Showing posts with label cerpen. Show all posts
Showing posts with label cerpen. Show all posts

Wednesday, 14 August 2013

Cerpen : Khabar Dari Langit (Bahagian 3 - akhir)

[Tamu yang berlalu]

Fitrah.
Ia yang datang,
pasti akan pergi.
Ia yang sakan dirai,
kini keharuan ditangisi.
Ramadhan yang pernah bertamu,
kini sudah pun berlalu.

-gjada-



***
Hari ini sudah masuk hari ke-25 purnama Ramadan mampir menjengah penduduk Kampung Biru.

Hari ini panas terik. Sang Suria yang terpacak di atas kepala, galak memancar sinarnya, membahangkan udara bumi.

Wira melangkah perlahan. Hari ini dia berasa begitu letih. Dia tak bangun bersahur pada pagi tadi. Akibatnya, dia terasa amat lapar pada hari ini.

Walaupun dia pernah beberapa kali tidak bersahur, tetapi hari ini dirasakannya amat lemah.

Sesekali Wira mengelap dahinya yang berpeluh dengan belakang tapak tangannya.

Wira menghentikan langkah. Dia memutuskan untuk berehat seketika, menghilangkan lelah di bawah sebatang pohon yang rendang.

Sekilas lalu, Wira mengerling ke arah langit, cuba mengintai Sang Suria yang terik membahang.

Terpalit rasa kagum seketika dengan setianya Sang Suria.

Sang Suria masih tega membahang udara bumi, walau manusia selalu merungut kepanasan.

Sang Suria tetap setia memancar terik, biarpun manusia kerap mengeluh tak tahan dengan kehangatannya.

Terselit rasa kagum pada kepatuhan Sang Suria pada titah Pemilik Cakerawala, walau dikecam manusia dek bahang kepanasannya.

Sejenak, otot mulut Wira naik ke atas, mengguris segaris senyum hambar. 

Wira mengenangkan dirinya yang tak mampu menjadi sepatuh Sang Suria terhadap titah Pemilik Cakerawala.

Wira rasa kerdil.

Lantas, satu keluhan berat dilepaskannya.

Tiba-tiba, kedengaran suatu bunyi dari balik semak, tidak jauh daripada tempat perteduhan Wira.

Wira dilanda hairan. Angin tiada, mengapa pula semak-samun itu bergerak-gerak?

Atas rasa ingin tahu yang meninggi, Wira cuba mendekati semak-samun itu.

Perlahan, Wira mengatur langkah.

Makin dekat Wira menghampiri kawasan semak, makin kuat bau makanan menusuk hidung. Perut Wira makin berlagu riang.

Rasa ingin tahu Wira makin memuncak.

Tiba sahaja di situ, Wira menghendap penuh hati-hati.

Kelihatan tiga kelibat manusia sedang membuat satu bulatan. Makanan di tengah-tengah.

Kening Wira terjungkit sedikit.

Wira cuba mengenalpasti kesemua empunya badan itu.

Matanya membuntang.

Wira kenal akan ketiga-tiga manusia itu. Amat kenal.

“Ini kerja kau orang ya.” Wira berbisik sendiri.

Lantas, seguris senyum sumbing terukir di bibirnya.

Wira merancang sesuatu.

Akal mudanya bekerja nakal.


***


Allahu Akbar. Allahu Akbar.

Takbir bergema memenuhi ruang angkasa.

Tiga puluh hari sudah berlalu.

Purnama Ramadan pergi meninggalkan penduduk Kampung Biru.

Hari ini purnama Syawal tiba menggantikan purnama Ramadan.

Pagi ini, musolla meriah sekali.

Pagi-pagi lagi, musolla dipenuhi oleh para jemaah. Pak Lebai telah mengimamkan solat tambahan dua rakaat sempena hari pertama purnama Syawal.

Wira berasa gembira sepanjang pagi itu. Lama sudah dia menantikan ketibaan purnama Syawal itu. Baris giginya yang teratur kemas itu asyik terpamer dek sengihnya yang tak sudah-sudah.

Dari jauh, Wira melihat satu susuk tubuh yang dikerumuni oleh ramai penduduk Kampung Biru. Susuk tubuh itu berpakaian kuning. Lambang pakaian diraja.

Kelihatan sultan sedang bersalaman dengan penduduk Kampung Biru. Wajahnya kelihatan cukup mesra. Wira senang dengan hal itu.

Selepas itu, para jemaah musolla bersurai meninggalkan musolla, mula menziarahi rumah antara satu sama lain. Kata Pak Lebai, saling mengunjungi rumah sesama kita pada purnama Syawal adalah suatu perbuatan mulia.

Wira membuang pandang ke arah satu sudut lain, di sebelah musolla. Ada satu tanah perkuburan di situ.

Di situ, kelihatan juga beberapa penduduk Kampung Biru yang sedang duduk berteleku membaca surah Yassin, juga meratib doa buat mereka yang telah pergi mendahului kita, selangkah ke hadapan dalam perjalanan menemui Pemilik Cakerawala.

Wira melilaukan matanya meneliti keadaan sekitar tanah perkuburan itu.

Bersih dan kemas kelihatan.

Ketawanya pecah serta-merta. Geli hati.

Jenaka di pagi raya. Kahkahkah…

Tidak dipedulinya orang ramai yang sedang lalu lalang di situ. Wira terasa lucu sendiri.

Kenangan sejak lima hari yang lalu menerpa ke ingatan.

Lima hari yang lalu, Wira menyaksikan kelibat tiga orang yang sedang membuat satu bulatan, dengan makanan di tengah, dalam purnama Ramadan.

Wira telah meninggalkan tempat itu senyap-senyap, dan pergi melaporkan kejadian itu kepada Pak Kasman, selaku pemimpin warga Tua.

Pak Kasman menuruti bersama-sama Pak Jaya dan Pak Selamat ke tempat semak-samun itu. Itupun setelah puas diajak Wira.

Pak Kasman yang melihat peristiwa curi-curi makan oleh tiga orang warga Muda itu, telah mengenakan hukuman kepada ketiga-tiga mereka. Ketiga mereka dikenakan hukuman membersihkan kawasan perkuburan selama lima hari berturut-turut, bermula daripada hari itu hingga ke hari akhir purnama Ramadan.

Ketawa Wira pecah lagi. Terbayang di tubir matanya, melihat tiga orang warga Muda, Kudin, Mamat dan teman rapat mereka iaitu Salim, berpenat lelah membersihkan kawasan tanah perkuburan itu, di bawah terik Sang Suria.

Wira berasa bangga kerana ‘berjasa’.

Terketek-ketek Wira ketawa. Geli hatinya mengenangkan samseng kampungnya terbongkok-bongkok menebas semak-samun di situ.

“Hoi.” Satu suara parau datang menyergah telinga Wira.

Kenangan lima hari lalu yang sedang ‘dinikmatinya’ hilang serta-merta.

Wira berpaling ke belakang, yakni ke arah datangnya suara parau itu.

Kelihatan Kudin, Mamat dan Salim sedang berdiri gagah di belakangnya. Masing-masing kelihatan merah mukanya.

Wira tergamam tanpa kata. Rasa lucunya tadi hilang entah ke mana.

“Kau ingat kami tak tahu ke yang ini semua engkau yang punya angkara?” Kudin bersuara. Nada suaranya meninggi.

“Kau yang lapor hal kami makan pada purnama Ramadan tempoh hari kan?” Kali ini Salim pula melontar kata.

Mamat hanya diam, merenung tajam ke kornea mata Wira. Mahu sahaja diterkamnya Wira itu.

“Cakap banyak tak guna, mari aku ajar orang yang suka menyibuk hal orang lain.” Kudin melaung kata, sambil tangan kanannya diayun pantas menuju muka Wira.

Belum sempat tangannya menjamu muka Wira, tangannya terlebih dahulu ditepis tangkas dari sisi kanannya.

Kelihatan Pak Kasman sedang berdiri tegak di sisinya. Mata Pak Kasman membuntang. Tanda Pak Kasman sedang marah akan peristiwa yang sedang berlaku di hadapan matanya.

Melihatkan hal itu, Kudin berundur beberapa tapak ke belakang. Langkahnya dituruti dua sahabatnya. Menghormati kehadiran Pak Kasman selaku pemimpin warga Tua di situ.

Nyata didikan semenjak kecil iaitu menghormati warga Tua yang disemat utuh dalam jiwa mereka, masih menebal.

Pak Kasman membuang pandang ke arah wajah Wira pula.

“Wira, cepat minta maaf kepada ketiga mereka.” Pak Kasman bersuara tegas.

“Eh?” Wira yang ketakukan sebentar tadi kehairanan.

“Bukan meminta maaf kerana kau yang melaporkan, tetapi kerana kau ketawakan mereka. Tak sepatutnya kau mentertawakan mereka. “ Seakan mengerti apa yang sedang bermain di jiwa Wira, Pak Kasman bersuara memberikan penjelasan.

Kemudian, Pak Kasman memalingkan mukanya ke arah tiga sekawan bergilir-gilir, iaitu  Kudin, Mamat dan Salim pula.

“Kalian juga sama, sila minta maaf kepada Wira.” Nada suara Pak Kasman masih kedengaran tegas, walau ianya disebut secara mendatar.

“Hah?”

Kudin, Mamat dan Salim yang baru sahaja mahu tersenyum bangga kerana menyangkakan Pak Kasman menyebelahi mereka, dilanda kehairanan pula.

“Semua minta maaf.” Pak Kasman berkata lagi.

“Cepat!” Kali ini Pak Kasman meninggikan suaranya.

Pantas, kesemua mereka saling meminta maaf antara satu sama lain.

Hairan, tapi masih patuh.

Geram, tapi terpaksa akur.

Pagi 1 Syawal itu, mereka bersalam-salaman dengan penuh rasa dalam dada. Gejolak jiwa muda tiga sekawan yang mahu menyelesaikan hal mereka dengan Wira menggunakan tangan dan kaki, terpaksa dilupakan begitu sahaja.

Ini semua penangan didikan murni semenjak kecil, iaitu menghormati warga Tua. Biadap itu suatu kehinaan.

Pak Lebai yang memerhati dari jauh, tersenyum penuh makna.

***
“Bapak, mengapa ya, Wira itu masih begitu?” Satu suara lembut menerjah gegendang telinga Pak Lebai.

“Maksud kau?”

“Wira masih tak menampakkan kematangannya. Boleh pula dia mentertawakan tiga sekawan itu.” Laila Sari, anak kepada Pak Lebai bersuara lagi.

Laila Sari, menyatakan rasa tak puas hatinya tentang telatah Wira.

“Jadi, apa yang kau mahu Wira lakukan sebenarnya?” Pak Lebai mudah meneka telatah anak gadisnya yang menaruh hati pada Wira.

“Err…” Laila Sari seolah kehilangan kata.

“Sepatutnya, Wira bersikap matang. Dia seharusnya memaknakan purnama Ramadan yang lalu. Dia tak menghayati kata-kata bapa tentang takwa kepadanya suatu ketika dahulu.” Bertubi-tubi hujah dikeluarkan oleh Laila Sari. Tak tentu buah bicaranya. Ada nada goyah dalam suaranya.

“Oh, nampaknya kau mencuri dengar perbualan antara bapa dengan Wira pada malam itu.”

Laila Sari tersenyum sumbing. Memang benar dia mencuri dengar perbualan mereka pada malam itu.

“Anakku Laila Sari, cukuplah bait-bait kata dari kitab Al-Furqan ini yang menjawab segala persoalan kau itu. Ianya ada pada baris ke-56, surah Al-Qasas.”

‘Sesungguhnya kau tidak akan mampu memberikan hidayah kepada orang yang kau cintai, tetapi Allah lah yang memberikan hidayah kepada sesiapa yang dia kehendaki.’

“Sehebat mana pun seruan kita mengenai ajaran Pemilik Cakerawala ini kepada seseorang, selagi mana hatinya tidak dipilih olehNya untuk menerima hidayah, yakni untuk benar-benar memahami ajaran ini, kita takkan mampu berbuat apa-apa.”

“Seperti kebanyakan warga Muda yang masih diracuni sihir hedonisma itukah bapak?”

“Pemilik Cakerawala akan memilih sesiapa yang dikehendakiNya untuk menerima ajaran ini dengan sebaiknya, dan akan membiarkan sesiapa yang dikehendakiNya untuk terus sesat.” Pak Lebai meneruskan kata-katanya tanpa menjawab soalan anaknya, Laila Sari.

Pak Lebai jeda seketika. Menelan air liur.

Pandangan sarat dengan makna tersirat.

Ada sejuta rasa di sebalik kata-katanya itu.

--TAMAT--
.
1720pm

23 Sya’ban 1432H. 



Untuk yang belum baca.

Bahagian 1 : http://gjada-iniaku.blogspot.com/2013/05/cerpen-khabar-dari-langit-bahagian-i.html
Bahagian 2 : http://gjada-iniaku.blogspot.com/2013/06/cerpen-khabar-dari-langit-bahagian-2.html



---
1) Sudah seminggu Syawal menjengah muka, baru kini saya dapat post ending cerpen ini. Maaf ya. Tak sempat post sebelum Raya. Hihi.

2) Mencari ruang buat bernafas semula. Doakan ya?

(=

Sunday, 2 June 2013

Cerpen : Khabar Dari Langit (Bahagian 2)

[Menunggu Kekasih]

Ramadhan kali ini,
moga aku masih punya nyawa,
tika ia menjengah muka.

Ibarat menunggu kasih,
dari kekasih yang dipuja,
yang entah berkunjung tiba,
atau takkan ada.

-gjada-
02 Jun 2013


***

Purnama Ramadan tiba juga.

Penduduk Kampung Biru ramai yang bergembira. Lama benar mereka tidak segembira itu.

Kebanyakan yang bergembira itu adalah warga Tua.

Warga Muda di Kampung Biru, kebanyakannya masih lagi terpukau oleh sihir hedonisma oleh puak Barat.

Mereka memberontak.

Keraian-keraian yang membahagiakan hidup mereka selama ini dihentikan sepanjang kehadiran purnama Ramadan kali ini.

Tiga puluh hari. Suatu jangka masa yang lama bagi mereka.

Kehendak jiwa yang minta dituruti, mereka terasa terseksa.

Keinginan jiwa yang tak dipenuhi, mereka seakan sengsara.

Kudin, Salim dan Mamat. Mereka antara warga Muda yang memberontak dengan pemberhentian keraian pada purnama Ramadan itu.

“Baru beberapa hari purnama Ramadan mampir menjenguk kita, aku sudah kehilangan tenaga.” Luah Kudin kepada dua sahabatnya itu.

“Sudahlah kita dilarang untuk makan dan minum, tempat kita meriangkan hati juga ditutup?” Satu persoalan yang sememangnya tiada jawapan itu dilontarkan Mamat.

“Tiada lagi nyanyian dan tarian buat penghibur jiwa.” Ujar Mamat lagi. Sedih benar bunyinya.

“Sultan benar-benar sudah disihir oleh Pak Lebai. Gila!” bentak Kudin.

“Ishhh… awas dengan kata-kata kau, Kudin. Cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar.” Salim yang sejak awal berdiam diri, kini bersuara.
 
“Teruk kau dimarahi oleh warga Tua nanti, andai kata-kata kau itu didengari mereka,” nasihat Salim selamba.

Huh.

Kudin mendengus kasar. Kalau tidak kerana menghormati warga Tua yang bermati-matian menyebelahi Pak Lebai, pasti sudah lunyai Pak Lebai itu dikerjakannya.

Darah mudanya sudah lama menggelegak.

Sejak kehadiran warga Tua dari kampung sebelah itu, perangai penduduk Kampung Biru juga banyak yang berubah.

Entah sihir apa yang diguna oleh si tua itu. Habis kebahagiaan kita selama ini. Hati Kudin membentak lagi.

***
Hari ini, sudah dua pekan penduduk Kampung Biru menyambut ketibaan purnama Ramadan.

Setiap malam, musolla meriah daripada biasa. Selepas solat isyak didirikan, penduduk Kampung Biru masih di situ, bangkit melaksanakan solat tambahan sempena kehadiran purnama Ramadan. Solat tarawih namanya.

Kampung Biru seolah melalui suatu fasa kedamaian yang sukar dijelaskan oleh logik akal.

Jika selama ini, purnama Ramadan yang mampir, dibiarkan begitu sahaja, kini ia disambut penuh kesyukuran.

Seperti sebuah penantian yang sudah sampai ke penghujung.

Seumpama kehausan yang sudah dihilangkan.

Seakan kecintaan yang mendapat sambutan daripada pihak yang satu lagi.

“Inilah nikmat purnama Ramadan.” Terngiang-ngiang suara garau Pak Lebai itu di telinga Wira.

Wira masih ingat akan pertemuannya dengan Pak Lebai pada malam kesebelas purnama Ramadan.

Wira sengaja pergi bertemu dengan Pak Lebai, usai solat tambahan tarawih didirikan. Wira pergi untuk mendapatkan penjelasan.

Sudah sepuluh hari Wira berpuasa, melaksanakan solat tambahan tarawih pada setiap malam, namun dia masih tak mengerti, untuk apa dia melakukan semua itu.

Adakah kerana penduduk Kampung Biru berpuasa, maka dia juga berpuasa?

Apakah kerana saban malam musolla itu dipenuhi para jemaah, maka dia turut hadir?

Mengikut aruskah dia?

Wira bungkam.

Wira merasakan dirinya seolah-olah suatu mesin yang hanya bekerja, tanpa memahami sebab mengapa sesuatu kerja itu dilakukannya.

Terbayang di kepalanya, mesin-mesin yang semuanya dicipta oleh puak Barat, yang kononnya sudah maju melangkaui zaman. Mesin-mesin itu banyak membantu dalam melaksanakan tugasan harian manusia seperti Wira. Mesin-mesin itu mendapat arahan daripada manusia, melalui butang-butang yang ditekan. Mesin-mesin itu patuh sekali melaksanakan arahan manusia itu. Tapi, mesin itu tak mengerti langsung mengapa arahan itu diberikan kepadanya.

Tak letihkah mesin-mesin itu melakukan arahan yang tak putus-putus itu? Sedangkan Wira merasakan letih melaksanakan rutin puasa semenjak kehadiran hari pertama purnama Ramadan.

Wira juga merasakan lelah melaksanakan solat tambahan tarawih saban malam. Solat wajib lima waktu sehari itu pun dilaksanakan ala kadar sahaja. Acap juga Wira terlepas untuk solat Subuh dalam waktunya. Wira kerap terlajak tidur. Sedar-sedar, matahari sudah terpacak di atas kepala.

Wira bingung dengan persoalan-persoalan tanpa jawapan.

Makin dibiar, makin terhimpit jiwanya.

Makin sesak dadanya.

Kerana itulah dia nekad untuk bertemu dengan Pak Lebai, meminta penjelasan yang sewajarnya.

“Berpuasa ketika kehadiran purnama Ramadan ini, telah dilaksanakan oleh manusia beratus tahun dahulu, bukan kita sahaja.” Begitu jawapan Pak Lebai ketika ditanyakan sebab mengapa kita berpuasa oleh Wira.

Wira diam. Dirasakannya Pak Lebai tidak menjawab soalannya, tapi sekadar memberi satu ilmu baru.

“Tapi untuk apa?” Wira bersuara.

“Saya letih dengan persoalan-persoalan tanpa jawapan sebegini.” Wira memuntahkan apa yang dirasakannya.

Pak Lebai memandang tepat ke anak mata Wira. Redup sungguh pandangannya. Seketika, segaris senyum terlihat di bibir Pak Lebai.

Wira makin hairan. Sudahlah soalannya tidak berjawab, boleh pula senyum sebegitu sahaja?

“Wira…” Pak Lebai mula melontar kata. Senyum tadi masih tak lekang di bibirnya.

“Sebagai penganut ajaran bawaan Si Utusan Cakerawala, segala arahan yang diberikan perlu dipatuhi tanpa banyak bicara. Kerana kita yakin, Pemilik Cakerawala tahu apa yang terbaik buat kita.”

“Tapi ini bukanlah bermakna kita langsung tak boleh bertanya mahupun mempersoalkan tentang arahan itu, cumanya niat kita perlulah dibetulkan. Maksudnya, ketika kita bertanya, niat kita itu mestilah untuk lebih memahami ajaran Cakerawala, bukannya mahu berdebat semata-mata.”

Wira terdiam.

Pak Lebai meyambung kata-katanya.

“Berpuasa sepanjang kehadiran purnama Ramadan, adalah jalan menuju takwa.”

“Sesiapa yang benar-benar berpuasa dengan sepenuh penghayatan terhadap puasa itu sendiri, dia akan beroleh takwa.”

“Sebagaimana yang tercatat dalam kitab Al-Furqan, dalam surah Al-Baqarah, baris ke-183 :

‘Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.’

Hayati baris itu.”

“Perhatikan betul-betul bait-bait awal di baris itu. Baris ini ditujukan kepada orang-orang yang beriman.”

“Hadamkan pula bait-bait akhir baris ini. Tertulis di situ, agar kamu bertakwa.”

“Baris ini diturunkan oleh Pemilik Cakerawala khas kepada mereka yang beriman, supaya mereka beroleh takwa.”

“Apa pula takwa ini? Mengapa ianya begitu penting bagi mereka yang beriman?”

Soalan demi soalan dilontarkan oleh Pak Lebai kepada anak muda di hadapannya.. Kali ini wajah Wira ditatap penuh makna.

Perlahan, Wira menggelengkan kepalanya, tanda tak mempunyai jawapan.

Wira bungkam. Dia tak dapat mengaitkan antara orang-orang beriman dengan takwa.

“Anakku… mari aku kisahkan kau suatu cerita berkenaan takwa. Bukan cerita penglipur lara, ia kisah sebenar cereka.” Ujar Pak Lebai. Mendatar suaranya.

“Dahulukala, seorang sahabat Si Utusan Cakerawala, bernama Umar Al-Khattab, atau  lebih dikenali sebagai Si Pembeda,  pernah bertanya kepada seorang manusia bernama Ka’ab Bin Malik.

‘Wahai Ka’ab, apakah itu takwa?’ soal Si Pembeda.

‘Pernahkah kau berjalan melalui lorong yang dipenuhi duri, wahai Si Pembeda?’ Bukan jawapan yang diberi Ka’ab, tetapi ditujukan kepada Si Pembeda itu soalan pula.

Selepas Si Pembeda menjawab pernah, lantas Ka’ab melontarkan soalan lain pula.

‘Kemudian, apa yang kau lakukan ketika melaluinya?’

‘Aku akan berjalan dengan penuh hati-hati, dan mengangkat kainku sedikit agar tak terkoyak dek duri-duri itu.’ Jawab Si Pembeda tangkas.

‘Itulah dia takwa.’ Ka’ab ‘memulangkan paku buah keras’. Si Pembeda yang menyoal, dan Si Pembeda yang menjawab sendiri soalannya itu.

Pak Lebai memandang ke langit malam. Cahaya rembulan di malam kesebelas purnama Ramadan seolah merestui bicaranya tentang takwa kepada Wira.

“Duhai anak, takwa itulah yang akan menjadi ‘penjaga’ bagi orang beriman dalam melalui perjalanan kehidupan ini. Takwa itu akan menyebabkan mereka yang beriman amat berhati-hati dalam perbuatan, lisan, bahkan hati itu sendiri, daripada melakukan sesuatu dosa.” Pak Lebai mengulas kisah Ka’ab dan Si Pembeda berkenaan takwa.

“Dosa itu akan menjadi penghalang antara kita dengan Pemilik Cakerawala. Walau sekecil biji sawi, selagimana ia bergelar dosa, ianya akan menyukarkan kita untuk melaksanakan tugas kita di bumi ini sebagai pemakmur bumi dan abid kepada Pemilik Cakerawala.”

“Hidup di dunia ini adalah suatu persinggahan, kerana kita hanyalah pengembara.”

“Kita mengembara menuju suatu tempat yang kekal abadi, ianya pasti.”

“Dan purnama Ramadan ini adalah seumpama ruang buat kita mencari bekal yang sebenar-benarnya. Sebaik-baik bekal yang akan menemani kita untuk terus berjalan menuju suatu tempat yang abadi.”

“Ketahuilah wahai anak… sebaik-baik bekal itu ialah takwa.” Pak Lebai menghantar pandangannya ke wajah seorang warga Muda di hadapannya itu.

Wira yang sedari tadi diam seribu bahasa, kini bersuara perlahan.

“Sebaik-baik bekal ialah takwa?” Nyata Wira mengulang ayat Pak Lebai tadi. Cuba mendapatkan kepastian barangkali.

“Iya anakku.” Ringkas Pak Lebai menyambut kata-kata Wira.

Tanpa jeda, Pak Lebai kembali menyambung kata-katanya.

“Pemilik Cakerawala telah memberitahu kita tentang itu, ianya terpampang utuh dalam kitab Al-Furqan, pada surah Al-Baqarah, baris yang ke-197 :

‘Dan berbekallah, kerana sebaik-baik bekal adalah takwa.’ ”

“Hmm… sebegitu sekali takwa itu penting dalam hidup kita ini ya Pak Lebai?” Wira bertanya meminta kepastian lagi. Kepala yang tidak gatal itu turut digarunya.

“Benar anakku. Banyak sekali Pemilik Cakerawala bercerita kepada kita perihal takwa ini, tetapi aku tak mahu menyatakannya pada malam ini.”

“Nanti makin sarat otak kau. Dahi kau itu sudah makin berkerut seribu. Mengalahkan aku yang sudah lebih separuh abad usiaku ini.” Sempat Pak Lebai berseloroh.

Wira tersengih. Tahu-tahu aja Pak Lebai ini, yang aku sudah rasa berat dengan perbualan pada malam ini. Bisik Wira dalam hati.

Wira sebenarnya sedang cuba menghadam setiap patah kata Pak Lebai pada malam itu.

Wira dapat merasakan bahawa purnama Ramadan ini benar-benar suatu bulan yang penuh dengan keajaiban.

Tak lama selepas itu, setelah berterima kasih, Wira meminta izin untuk beransur pulang daripada teratak buruk milik Pak Lebai yang terletak di tidak jauh dari musolla itu.

Dan malam itu, Wira melangkah pulang ke rumahnya dengan seribu satu rasa. Berjuta cerita.


[Bersambung...]




---

1) Jika diizinkan Tuhan,saya bakal menyambut Ramadhan di tanah air. Tak sabar untuk mendengar laungan azan secara langsung setiap hari. Saya merindukan azan!

2) Menghitung hari menyambut kehadiran Ramadhan, juga detakan nadi menantikan saat sireh pulang ke gagang.


3) Moga kaki masih bisa berlari, atau paling sipi, masih tega berdiri di jalan penuh erti.

Sunday, 19 May 2013

Cerpen : Khabar Dari Langit (Bahagian I)


Langit itu,
tak pernah berganjak,
tidak pula roboh,
teguh.
Setia benar pada Khaliqnya.

Langit itu,
kerap menjadi saksi,
segala perlakuan seisi bumi,
yang taat lagi  menghidupkan dinihari.
mahupun yang penuh dosa keji.

Seakan mengerti,
jutaan jiwa menanti ia terbuka,
luas yang menghantar bahagia,
ibarat merasai tempias dari Syurga.

Moga terangkat segala doa,
saban waktu ditujah ke petala.

Moga rahmat turun mencurah ke bumi,
agar terbasuh segala hati yang berdaki.

Moga sempat menjengah ke Ramadhan,
pada sisa usia yang berbaki. 

-gjada-
19/05/2013


---
[Khabar Dari Langit]


“Pintu langit bakal dibuka!”

“Pintu langit akan terbuka!”

“ Ia terbuka seluas-luasnya!”

Begitu teriak ahli qariah musolla, yang menjadi wakil pihak istana, jurucakap bagi pihak sultan. Petang itu, ahli qariah musolla itu mampir ke pertengahan kawasan Kampung Biru, bagi membuat satu pengumuman penting lagi hebat, dengar khabarnya. Ahli qariah musolla itu turut menghebahkan titah sultan yang menyebut tentang larangan bagi sebarang bentuk keraian-keraian berunsur hiburan, yang majoritinya berkiblatkan hedonisma iaitu suatu bentuk sihir daripada puak Barat yang bertapak di hati penduduk Kampung Biru, sekian lamanya. Keraian-keraian itu termasuklah, majlis tari-menari, pertandingan beradu suara ‘Siapa merdu’, juga tayangan wayang kulit ‘Kisah cinta kau dan aku’. 

Seluruh Kampung Biru gamat dengan pengumuman daripada wakil pihak istana itu.

Pintu langit bakal dibuka?

Apa yang istimewanya?

Pintu langit akan terbuka?

Apa faedahnya?

Ia terbuka seluasnya?

Mengarut sungguh.

Mengapa pula dilarang segala keraian yang meriangkan hati penduduk Kampung Biru selama ini?

Gila!

Begitulah persoalan dan tohmahan yang berbangkit sejurus pengumuman itu dibuat oleh ahli qariah musolla itu.

“Ini bukan kerja orang lain, pasti ini kerja Pak Lebai yang baru datang itu. Sejak dia mampir ke Kampung Biru, macam-macam perkara baru yang dibawanya. Banyak pula perkara yang dibawanya itu tak masuk akal!” laung seorang penduduk Kampung Biru, yang bertahi lalat di bawah mata, yang berusia lingkungan 20-an.

“Betul. Pak Lebai selalu benar menghasut sultan. Sultan sudah disihirnya!” tambah seorang anak muda berdada bidang. Nada suaranya berbaur geram.

“Aku sokong. Tempoh hari, dikhabarkannya tentang peristiwa Si Utusan Cakerawala yang pernah dibawa naik ke langit, beratus tahun lampau pada malam purnama Rejab, meneroka kehebatan Pemilik Cakerawala, lalu menerima mandat, solat itu perlu dilaksana. Kali ini dikhabarkannya tentang pintu langit yang akan terbuka? Gila!” jerit seorang  anak muda yang memakai celana merah pula.

Keadaan di Kampung Biru pada petang itu semakin gamat seandainya tiada sebarang usaha meredakan suasana. Masing-masing cuba mempersoalkan tentang pengumuman daripada ahli qariah musolla itu.

Tidak puas hati lagaknya.

Kebanyakan mereka terdiri daripada warga Muda.

Tiba-tiba…

“Sabar anak muda. Sabar. Bukankah Si Utusan Cakerawala pernah mengkhabarkan bahawa apabila datang purnama Ramadan, dibukakan pintu langit, dikunci pintu neraka, dan dibelenggu semua syaitan?[HR Bukhari]” satu suara bernada mendatar kedengaran dari belakang. Ternyata ianya suara milik Pak Kasman, seorang warga Tua yang dihormati.

“Sepatutnya seruan dan titah sultan ini kita junjung, selagi mana ianya berlandaskan ajaran daripada Pemilik Cakerawala, yakni apa yang menjadi sembahan Si Utusan Cakerawala yang digelar Al-Amin itu. ” ujar Pak Kasman perlahan. Terpancar aura ketenangan di wajah tua itu.

“Benar kata Pak Kasman. Larangan bagi mengadakan keraian-keraian yang berunsurkan sihir dari puak Barat, yang dipanggil hedonisma itu sepanjang purnama Ramadan adalah amat wajar,” tambah seorang lagi warga Tua, Pak Selamat namanya.

Kudin, anak muda yang memakai celana merah itu mengetap bibirnya. Menahan amarahnya.

Salim, si warga Muda yang bertahi lalat di bawah mata itu, memerah mukanya. Dadanya turun naik, makin geram rasanya.

Begitu juga dengan Mamat, si warga Muda yang berdada bidang. Kedengaran dia mendengus kasar. Menampakkan panas hatinya yang cuba dikambus.

Penduduk Kampung Biru, sama ada warga Muda mahupun warga Tua, yang pada awalnya tadi kelihatan membara-bara semangatnya melontarkan rasa tak puas hati kepada titah sultan itu, mulai senyap. Masing-masing cuba sedaya mungkin menahan rasa itu supaya tidak meletus lagi.

Desah-desah nafas kepanasan kedengaran memenuhi suasana.

Perasaan tidak puas hati mereka tentang titah sultan itu dipendamkan sahaja. Itupun kerana warga Tua sudah bersuara.

Walaupun ada di kalangan warga Tua yang turut berasa tidak puas hati dengan larangan mengadakan sebarang keraian pada purnama Ramadan, mereka hanya diam seribu bahasa. Ini kerana menghormati pemimpin warga Tua itu sendiri yang sudah bersuara, iaitu Pak Kasman.

Itulah keunikan yang dimiliki oleh penduduk Kampung Biru.

Menghormati warga Tua.

Sejahat mana pun mereka, takkan ada yang berani melawan kata-kata warga Tua. Biadap namanya. Sesiapa yang didapati biadap terhadap warga Tua, akan dipandang jelek, bahkan pernah suatu ketika dahulu, ada warga Muda yang dipulaukan beberapa purnama, hanya kerana meninggikan suara kepada warga Tua.

Begitulah sifat menghormati warga Tua yang sudah ditanam semenjak kecil terhadap setiap penduduk Kampung Biru.

Penduduk Kampung Biru dibahagikan kepada dua golongan utama, iaitu warga Muda dan warga Tua. Warga Muda ialah mereka yang berumur 30 tahun ke bawah, tak kira lelaki mahupun wanita. Sebaik sahaja umur mereka menginjak ke angka 31 tahun, dengan sendirinya mereka akan tergolong dalam kalangan warga Tua.

Nun di suatu sudut perhimpunan itu, berdiri seorang warga Muda. Wira namanya. Sejak dari awal perhimpunan tadi, dia hanya memerhati.

Wira sebenarnya cuba memahami apa yang sedang berlaku di kampungnya.

Semenjak kehadiran seorang warga Tua dari kampung sebelah, suasana di kampungnya banyak berubah.

Warga Tua itu bernama Badar Al-Amin, atau lebih dikenali sebagai Pak Lebai. Pak Lebai mampir ke Kampung Biru semenjak 5 purnama yang lalu, iaitu pada purnama Rabiul Awal yang lepas. Menurut desas-desus yang didengarinya, Pak Lebai itu kerap berhijrah dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Menyebarkan khabar-khabar gembira buat pengikut ajaran yang dibawa oleh Si Utusan Cakerawala, juga menyampaikan berita-berita sengsara buat mereka yang menolak ajaran yang sama.

Wira seakan tak mengerti apa yang sebenarnya berlaku.

Walaupun dia kerap juga tak dapat menerima kesahihan cerita-cerita yang dikhabarkan oleh Pak Lebai, tetapi dia memilih untuk tidak melawan seperti Kudin, Salim mahu pun Mamat, Wira hanya memerhati.

Bagi Wira, dia hanya akan mempercayai cerita-cerita itu sekiranya ianya berlaku benar-benar di hadapan matanya, bukan dengan hanya mendengar cerita dari mulut ke mulut. Tak pasti apa hujung pangkal cerita. Begitu prinsipnya.

Daripada pemerhatiannya, semenjak kehadiran Pak Lebai, kehidupan penduduk Kampung Biru banyak yang berubah.

Jika dahulu penduduk Kampung Biru kerap menyabung ayam, kini jarang sekali. Menyabung ayam itu banyak rugi daripada manfaatnya, kata kebanyakan mereka.

Jika dahulu kaum hawa di Kampung Biru, rambutnya ditayang seenaknya, kini kurang sekali . Ramai yang sudah mengenakan kerudung di kepala. Makin jelita, bisik hati Wira.

Kalau dahulu penduduk Kampung Biru hanya keluar mencari rezeki di siang hari, dan kembali ke rumah ketika mentari mencecah ke horizon langit, lalu di rumah berdiam diri, kini tidak lagi. Suatu bangunan kecil yang dipanggil musolla yang lama menyepi tanpa pengunjung, kini mula diziarahi. Setiap hari, sebanyak 5 kali musolla itu meriah dengan kehadiran penduduk Kampung Biru, melaksanakan rutin wajib yang dipanggil solat, sebagai tanda patuh pada Pemilik Cakerawala.

Di musolla itu juga, penduduk Kampung Biru berkumpul dua kali seminggu, mendengar cerita-cerita oleh Pak Lebai. Kata Pak Lebai, itu adalah cerita-cerita dari Pemilik Cakerawala, yang dikumpulkan dalam satu kitab tebal yang digelar Al-Furqan. Tambahnya lagi, Al-Furqan itu disampaikan oleh Pemilik Cakerawala kepada Si Utusan Cakerawala, melalui perantaraan Si Pengantar Wahyu, yang digelar Jibril.


***
“Kurang lebih sepekan lagi, purnama Ramadan mampir menemui kita. Persediaan kita menemuinya juga perlu digiatkan lagi,” kata Pak Jaya.

Malam itu, Pak Jaya yang menggantikan Pak Lebai untuk memberikan pengisian selepas solat maghrib di musolla. Mata para jemaah musolla itu ditatapnya satu persatu.

“Sudah sekian lamanya Kampung Biru ini gersang tanpa perkara yang membasahkan jiwa. Lama juga musolla ini seolah tiada nyawa. Moga purnama Ramadan yang bakal menjelang tak lama lagi ini akan menjadi ruang buat kita kembali ke jalan Pemilik Cakerawala,” sambung Pak Jaya. Suaranya kedengaran sedikit serak daripada biasa.

“Sihir hedonisma itu terlalu kuat meracuni pemikiran kita semua. Bertahun lamanya sihir itu mengabui mata kita tentang kebenaran ajaran yang dibawa Si Utusan Cakerawala.”

“Kita tak boleh kalah. Tak mampu lagi diperdaya oleh sihir itu. Purnama Ramadan ini seumpama peluang baru yang diberi kepada kita semua, untuk membersihkan diri daripada dosa.” Suara Pak Jaya kian serak.

“Tercatat teguh di baris 31, dalam surah An-Nuur, daripada kitab Al-Furqan :

‘Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.’

Tapi sedikit sekali kita memandang berat kepada baris itu. Keuntungan yang dijanjikan oleh Pemilik Cakerawala itu pasti. Dia tak pernah memungkiri janji. Cuma kita jarang mahu memahami.” Kali ini mata Pak Jaya mulai bergenang.

Sesekali kelihatannya seperti menarik nafas yang amat dalam. Seakan ada kisah silam yang menggamit perasaannya.

“Yang sudah berlalu biarkan sahaja ianya berlalu.” Terluah juga bait-bait kata yang menggambarkan perasaannya kini.

“Kitab Al-Furqan ini banyak menyuluh jalan, untuk kita menuju kepada Pemilik Cakerawala ini.” Kali ini, kedua tangan Pak Jaya memeluk erat kitab Al-Furqan lusuh miliknya. Rapat ke dada.

“Pesanan daripada Si Utusan Cakerawala beratus tahun dahulu :

‘Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan, dengan penuh keimanan dan berkira-kira(mengharap), maka akan diampunkan oleh Allah akan dosa-dosanya yang telah berlalu.[HR Bukhari dan Muslim]

Nah. Pengampunan yang dijanjikan Dia. Syaratnya mudah disebut, tapi payah dilaksana. Itulah dia puasa yang dilakukan dengan penuh keimanan dan pengharapan kepada Dia. Dosa. Dosa. Dosa. Banyaknya dosa. Ianya ternyata menghimpit jiwa.”

Mata Pak Jaya kelihatan disepetkan sedikit. Memberi petanda bahawa Pak Jaya benar-benar memaknakan kata-katanya itu.

“Dosa-dosa yang terkumpul itulah yang menghilangkan rasa damai daripada hati selama ini. Ini bukan sepenuhnya salah sihir hedonisma dari puak Barat. Ini berasal daripada masalah hati. Hati yang malas mahu membasah. Hati yang selalu suka meresah.”

Kedengaran esakan tangis yang ditahan-tahan daripada jemaah musolla yang hadir.

“Dosa-dosa itu yang kian memberat saban hari, jika tiada episod pembersihan hati.” Ujar Pak Jaya penuh perasaan.

Terbayang ketakutan di wajah tua milik Pak Jaya itu. Seumpamanya ada gunung besar yang bakal menghempap kepalanya. Sepertinya segala petala langit akan menghentam wajahnya.

“Pembersihan hati yang kita panggil taubat. Sampai bila mahu ditangguh?” Kali ini nada suaranya kedengaran sedikit meninggi daripada tadi.

Esakan tangis daripada jemaah musolla yang hadir makin menjadi-jadi. Mereka benar-benar menjiwai setiap patah kata Pak Jaya pada malam itu.

Malam itu, suasana di musolla penuh syahdu. Bait-bait kata Pak Jaya benar-benar menikam kalbu.

Majoriti jemaah musolla, yang kesemuanya penduduk Kampung Biru, menanam azam untuk menjadikan purnama Ramadan kali ini adalah suatu ruang pembersihan jiwa.

Penduduk Kampung Biru amat mengerti akan perasaan Pak Jaya. Sudah sekian lamanya, purnama Ramadan dibiarkan berlalu begitu sahaja. Kampung Biru sudah lama ketiadaan ruh.

Kisah silam yang menjadi sejarah di Kampung Biru. Kampung Biru itu banyak menyimpan kisah-kisah pahit, yang kebanyakannya akibat sihir hedonisma yang dikenakan oleh puak Barat.

Angkara sihir oleh puak Barat? Bukan. Bukan sepenuhnya salah puak Barat.

Mereka mahu berhenti menuding jari kepada puak Barat yang mengenakan sihir hedonisma itu kepada mereka.

Benar kata Pak Jaya. Suasana Kampung Biru yang ketiadaan ruh itu berasal daripada masalah hati.

Iya. Masalah hati.

Tiada cara lain untuk mengembalikan suasana yang mempunyai ruh. Hanya episod pembersihan hati yang dipanggil taubat. Sesiapa yang melalui episod ini dengan penuh pengharapan, takkan tersihir lagi oleh hedonisma itu lagi, pastinya dengan izin Pemilik Cakerawala.

Dan malam itu, bintang-bintang yang menghiasi dada langit di Kampung Biru , bersinar terang.

Seolah turut menjiwai perasaan jemaah musolla yang berazam mahu melalui episod pembersihan jiwa pada purnama Ramadan nanti.

Di suatu ceruk penjuru musolla, kelihatan seorang warga Muda yang berkerut dahinya.

Itulah Wira.

Wira tak mengerti mengapa jemaah musolla pada malam ini, ramai yang berendam air mata.

Apa yang mengusik jiwa mereka? Wira memaksa otaknya supaya bekerja mencari jawapan. Melihatkan Pak Jaya yang bersungguh memberikan pengisian, menambahkan lagi rasa hairan di jiwa Wira.

Untuk apa kesungguhan itu?

Episod pembersihan hati yang dipanggil taubat?

Penting sangatkah?

Bertalu-talu persoalan datang menerjah kepala Wira. 

Wira makin terhimpit dengan persoalan-persoalan tanpa jawapan, walau sedikit sebanyak jiwanya terasa tenang berada di musolla pada malam itu.





[Bersambung...]

---

Nota : Cerpen ini ditulis sempena Ramadhan, pada tahun lepas. Moga bermanfaat.