[Menunggu Kekasih]
Ramadhan kali ini,
moga aku masih punya nyawa,
tika ia menjengah muka.
Ibarat menunggu kasih,
dari kekasih yang dipuja,
yang entah berkunjung tiba,
atau takkan ada.
-gjada-
02 Jun 2013
***
Purnama
Ramadan tiba juga.
Penduduk
Kampung Biru ramai yang bergembira. Lama benar mereka tidak segembira itu.
Kebanyakan
yang bergembira itu adalah warga Tua.
Warga
Muda di Kampung Biru, kebanyakannya masih lagi terpukau oleh sihir hedonisma
oleh puak Barat.
Mereka
memberontak.
Keraian-keraian
yang membahagiakan hidup mereka selama ini dihentikan sepanjang kehadiran
purnama Ramadan kali ini.
Tiga
puluh hari. Suatu jangka masa yang lama bagi mereka.
Kehendak
jiwa yang minta dituruti, mereka terasa terseksa.
Keinginan
jiwa yang tak dipenuhi, mereka seakan sengsara.
Kudin,
Salim dan Mamat. Mereka antara warga Muda yang memberontak dengan pemberhentian
keraian pada purnama Ramadan itu.
“Baru
beberapa hari purnama Ramadan mampir menjenguk kita, aku sudah kehilangan
tenaga.” Luah Kudin kepada dua sahabatnya itu.
“Sudahlah
kita dilarang untuk makan dan minum, tempat kita meriangkan hati juga ditutup?”
Satu persoalan yang sememangnya tiada jawapan itu dilontarkan Mamat.
“Tiada
lagi nyanyian dan tarian buat penghibur jiwa.” Ujar Mamat lagi. Sedih benar
bunyinya.
“Sultan
benar-benar sudah disihir oleh Pak Lebai. Gila!” bentak Kudin.
“Ishhh…
awas dengan kata-kata kau, Kudin. Cakap siang pandang-pandang, cakap malam
dengar-dengar.” Salim yang sejak awal berdiam diri, kini bersuara.
“Teruk
kau dimarahi oleh warga Tua nanti, andai kata-kata kau itu didengari mereka,”
nasihat Salim selamba.
Huh.
Kudin
mendengus kasar. Kalau tidak kerana menghormati warga Tua yang bermati-matian
menyebelahi Pak Lebai, pasti sudah lunyai Pak Lebai itu dikerjakannya.
Darah
mudanya sudah lama menggelegak.
Sejak
kehadiran warga Tua dari kampung sebelah itu, perangai penduduk Kampung Biru
juga banyak yang berubah.
Entah
sihir apa yang diguna oleh si tua itu. Habis kebahagiaan kita selama ini. Hati
Kudin membentak lagi.
***
Hari
ini, sudah dua pekan penduduk Kampung Biru menyambut ketibaan purnama Ramadan.
Setiap
malam, musolla meriah daripada biasa. Selepas solat isyak didirikan, penduduk
Kampung Biru masih di situ, bangkit melaksanakan solat tambahan sempena
kehadiran purnama Ramadan. Solat tarawih namanya.
Kampung
Biru seolah melalui suatu fasa kedamaian yang sukar dijelaskan oleh logik akal.
Jika
selama ini, purnama Ramadan yang mampir, dibiarkan begitu sahaja, kini ia
disambut penuh kesyukuran.
Seperti
sebuah penantian yang sudah sampai ke penghujung.
Seumpama
kehausan yang sudah dihilangkan.
Seakan
kecintaan yang mendapat sambutan daripada pihak yang satu lagi.
“Inilah
nikmat purnama Ramadan.” Terngiang-ngiang suara garau Pak Lebai itu di telinga
Wira.
Wira
masih ingat akan pertemuannya dengan Pak Lebai pada malam kesebelas purnama
Ramadan.
Wira
sengaja pergi bertemu dengan Pak Lebai, usai solat tambahan tarawih didirikan.
Wira pergi untuk mendapatkan penjelasan.
Sudah
sepuluh hari Wira berpuasa, melaksanakan solat tambahan tarawih pada setiap malam,
namun dia masih tak mengerti, untuk apa dia melakukan semua itu.
Adakah
kerana penduduk Kampung Biru berpuasa, maka dia juga berpuasa?
Apakah
kerana saban malam musolla itu dipenuhi para jemaah, maka dia turut hadir?
Mengikut
aruskah dia?
Wira
bungkam.
Wira
merasakan dirinya seolah-olah suatu mesin yang hanya bekerja, tanpa memahami
sebab mengapa sesuatu kerja itu dilakukannya.
Terbayang
di kepalanya, mesin-mesin yang semuanya dicipta oleh puak Barat, yang kononnya
sudah maju melangkaui zaman. Mesin-mesin itu banyak membantu dalam melaksanakan
tugasan harian manusia seperti Wira. Mesin-mesin itu mendapat arahan daripada
manusia, melalui butang-butang yang ditekan. Mesin-mesin itu patuh sekali
melaksanakan arahan manusia itu. Tapi, mesin itu tak mengerti langsung mengapa
arahan itu diberikan kepadanya.
Tak
letihkah mesin-mesin itu melakukan arahan yang tak putus-putus itu? Sedangkan
Wira merasakan letih melaksanakan rutin puasa semenjak kehadiran hari pertama
purnama Ramadan.
Wira
juga merasakan lelah melaksanakan solat tambahan tarawih saban malam. Solat
wajib lima waktu sehari itu pun dilaksanakan ala kadar sahaja. Acap juga Wira
terlepas untuk solat Subuh dalam waktunya. Wira kerap terlajak tidur.
Sedar-sedar, matahari sudah terpacak di atas kepala.
Wira
bingung dengan persoalan-persoalan tanpa jawapan.
Makin
dibiar, makin terhimpit jiwanya.
Makin
sesak dadanya.
Kerana
itulah dia nekad untuk bertemu dengan Pak Lebai, meminta penjelasan yang
sewajarnya.
“Berpuasa
ketika kehadiran purnama Ramadan ini, telah dilaksanakan oleh manusia beratus
tahun dahulu, bukan kita sahaja.” Begitu jawapan Pak Lebai ketika ditanyakan
sebab mengapa kita berpuasa oleh Wira.
Wira
diam. Dirasakannya Pak Lebai tidak menjawab soalannya, tapi sekadar memberi
satu ilmu baru.
“Tapi
untuk apa?” Wira bersuara.
“Saya
letih dengan persoalan-persoalan tanpa jawapan sebegini.” Wira memuntahkan apa
yang dirasakannya.
Pak
Lebai memandang tepat ke anak mata Wira. Redup sungguh pandangannya. Seketika,
segaris senyum terlihat di bibir Pak Lebai.
Wira
makin hairan. Sudahlah soalannya tidak berjawab, boleh pula senyum sebegitu
sahaja?
“Wira…”
Pak Lebai mula melontar kata. Senyum tadi masih tak lekang di bibirnya.
“Sebagai
penganut ajaran bawaan Si Utusan Cakerawala, segala arahan yang diberikan perlu
dipatuhi tanpa banyak bicara. Kerana kita yakin, Pemilik Cakerawala tahu apa
yang terbaik buat kita.”
“Tapi
ini bukanlah bermakna kita langsung tak boleh bertanya mahupun mempersoalkan
tentang arahan itu, cumanya niat kita perlulah dibetulkan. Maksudnya, ketika
kita bertanya, niat kita itu mestilah untuk lebih memahami ajaran Cakerawala,
bukannya mahu berdebat semata-mata.”
Wira
terdiam.
Pak
Lebai meyambung kata-katanya.
“Berpuasa
sepanjang kehadiran purnama Ramadan, adalah jalan menuju takwa.”
“Sesiapa
yang benar-benar berpuasa dengan sepenuh penghayatan terhadap puasa itu
sendiri, dia akan beroleh takwa.”
“Sebagaimana
yang tercatat dalam kitab Al-Furqan, dalam surah Al-Baqarah, baris ke-183 :
‘Wahai
orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan
atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.’
Hayati
baris itu.”
“Perhatikan
betul-betul bait-bait awal di baris itu. Baris ini ditujukan kepada orang-orang
yang beriman.”
“Hadamkan
pula bait-bait akhir baris ini. Tertulis di situ, agar kamu bertakwa.”
“Baris
ini diturunkan oleh Pemilik Cakerawala khas kepada mereka yang beriman, supaya
mereka beroleh takwa.”
“Apa
pula takwa ini? Mengapa ianya begitu penting bagi mereka yang beriman?”
Soalan
demi soalan dilontarkan oleh Pak Lebai kepada anak muda di hadapannya.. Kali
ini wajah Wira ditatap penuh makna.
Perlahan,
Wira menggelengkan kepalanya, tanda tak mempunyai jawapan.
Wira
bungkam. Dia tak dapat mengaitkan antara orang-orang beriman dengan takwa.
“Anakku…
mari aku kisahkan kau suatu cerita berkenaan takwa. Bukan cerita penglipur
lara, ia kisah sebenar cereka.” Ujar Pak Lebai. Mendatar suaranya.
“Dahulukala,
seorang sahabat Si Utusan Cakerawala, bernama Umar Al-Khattab, atau lebih dikenali sebagai Si Pembeda, pernah bertanya kepada seorang manusia bernama
Ka’ab Bin Malik.
‘Wahai
Ka’ab, apakah itu takwa?’ soal Si Pembeda.
‘Pernahkah
kau berjalan melalui lorong yang dipenuhi duri, wahai Si Pembeda?’ Bukan
jawapan yang diberi Ka’ab, tetapi ditujukan kepada Si Pembeda itu soalan pula.
Selepas
Si Pembeda menjawab pernah, lantas Ka’ab melontarkan soalan lain pula.
‘Kemudian,
apa yang kau lakukan ketika melaluinya?’
‘Aku
akan berjalan dengan penuh hati-hati, dan mengangkat kainku sedikit agar tak
terkoyak dek duri-duri itu.’ Jawab Si Pembeda tangkas.
‘Itulah
dia takwa.’ Ka’ab ‘memulangkan paku buah keras’. Si Pembeda yang menyoal, dan
Si Pembeda yang menjawab sendiri soalannya itu.
Pak
Lebai memandang ke langit malam. Cahaya rembulan di malam kesebelas purnama
Ramadan seolah merestui bicaranya tentang takwa kepada Wira.
“Duhai
anak, takwa itulah yang akan menjadi ‘penjaga’ bagi orang beriman dalam melalui
perjalanan kehidupan ini. Takwa itu akan menyebabkan mereka yang beriman amat
berhati-hati dalam perbuatan, lisan, bahkan hati itu sendiri, daripada
melakukan sesuatu dosa.” Pak Lebai mengulas kisah Ka’ab dan Si Pembeda
berkenaan takwa.
“Dosa
itu akan menjadi penghalang antara kita dengan Pemilik Cakerawala. Walau sekecil
biji sawi, selagimana ia bergelar dosa, ianya akan menyukarkan kita untuk
melaksanakan tugas kita di bumi ini sebagai pemakmur bumi dan abid kepada
Pemilik Cakerawala.”
“Hidup
di dunia ini adalah suatu persinggahan, kerana kita hanyalah pengembara.”
“Kita
mengembara menuju suatu tempat yang kekal abadi, ianya pasti.”
“Dan
purnama Ramadan ini adalah seumpama ruang buat kita mencari bekal yang
sebenar-benarnya. Sebaik-baik bekal yang akan menemani kita untuk terus
berjalan menuju suatu tempat yang abadi.”
“Ketahuilah
wahai anak… sebaik-baik bekal itu ialah takwa.” Pak Lebai menghantar
pandangannya ke wajah seorang warga Muda di hadapannya itu.
Wira
yang sedari tadi diam seribu bahasa, kini bersuara perlahan.
“Sebaik-baik
bekal ialah takwa?” Nyata Wira mengulang ayat Pak Lebai tadi. Cuba mendapatkan
kepastian barangkali.
“Iya
anakku.” Ringkas Pak Lebai menyambut kata-kata Wira.
Tanpa
jeda, Pak Lebai kembali menyambung kata-katanya.
“Pemilik
Cakerawala telah memberitahu kita tentang itu, ianya terpampang utuh dalam
kitab Al-Furqan, pada surah Al-Baqarah, baris yang ke-197 :
‘Dan
berbekallah, kerana sebaik-baik bekal adalah takwa.’ ”
“Hmm…
sebegitu sekali takwa itu penting dalam hidup kita ini ya Pak Lebai?” Wira
bertanya meminta kepastian lagi. Kepala yang tidak gatal itu turut digarunya.
“Benar
anakku. Banyak sekali Pemilik Cakerawala bercerita kepada kita perihal takwa
ini, tetapi aku tak mahu menyatakannya pada malam ini.”
“Nanti
makin sarat otak kau. Dahi kau itu sudah makin berkerut seribu. Mengalahkan aku
yang sudah lebih separuh abad usiaku ini.” Sempat Pak Lebai berseloroh.
Wira
tersengih. Tahu-tahu aja Pak Lebai ini, yang aku sudah rasa berat dengan
perbualan pada malam ini. Bisik Wira dalam hati.
Wira
sebenarnya sedang cuba menghadam setiap patah kata Pak Lebai pada malam itu.
Wira
dapat merasakan bahawa purnama Ramadan ini benar-benar suatu bulan yang penuh
dengan keajaiban.
Tak
lama selepas itu, setelah berterima kasih, Wira meminta izin untuk beransur
pulang daripada teratak buruk milik Pak Lebai yang terletak di tidak jauh dari
musolla itu.
Dan
malam itu, Wira melangkah pulang ke rumahnya dengan seribu satu rasa. Berjuta
cerita.
[Bersambung...]
---
1) Jika diizinkan Tuhan,saya bakal menyambut Ramadhan di tanah air. Tak sabar untuk mendengar laungan azan secara langsung setiap hari. Saya merindukan azan!
2) Menghitung hari menyambut kehadiran Ramadhan, juga detakan nadi menantikan saat sireh pulang ke gagang.
3) Moga kaki masih bisa berlari, atau paling sipi, masih tega berdiri di jalan penuh erti.
No comments:
Post a Comment