara kamu , Palestin . penulis penulisnya mencadangkan supaya diadakan mu'tamar Islam atau melantik seorang khalifah atau perkara perkara yang seumpama dengannya . namun , seperti biasa aku akan menjawab ; kita wajib memulakan usaha membina Islam ini dari bawah . kita wajib mentarbiyah individu " 
-Syakib Arsalan-

Habis cerita.

Nanti bebila rajin, i sambung membebel.

Bye.

---



1) Terkejut membaca perbualan dua orang teman di laman kicau yang saling bertanyakan kenapa ramai orang tukar DP jari 4 warna kuning. Kedua-duanya berbincang tapi tetap tak tahu kenapa. Saya nak gelak pun ada, google je la bro--- Aiseh.... kemudian, muncul seorang teman lain yang mencerahkan pemikiran mereka berdua. Lega...

2) Jom celik mata. Juga mencelikkan.


Wednesday, 14 August 2013

Cerpen : Khabar Dari Langit (Bahagian 3 - akhir)

[Tamu yang berlalu]

Fitrah.
Ia yang datang,
pasti akan pergi.
Ia yang sakan dirai,
kini keharuan ditangisi.
Ramadhan yang pernah bertamu,
kini sudah pun berlalu.

-gjada-



***
Hari ini sudah masuk hari ke-25 purnama Ramadan mampir menjengah penduduk Kampung Biru.

Hari ini panas terik. Sang Suria yang terpacak di atas kepala, galak memancar sinarnya, membahangkan udara bumi.

Wira melangkah perlahan. Hari ini dia berasa begitu letih. Dia tak bangun bersahur pada pagi tadi. Akibatnya, dia terasa amat lapar pada hari ini.

Walaupun dia pernah beberapa kali tidak bersahur, tetapi hari ini dirasakannya amat lemah.

Sesekali Wira mengelap dahinya yang berpeluh dengan belakang tapak tangannya.

Wira menghentikan langkah. Dia memutuskan untuk berehat seketika, menghilangkan lelah di bawah sebatang pohon yang rendang.

Sekilas lalu, Wira mengerling ke arah langit, cuba mengintai Sang Suria yang terik membahang.

Terpalit rasa kagum seketika dengan setianya Sang Suria.

Sang Suria masih tega membahang udara bumi, walau manusia selalu merungut kepanasan.

Sang Suria tetap setia memancar terik, biarpun manusia kerap mengeluh tak tahan dengan kehangatannya.

Terselit rasa kagum pada kepatuhan Sang Suria pada titah Pemilik Cakerawala, walau dikecam manusia dek bahang kepanasannya.

Sejenak, otot mulut Wira naik ke atas, mengguris segaris senyum hambar. 

Wira mengenangkan dirinya yang tak mampu menjadi sepatuh Sang Suria terhadap titah Pemilik Cakerawala.

Wira rasa kerdil.

Lantas, satu keluhan berat dilepaskannya.

Tiba-tiba, kedengaran suatu bunyi dari balik semak, tidak jauh daripada tempat perteduhan Wira.

Wira dilanda hairan. Angin tiada, mengapa pula semak-samun itu bergerak-gerak?

Atas rasa ingin tahu yang meninggi, Wira cuba mendekati semak-samun itu.

Perlahan, Wira mengatur langkah.

Makin dekat Wira menghampiri kawasan semak, makin kuat bau makanan menusuk hidung. Perut Wira makin berlagu riang.

Rasa ingin tahu Wira makin memuncak.

Tiba sahaja di situ, Wira menghendap penuh hati-hati.

Kelihatan tiga kelibat manusia sedang membuat satu bulatan. Makanan di tengah-tengah.

Kening Wira terjungkit sedikit.

Wira cuba mengenalpasti kesemua empunya badan itu.

Matanya membuntang.

Wira kenal akan ketiga-tiga manusia itu. Amat kenal.

“Ini kerja kau orang ya.” Wira berbisik sendiri.

Lantas, seguris senyum sumbing terukir di bibirnya.

Wira merancang sesuatu.

Akal mudanya bekerja nakal.


***


Allahu Akbar. Allahu Akbar.

Takbir bergema memenuhi ruang angkasa.

Tiga puluh hari sudah berlalu.

Purnama Ramadan pergi meninggalkan penduduk Kampung Biru.

Hari ini purnama Syawal tiba menggantikan purnama Ramadan.

Pagi ini, musolla meriah sekali.

Pagi-pagi lagi, musolla dipenuhi oleh para jemaah. Pak Lebai telah mengimamkan solat tambahan dua rakaat sempena hari pertama purnama Syawal.

Wira berasa gembira sepanjang pagi itu. Lama sudah dia menantikan ketibaan purnama Syawal itu. Baris giginya yang teratur kemas itu asyik terpamer dek sengihnya yang tak sudah-sudah.

Dari jauh, Wira melihat satu susuk tubuh yang dikerumuni oleh ramai penduduk Kampung Biru. Susuk tubuh itu berpakaian kuning. Lambang pakaian diraja.

Kelihatan sultan sedang bersalaman dengan penduduk Kampung Biru. Wajahnya kelihatan cukup mesra. Wira senang dengan hal itu.

Selepas itu, para jemaah musolla bersurai meninggalkan musolla, mula menziarahi rumah antara satu sama lain. Kata Pak Lebai, saling mengunjungi rumah sesama kita pada purnama Syawal adalah suatu perbuatan mulia.

Wira membuang pandang ke arah satu sudut lain, di sebelah musolla. Ada satu tanah perkuburan di situ.

Di situ, kelihatan juga beberapa penduduk Kampung Biru yang sedang duduk berteleku membaca surah Yassin, juga meratib doa buat mereka yang telah pergi mendahului kita, selangkah ke hadapan dalam perjalanan menemui Pemilik Cakerawala.

Wira melilaukan matanya meneliti keadaan sekitar tanah perkuburan itu.

Bersih dan kemas kelihatan.

Ketawanya pecah serta-merta. Geli hati.

Jenaka di pagi raya. Kahkahkah…

Tidak dipedulinya orang ramai yang sedang lalu lalang di situ. Wira terasa lucu sendiri.

Kenangan sejak lima hari yang lalu menerpa ke ingatan.

Lima hari yang lalu, Wira menyaksikan kelibat tiga orang yang sedang membuat satu bulatan, dengan makanan di tengah, dalam purnama Ramadan.

Wira telah meninggalkan tempat itu senyap-senyap, dan pergi melaporkan kejadian itu kepada Pak Kasman, selaku pemimpin warga Tua.

Pak Kasman menuruti bersama-sama Pak Jaya dan Pak Selamat ke tempat semak-samun itu. Itupun setelah puas diajak Wira.

Pak Kasman yang melihat peristiwa curi-curi makan oleh tiga orang warga Muda itu, telah mengenakan hukuman kepada ketiga-tiga mereka. Ketiga mereka dikenakan hukuman membersihkan kawasan perkuburan selama lima hari berturut-turut, bermula daripada hari itu hingga ke hari akhir purnama Ramadan.

Ketawa Wira pecah lagi. Terbayang di tubir matanya, melihat tiga orang warga Muda, Kudin, Mamat dan teman rapat mereka iaitu Salim, berpenat lelah membersihkan kawasan tanah perkuburan itu, di bawah terik Sang Suria.

Wira berasa bangga kerana ‘berjasa’.

Terketek-ketek Wira ketawa. Geli hatinya mengenangkan samseng kampungnya terbongkok-bongkok menebas semak-samun di situ.

“Hoi.” Satu suara parau datang menyergah telinga Wira.

Kenangan lima hari lalu yang sedang ‘dinikmatinya’ hilang serta-merta.

Wira berpaling ke belakang, yakni ke arah datangnya suara parau itu.

Kelihatan Kudin, Mamat dan Salim sedang berdiri gagah di belakangnya. Masing-masing kelihatan merah mukanya.

Wira tergamam tanpa kata. Rasa lucunya tadi hilang entah ke mana.

“Kau ingat kami tak tahu ke yang ini semua engkau yang punya angkara?” Kudin bersuara. Nada suaranya meninggi.

“Kau yang lapor hal kami makan pada purnama Ramadan tempoh hari kan?” Kali ini Salim pula melontar kata.

Mamat hanya diam, merenung tajam ke kornea mata Wira. Mahu sahaja diterkamnya Wira itu.

“Cakap banyak tak guna, mari aku ajar orang yang suka menyibuk hal orang lain.” Kudin melaung kata, sambil tangan kanannya diayun pantas menuju muka Wira.

Belum sempat tangannya menjamu muka Wira, tangannya terlebih dahulu ditepis tangkas dari sisi kanannya.

Kelihatan Pak Kasman sedang berdiri tegak di sisinya. Mata Pak Kasman membuntang. Tanda Pak Kasman sedang marah akan peristiwa yang sedang berlaku di hadapan matanya.

Melihatkan hal itu, Kudin berundur beberapa tapak ke belakang. Langkahnya dituruti dua sahabatnya. Menghormati kehadiran Pak Kasman selaku pemimpin warga Tua di situ.

Nyata didikan semenjak kecil iaitu menghormati warga Tua yang disemat utuh dalam jiwa mereka, masih menebal.

Pak Kasman membuang pandang ke arah wajah Wira pula.

“Wira, cepat minta maaf kepada ketiga mereka.” Pak Kasman bersuara tegas.

“Eh?” Wira yang ketakukan sebentar tadi kehairanan.

“Bukan meminta maaf kerana kau yang melaporkan, tetapi kerana kau ketawakan mereka. Tak sepatutnya kau mentertawakan mereka. “ Seakan mengerti apa yang sedang bermain di jiwa Wira, Pak Kasman bersuara memberikan penjelasan.

Kemudian, Pak Kasman memalingkan mukanya ke arah tiga sekawan bergilir-gilir, iaitu  Kudin, Mamat dan Salim pula.

“Kalian juga sama, sila minta maaf kepada Wira.” Nada suara Pak Kasman masih kedengaran tegas, walau ianya disebut secara mendatar.

“Hah?”

Kudin, Mamat dan Salim yang baru sahaja mahu tersenyum bangga kerana menyangkakan Pak Kasman menyebelahi mereka, dilanda kehairanan pula.

“Semua minta maaf.” Pak Kasman berkata lagi.

“Cepat!” Kali ini Pak Kasman meninggikan suaranya.

Pantas, kesemua mereka saling meminta maaf antara satu sama lain.

Hairan, tapi masih patuh.

Geram, tapi terpaksa akur.

Pagi 1 Syawal itu, mereka bersalam-salaman dengan penuh rasa dalam dada. Gejolak jiwa muda tiga sekawan yang mahu menyelesaikan hal mereka dengan Wira menggunakan tangan dan kaki, terpaksa dilupakan begitu sahaja.

Ini semua penangan didikan murni semenjak kecil, iaitu menghormati warga Tua. Biadap itu suatu kehinaan.

Pak Lebai yang memerhati dari jauh, tersenyum penuh makna.

***
“Bapak, mengapa ya, Wira itu masih begitu?” Satu suara lembut menerjah gegendang telinga Pak Lebai.

“Maksud kau?”

“Wira masih tak menampakkan kematangannya. Boleh pula dia mentertawakan tiga sekawan itu.” Laila Sari, anak kepada Pak Lebai bersuara lagi.

Laila Sari, menyatakan rasa tak puas hatinya tentang telatah Wira.

“Jadi, apa yang kau mahu Wira lakukan sebenarnya?” Pak Lebai mudah meneka telatah anak gadisnya yang menaruh hati pada Wira.

“Err…” Laila Sari seolah kehilangan kata.

“Sepatutnya, Wira bersikap matang. Dia seharusnya memaknakan purnama Ramadan yang lalu. Dia tak menghayati kata-kata bapa tentang takwa kepadanya suatu ketika dahulu.” Bertubi-tubi hujah dikeluarkan oleh Laila Sari. Tak tentu buah bicaranya. Ada nada goyah dalam suaranya.

“Oh, nampaknya kau mencuri dengar perbualan antara bapa dengan Wira pada malam itu.”

Laila Sari tersenyum sumbing. Memang benar dia mencuri dengar perbualan mereka pada malam itu.

“Anakku Laila Sari, cukuplah bait-bait kata dari kitab Al-Furqan ini yang menjawab segala persoalan kau itu. Ianya ada pada baris ke-56, surah Al-Qasas.”

‘Sesungguhnya kau tidak akan mampu memberikan hidayah kepada orang yang kau cintai, tetapi Allah lah yang memberikan hidayah kepada sesiapa yang dia kehendaki.’

“Sehebat mana pun seruan kita mengenai ajaran Pemilik Cakerawala ini kepada seseorang, selagi mana hatinya tidak dipilih olehNya untuk menerima hidayah, yakni untuk benar-benar memahami ajaran ini, kita takkan mampu berbuat apa-apa.”

“Seperti kebanyakan warga Muda yang masih diracuni sihir hedonisma itukah bapak?”

“Pemilik Cakerawala akan memilih sesiapa yang dikehendakiNya untuk menerima ajaran ini dengan sebaiknya, dan akan membiarkan sesiapa yang dikehendakiNya untuk terus sesat.” Pak Lebai meneruskan kata-katanya tanpa menjawab soalan anaknya, Laila Sari.

Pak Lebai jeda seketika. Menelan air liur.

Pandangan sarat dengan makna tersirat.

Ada sejuta rasa di sebalik kata-katanya itu.

--TAMAT--
.
1720pm

23 Sya’ban 1432H. 



Untuk yang belum baca.

Bahagian 1 : http://gjada-iniaku.blogspot.com/2013/05/cerpen-khabar-dari-langit-bahagian-i.html
Bahagian 2 : http://gjada-iniaku.blogspot.com/2013/06/cerpen-khabar-dari-langit-bahagian-2.html



---
1) Sudah seminggu Syawal menjengah muka, baru kini saya dapat post ending cerpen ini. Maaf ya. Tak sempat post sebelum Raya. Hihi.

2) Mencari ruang buat bernafas semula. Doakan ya?

(=

Thursday, 1 August 2013

Kasih dan Sayang

Kasih dan sayang.

Itu yang menggerakkan.
Menyemai rasa cinta yang tak terluah dek segala kata.

Sesekali, aku merasakan bahawa dunia ini sudah kehilangan rasa.
Segalanya hanya wayang semata.

Tapi,
ia masih ada.

Aku tahu dan tetap percaya,
bahawa kita masih punya rasa.
Walau sekelumit cuma.

Rasa kasih,
dan sayang.
Itu akan menuntun akhlak kepada yang baik,
sesama manusia.
Lalu menyentuh hati-hati yang dahagakan siraman kasih dan sayang.
Pastinya bisa membawa kepada Tuhan,
Pemilik Segala Kasih Sayang.

Berapa banyak jiwa yang tersentuh dengan akhlak mulia Sang Nabi?

Tapi berapa ramai antara kita yang mencontohi akhlak baginda?

Kasih,
dan sayang.

Ia sukar untuk dicurahkan pada semua.
Lebih-lebih lagi andai ada kisah lama,
yang menuntut kemaafan kita padanya.
Tak.
Bukan tak boleh nak maafkan,
tapi lukanya amat dalam.
Dah.
Sudah pun dijahit.
Tapi mungkin jahitan tak berapa kemas,
hampir-hampir tertetas..

---
Aku,
masih lagi berusaha.
Melihat semua manusia dengan hanya satu pandangan.
Kasih, dilengkapi sayang.

Mohon doa, ya?

Tuesday, 23 July 2013

Pilih Kawan

Walau kita lain warna, saya pilih awak jadi kawan saya! [Kredit]



Kau tahu?
Kawan itu adalah pengaruh besar yang membawa kita ke Syurga,
atau ke neraka.

Percayalah,
dunia ini terlalu kejam dan zalim,
untuk membiarkan manusia yang baik-baik itu untuk sentiasa istiqomah berbuat baik..

Sebaik mana pun akhlak kau,
sebagus mana pun tilawah kau saban hari,
sekuat mana pun kau bangkit bertahajud saban malam,
kau tak boleh jamin tentang istiqomahnya engkau,
melakukan semua itu,
selagi mana kau tak berada dalam suasana yang mengajak kau kepada kebaikan.

Percayalah,
manusia itu fitrahnya mudah terpengaruh.
Fitrah imannya ada turun dan naik.

Antara sebab yang menjauhkan kau daripada Tuhan,
adalah pabila kau mula menjauh,
dari teman-teman yang baik dan membaikkan.
Juga pabila kau tutup pintu hati,
tak mahu dengar sebarang ajakan kebaikan.

Risau.
Risau sangat andai bukan kau sengaja tutup pintu hati,
tapi ia tertutup sendiri,
dek hitamnya hati diselaputi dosa.

Tak.
Takkan kau sedar akan kegelapan hati itu,
sebab kau dah biasa berkeadaan sebegitu.

Sadis kan?
Itu kenyataan yang kau dan aku tak mampu sanggah.

Kau tahu,
apa tanda hati yang hitam dek dosa?
Antara tanda yang mudah dikesan,
pabila kau tak lagi merasakan bahawa dosa itu dosa.

Kau tahu,
apa cara mudah untuk jadi baik?
Pilihlah kawan.
Carilah dan rapatilah kawan yang membuatkan kau teringat akan Tuhan,
tiap kali kau pandang wajahnya.

Kau tahu,
apa cara mudah untuk mengenali diri sendiri?
Perhatikan siapa kawanmu.

Bukan.
Bukan aku yang pesan.
Itu pesanan Rasul Junjungan.
Nabi Muhammad.
Yang kau dan aku bilang sayang.

“Seseorang itu adalah mengikut agama temannya, 
oleh itu hendaklah seseorang itu meneliti siapa yang menjadi temannya."
Ia diriwayatkan oleh Abu Daud.

Lihat.
Buka mata.
Buka Hati.

Kawan kita akan mencerminkan siapa kita..

Sama ada berbau wangian harum,
atau berkongsi hapaknya besi.
Kau dan aku pilih sendiri.

---

Ramadhan sudah di fasa kedua.
Apa khabar kita?

Sudah terkapar tak larat,
atau berkejar menjadi Fastabiqul Khairat.

*Tanda Soal*




Thursday, 18 July 2013

Entah kenapa

Hati selalu sayu tak semena-mena.
Berdebar entah tiba-tiba.
Gembira tak tersangka-sangka.


---
Ramadhan.

(':



Saturday, 22 June 2013

Sireh yang pulang ke gagang.

Yang terakhir buat kali ini. Moga bukan. 





最後の嬉しさとは絶対言えないんだ。


未来の秘密として、前へ進もう。


明日の幸せさを楽しみにしているわ。




2013.6.21

-gjada-


---
Kurang sepuluh jam dari saat ini.
Sireh bakal pulang ke gagang.
Sama ada selamat tiba di destinasi,
atau syahid dijemput Ilahi.

Doakan ya?

(';