Sunday 28 October 2012

Random 8#

Demi Allah, Tuhan yang Memegang Segala Nyawa,
aku merindui saat-saat terlantar tak mampu bergerak di atas katil hospital,
tak lama dahulu.

Aku merindui saat-saat yang mana,
pengharapan diri benar-benar dihantar menerjah ke petala.

Aku merindui saat ketika doa yang dipinta,
benar-benar menggugah jiwa.

Aku merindui tika masanya,
terasa kematian seolah di hadapan mata.

Allah...

Iya aku 'hebat-berlakon-gagah-segala' ,
kata mereka.

Tapi jiwa yang mudah goyah tak tentu masa,
tak terluah dek bahasa dunia.

Maafkan aku yang seakan sepi.

Blog ini disembunyi seketika sebelum ini.
Terima kasih buat yang bertanya dan peduli.

Sedang mencari ruang buat bernafas segirangnya,
semula.

Doakan ya.

Saat sebegini, aku mendambakan kopi. Anyone?





***

Aku masih mahu berbicara melalui pena,
sekurang-kurangnya buat tatapan sendiri di hari muka.

Friday 12 October 2012

Cukup

Lewat malam ini, melewati bacaan novel yang sudah dibeli sejak bulan Mac yang lalu, pada mukasurat tiga puluh lima, saya menemui ayat sebegini, 

"...siapa saja yang mewakilkan urusannya kepada Tuhan, maka Dia akan 'mencukupkan' semua kebutuhan kita. 'Cukup' kawanku. Itu yang seharusnya kita cari..." [Ranah 3 Warna, karya A. Fuadi]


Ayat ini terlalu mudah untuk difahami oleh mana-mana manusia yang tahu membaca.


Wahwah semangatnya saya ambil gambar, dalam instagram, siap upload dua kali,
satu yang tanpa garis merah, satu lagi sudah bergaris merah. Penegasan gitu. Kehkeh.


Dia yang As-Sami' , sedang cuba menjawab kepada hambaNya yang selalu tak pernah cukup.

Membina qanaah (merasa cukup dengan apa yang ada), tidak pernah mudah.

Daripada Ibn Abbas r.a, Nabi SAW bersabda :
"Seandainya anak Adam diberikan satu lembah emas (pastilah ia merasa tidak cukup bahkan) akan mengharapkan supaya dia memperolehi dua lembah. Seandainya anak Adam memperolehi dua lembah emas (pastilah ia merasa tidak cukup bahkan) akan mengharapkan supaya dia memperolehi tiga lembah. Perut anak Adam tidak akan penuh melainkan diisi dengan tanah." 
[HR Bukhari]


T___T

Allahu Allah.

Sehingga kita mati, barulah kita akan berasa cukup.

Zezaaaasss di tengah malam.

Kahkah.

Friday 5 October 2012

Untuk Kamu

Bismillahi  Arrahman Arrahim

Untuk kamu yang menyinggah ke blog yang tak seberapa ini,
untuk kamu yang menjenguk ke blog yang entah apa-apa ini.

Jika ada apa-apa manfaat yang kamu dapati pada mana-mana tulisan di sini,
itu daripada Tuhan aku dan kamu.

Jika ada sebarang kerutan dahi yang kamu beri ketika membaca mana-mana tulisan di sini,
itu hak kamu.

Jika kamu terjatuh hati akan mana-mana tulisan di sini,
semoga kamu diluruskan hati menuju Tuhan Yang Memegang Jiwa.

Jika kamu terjatuh hati pada si penulis nya,
sesungguhnya saya berlindung kepada Tuhan Yang Maha Segala.

Saya tak kisah, siapa pun kamu.

Nak minta tolong, boleh?

Tolong hormati saya sebagai seorang perempuan,
perempuan muslim,
seorang muslimah.

Itu sahaja.

Boleh?


***

[NOTA]

1) Sebarang cubaan berhubung dengan saya, sila manfaatkan alamat emel yang tertera, dan tulislah dengan  rasa hormat, dan hantar terus kepada saya. Itupun akan dibalas sebaiknya insyaAllah, andai kamu beretika dan tidak biadap.

2) Sebarang cubaan menjejaki siapa saya, lupakan saja. Tak perlu sehingga bertanya kepada Pakcik Google segala. 

3) Pada yang telah mengenali saya, senyum sahaja.

4) Maaf, saya rasa amat tak selesa dan tak selamat sekarang.

5)  Bukan bajet bagus, cuma cuba bertindak lurus.


Tuhan, pelihara aku daripada segala gangguan.

Daripada kalangan jin dan manusia.


#taktumbuhtakmelata
#seriously.i'm.serious


Thursday 4 October 2012

Puisi : Ikhlas

[Ikhlas]

Ibarat semut hitam,
melangkah di atas batu yang hitam,
pada celahan kepekatan malam.

Tak terjulang dengan pujian,
tak tersembam dek kejian.

Tak meningkat seri dengan taburan bunga,
tak merendah sepi dek simbahan tahi.

Agar tiada perubahan nafas,
ketika dunia menghantar balas,
atau mereka beraksi culas,
pada sebarang tindakan bebas,
dalam usaha mendapatkan ikhlas. 

Tuhan,
ajarkan aku,
tentang cara
menjaga HATI.

-gjada-
04/10/2012
Celahan ketenangan Pergunungan Yamanashi

Yang manis itu, bukan hanya gula. Ada rahsia yang mengadun segala.
Hasilnya sebuah kesyukuran. Itulah perihal tarbiyah.
Adunannya bermacam, tapi acuannya satu, itulah Sibghatullah (celupan Allah).