Monday 9 December 2013

Salahkah aku?

Salahkah aku mahu menjadi baik?

Salahkah aku yang cuba menjadi solehah?

Kau umpama menidakkan kemanusiaan aku,
pabila mengharapkan aku untuk terus sempurna tanpa cela.

Aku juga manusia,
jangan lupa itu.

Salahkah aku cuba mengenal Tuhan?

Salahkah aku yang cuba merangkak keluar dari gelita,
cuba mengejar cahaya yang aku percaya ada?

Kau tak pernah cuba tahu,
bagaimana kegelapan itu menghantui aku.

Salahkah aku berbuat salah?

Kau umpama menafikan kemanusiaan aku,
pabila tersenyum akan kesalahan aku.

Tegurlah aku,
andai aku tersalah laku.

Nasihati aku,
andai aku terlajak kata.

Salahkah aku yang cuba berpakaian labuh dan longgar?

Salahkah aku yang cuba meraikan rasa malu pemberian Tuhan?

Salahkah aku yang cuba berasa izzah dengan kemuliaan yang dijanjikan Tuhan buat wanita yang memelihara dirinya?

Menjadi wanita di zaman ini,
tak pernah aku rasa mudah.

Salahkah aku cuba menjaga diri?

'Orang Baik' yang kau labelkan padaku,
tak pernah menjadi syarat untuk aku tetap berbuat perkara yang betul setiap masa.

Aku juga manusia,
jangan lupa itu.

Apa kau fikir,
wanita berpakaian labuh dan longgar itu sudah pasti ahli Syurga?
Sehinggakan kau berasa jelek akan kesalahan yang diperbuatnya.

"Takkanlah ahli Syurga duk buat perangai pelik yang tak elok gitu?"

Seumpama terngiang-ngiang suara kau menjerit sebegitu.

Wahai teman...

Khabarkan pada aku,
andai aku tersalah.

Jangan hakimi aku,
jangan pernah kau cuba menilai aku.

Kau tak pernah berjalan dengan kasutku,
mana mungkin kau faham kesakitan yang aku rasa sepanjang perjalanan hidupku.

Kalaupun kau pernah menyarung kasutku,
kau takkan pernah mengerti wahai teman.

Kerana gerak langkah kaki kita berbeza.

Ia takkan pernah sama.

Aku juga manusia.
Jangan lupa itu.

---

Nota Alas : Lalu aku memilih untuk menulis, kerana aku tahu kau akan baca.

Nota Tapak : Maafkan aku, kerna aku lahir berpakejkan sifat-tak-pernah-sempurna.


---

Tuhan,
jadikan aku manusia berhikmah.

Di saat maruah perempuan seolah di tapak kaki,
jadikan aku bidadari.




Jiwa Yang Hidup

Jiwa yang hidup,
adalah yang segar lagi menyegarkan.

Betapa hidup jiwanya,
hingga tempiasnya naik ke muka.

Kiri kanan manusia seronok dan teruja pabila bersamanya.

Jiwa yang hidup,
adalah yang berasa resah bila terbuat dosa.

Itu tanda hati sedang berinteraksi dengannya.

Makan minumnya dijaga semampunya.
Akan jadi darah daging,
berulang kali dia mengingatkan diri.

Jiwa yang hidup,
adalah yang sentiasa merasakan kehadiran Tuhan.

Bukankah kita hidup di dunia ini,
untuk menggalas gelaran 'hamba'?

"Wahai orang-orang yang beriman! Penuhilah seruan Allah dan Rasul, apabila dia menyerumu kepada sesuatu yang memberi KEHIDUPAN kepadamu, dan ketahuilah bahwa sesungguhnya Allah membatasi antara manusia dan hatinya dan sesungguhnya kepadaNyalah kamu akan dikumpulkan."
[Al-Anfal 8: 24]

---

Maka merugilah mereka,

yang tak mengendahkan ajakan,

yang mampu menghidupkan jiwanya.

Dia sudah mati,
sebelum Mati.


---

Nota : Disalintampal dari mukabuku milik peribadi. Sudah dibilang, post-post tertentu sedang dikumpulkan semula di blog usang ini.

Nota juga : Jangan tanya kenapa.