Sunday 19 May 2013

Cerpen : Khabar Dari Langit (Bahagian I)


Langit itu,
tak pernah berganjak,
tidak pula roboh,
teguh.
Setia benar pada Khaliqnya.

Langit itu,
kerap menjadi saksi,
segala perlakuan seisi bumi,
yang taat lagi  menghidupkan dinihari.
mahupun yang penuh dosa keji.

Seakan mengerti,
jutaan jiwa menanti ia terbuka,
luas yang menghantar bahagia,
ibarat merasai tempias dari Syurga.

Moga terangkat segala doa,
saban waktu ditujah ke petala.

Moga rahmat turun mencurah ke bumi,
agar terbasuh segala hati yang berdaki.

Moga sempat menjengah ke Ramadhan,
pada sisa usia yang berbaki. 

-gjada-
19/05/2013


---
[Khabar Dari Langit]


“Pintu langit bakal dibuka!”

“Pintu langit akan terbuka!”

“ Ia terbuka seluas-luasnya!”

Begitu teriak ahli qariah musolla, yang menjadi wakil pihak istana, jurucakap bagi pihak sultan. Petang itu, ahli qariah musolla itu mampir ke pertengahan kawasan Kampung Biru, bagi membuat satu pengumuman penting lagi hebat, dengar khabarnya. Ahli qariah musolla itu turut menghebahkan titah sultan yang menyebut tentang larangan bagi sebarang bentuk keraian-keraian berunsur hiburan, yang majoritinya berkiblatkan hedonisma iaitu suatu bentuk sihir daripada puak Barat yang bertapak di hati penduduk Kampung Biru, sekian lamanya. Keraian-keraian itu termasuklah, majlis tari-menari, pertandingan beradu suara ‘Siapa merdu’, juga tayangan wayang kulit ‘Kisah cinta kau dan aku’. 

Seluruh Kampung Biru gamat dengan pengumuman daripada wakil pihak istana itu.

Pintu langit bakal dibuka?

Apa yang istimewanya?

Pintu langit akan terbuka?

Apa faedahnya?

Ia terbuka seluasnya?

Mengarut sungguh.

Mengapa pula dilarang segala keraian yang meriangkan hati penduduk Kampung Biru selama ini?

Gila!

Begitulah persoalan dan tohmahan yang berbangkit sejurus pengumuman itu dibuat oleh ahli qariah musolla itu.

“Ini bukan kerja orang lain, pasti ini kerja Pak Lebai yang baru datang itu. Sejak dia mampir ke Kampung Biru, macam-macam perkara baru yang dibawanya. Banyak pula perkara yang dibawanya itu tak masuk akal!” laung seorang penduduk Kampung Biru, yang bertahi lalat di bawah mata, yang berusia lingkungan 20-an.

“Betul. Pak Lebai selalu benar menghasut sultan. Sultan sudah disihirnya!” tambah seorang anak muda berdada bidang. Nada suaranya berbaur geram.

“Aku sokong. Tempoh hari, dikhabarkannya tentang peristiwa Si Utusan Cakerawala yang pernah dibawa naik ke langit, beratus tahun lampau pada malam purnama Rejab, meneroka kehebatan Pemilik Cakerawala, lalu menerima mandat, solat itu perlu dilaksana. Kali ini dikhabarkannya tentang pintu langit yang akan terbuka? Gila!” jerit seorang  anak muda yang memakai celana merah pula.

Keadaan di Kampung Biru pada petang itu semakin gamat seandainya tiada sebarang usaha meredakan suasana. Masing-masing cuba mempersoalkan tentang pengumuman daripada ahli qariah musolla itu.

Tidak puas hati lagaknya.

Kebanyakan mereka terdiri daripada warga Muda.

Tiba-tiba…

“Sabar anak muda. Sabar. Bukankah Si Utusan Cakerawala pernah mengkhabarkan bahawa apabila datang purnama Ramadan, dibukakan pintu langit, dikunci pintu neraka, dan dibelenggu semua syaitan?[HR Bukhari]” satu suara bernada mendatar kedengaran dari belakang. Ternyata ianya suara milik Pak Kasman, seorang warga Tua yang dihormati.

“Sepatutnya seruan dan titah sultan ini kita junjung, selagi mana ianya berlandaskan ajaran daripada Pemilik Cakerawala, yakni apa yang menjadi sembahan Si Utusan Cakerawala yang digelar Al-Amin itu. ” ujar Pak Kasman perlahan. Terpancar aura ketenangan di wajah tua itu.

“Benar kata Pak Kasman. Larangan bagi mengadakan keraian-keraian yang berunsurkan sihir dari puak Barat, yang dipanggil hedonisma itu sepanjang purnama Ramadan adalah amat wajar,” tambah seorang lagi warga Tua, Pak Selamat namanya.

Kudin, anak muda yang memakai celana merah itu mengetap bibirnya. Menahan amarahnya.

Salim, si warga Muda yang bertahi lalat di bawah mata itu, memerah mukanya. Dadanya turun naik, makin geram rasanya.

Begitu juga dengan Mamat, si warga Muda yang berdada bidang. Kedengaran dia mendengus kasar. Menampakkan panas hatinya yang cuba dikambus.

Penduduk Kampung Biru, sama ada warga Muda mahupun warga Tua, yang pada awalnya tadi kelihatan membara-bara semangatnya melontarkan rasa tak puas hati kepada titah sultan itu, mulai senyap. Masing-masing cuba sedaya mungkin menahan rasa itu supaya tidak meletus lagi.

Desah-desah nafas kepanasan kedengaran memenuhi suasana.

Perasaan tidak puas hati mereka tentang titah sultan itu dipendamkan sahaja. Itupun kerana warga Tua sudah bersuara.

Walaupun ada di kalangan warga Tua yang turut berasa tidak puas hati dengan larangan mengadakan sebarang keraian pada purnama Ramadan, mereka hanya diam seribu bahasa. Ini kerana menghormati pemimpin warga Tua itu sendiri yang sudah bersuara, iaitu Pak Kasman.

Itulah keunikan yang dimiliki oleh penduduk Kampung Biru.

Menghormati warga Tua.

Sejahat mana pun mereka, takkan ada yang berani melawan kata-kata warga Tua. Biadap namanya. Sesiapa yang didapati biadap terhadap warga Tua, akan dipandang jelek, bahkan pernah suatu ketika dahulu, ada warga Muda yang dipulaukan beberapa purnama, hanya kerana meninggikan suara kepada warga Tua.

Begitulah sifat menghormati warga Tua yang sudah ditanam semenjak kecil terhadap setiap penduduk Kampung Biru.

Penduduk Kampung Biru dibahagikan kepada dua golongan utama, iaitu warga Muda dan warga Tua. Warga Muda ialah mereka yang berumur 30 tahun ke bawah, tak kira lelaki mahupun wanita. Sebaik sahaja umur mereka menginjak ke angka 31 tahun, dengan sendirinya mereka akan tergolong dalam kalangan warga Tua.

Nun di suatu sudut perhimpunan itu, berdiri seorang warga Muda. Wira namanya. Sejak dari awal perhimpunan tadi, dia hanya memerhati.

Wira sebenarnya cuba memahami apa yang sedang berlaku di kampungnya.

Semenjak kehadiran seorang warga Tua dari kampung sebelah, suasana di kampungnya banyak berubah.

Warga Tua itu bernama Badar Al-Amin, atau lebih dikenali sebagai Pak Lebai. Pak Lebai mampir ke Kampung Biru semenjak 5 purnama yang lalu, iaitu pada purnama Rabiul Awal yang lepas. Menurut desas-desus yang didengarinya, Pak Lebai itu kerap berhijrah dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Menyebarkan khabar-khabar gembira buat pengikut ajaran yang dibawa oleh Si Utusan Cakerawala, juga menyampaikan berita-berita sengsara buat mereka yang menolak ajaran yang sama.

Wira seakan tak mengerti apa yang sebenarnya berlaku.

Walaupun dia kerap juga tak dapat menerima kesahihan cerita-cerita yang dikhabarkan oleh Pak Lebai, tetapi dia memilih untuk tidak melawan seperti Kudin, Salim mahu pun Mamat, Wira hanya memerhati.

Bagi Wira, dia hanya akan mempercayai cerita-cerita itu sekiranya ianya berlaku benar-benar di hadapan matanya, bukan dengan hanya mendengar cerita dari mulut ke mulut. Tak pasti apa hujung pangkal cerita. Begitu prinsipnya.

Daripada pemerhatiannya, semenjak kehadiran Pak Lebai, kehidupan penduduk Kampung Biru banyak yang berubah.

Jika dahulu penduduk Kampung Biru kerap menyabung ayam, kini jarang sekali. Menyabung ayam itu banyak rugi daripada manfaatnya, kata kebanyakan mereka.

Jika dahulu kaum hawa di Kampung Biru, rambutnya ditayang seenaknya, kini kurang sekali . Ramai yang sudah mengenakan kerudung di kepala. Makin jelita, bisik hati Wira.

Kalau dahulu penduduk Kampung Biru hanya keluar mencari rezeki di siang hari, dan kembali ke rumah ketika mentari mencecah ke horizon langit, lalu di rumah berdiam diri, kini tidak lagi. Suatu bangunan kecil yang dipanggil musolla yang lama menyepi tanpa pengunjung, kini mula diziarahi. Setiap hari, sebanyak 5 kali musolla itu meriah dengan kehadiran penduduk Kampung Biru, melaksanakan rutin wajib yang dipanggil solat, sebagai tanda patuh pada Pemilik Cakerawala.

Di musolla itu juga, penduduk Kampung Biru berkumpul dua kali seminggu, mendengar cerita-cerita oleh Pak Lebai. Kata Pak Lebai, itu adalah cerita-cerita dari Pemilik Cakerawala, yang dikumpulkan dalam satu kitab tebal yang digelar Al-Furqan. Tambahnya lagi, Al-Furqan itu disampaikan oleh Pemilik Cakerawala kepada Si Utusan Cakerawala, melalui perantaraan Si Pengantar Wahyu, yang digelar Jibril.


***
“Kurang lebih sepekan lagi, purnama Ramadan mampir menemui kita. Persediaan kita menemuinya juga perlu digiatkan lagi,” kata Pak Jaya.

Malam itu, Pak Jaya yang menggantikan Pak Lebai untuk memberikan pengisian selepas solat maghrib di musolla. Mata para jemaah musolla itu ditatapnya satu persatu.

“Sudah sekian lamanya Kampung Biru ini gersang tanpa perkara yang membasahkan jiwa. Lama juga musolla ini seolah tiada nyawa. Moga purnama Ramadan yang bakal menjelang tak lama lagi ini akan menjadi ruang buat kita kembali ke jalan Pemilik Cakerawala,” sambung Pak Jaya. Suaranya kedengaran sedikit serak daripada biasa.

“Sihir hedonisma itu terlalu kuat meracuni pemikiran kita semua. Bertahun lamanya sihir itu mengabui mata kita tentang kebenaran ajaran yang dibawa Si Utusan Cakerawala.”

“Kita tak boleh kalah. Tak mampu lagi diperdaya oleh sihir itu. Purnama Ramadan ini seumpama peluang baru yang diberi kepada kita semua, untuk membersihkan diri daripada dosa.” Suara Pak Jaya kian serak.

“Tercatat teguh di baris 31, dalam surah An-Nuur, daripada kitab Al-Furqan :

‘Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.’

Tapi sedikit sekali kita memandang berat kepada baris itu. Keuntungan yang dijanjikan oleh Pemilik Cakerawala itu pasti. Dia tak pernah memungkiri janji. Cuma kita jarang mahu memahami.” Kali ini mata Pak Jaya mulai bergenang.

Sesekali kelihatannya seperti menarik nafas yang amat dalam. Seakan ada kisah silam yang menggamit perasaannya.

“Yang sudah berlalu biarkan sahaja ianya berlalu.” Terluah juga bait-bait kata yang menggambarkan perasaannya kini.

“Kitab Al-Furqan ini banyak menyuluh jalan, untuk kita menuju kepada Pemilik Cakerawala ini.” Kali ini, kedua tangan Pak Jaya memeluk erat kitab Al-Furqan lusuh miliknya. Rapat ke dada.

“Pesanan daripada Si Utusan Cakerawala beratus tahun dahulu :

‘Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan, dengan penuh keimanan dan berkira-kira(mengharap), maka akan diampunkan oleh Allah akan dosa-dosanya yang telah berlalu.[HR Bukhari dan Muslim]

Nah. Pengampunan yang dijanjikan Dia. Syaratnya mudah disebut, tapi payah dilaksana. Itulah dia puasa yang dilakukan dengan penuh keimanan dan pengharapan kepada Dia. Dosa. Dosa. Dosa. Banyaknya dosa. Ianya ternyata menghimpit jiwa.”

Mata Pak Jaya kelihatan disepetkan sedikit. Memberi petanda bahawa Pak Jaya benar-benar memaknakan kata-katanya itu.

“Dosa-dosa yang terkumpul itulah yang menghilangkan rasa damai daripada hati selama ini. Ini bukan sepenuhnya salah sihir hedonisma dari puak Barat. Ini berasal daripada masalah hati. Hati yang malas mahu membasah. Hati yang selalu suka meresah.”

Kedengaran esakan tangis yang ditahan-tahan daripada jemaah musolla yang hadir.

“Dosa-dosa itu yang kian memberat saban hari, jika tiada episod pembersihan hati.” Ujar Pak Jaya penuh perasaan.

Terbayang ketakutan di wajah tua milik Pak Jaya itu. Seumpamanya ada gunung besar yang bakal menghempap kepalanya. Sepertinya segala petala langit akan menghentam wajahnya.

“Pembersihan hati yang kita panggil taubat. Sampai bila mahu ditangguh?” Kali ini nada suaranya kedengaran sedikit meninggi daripada tadi.

Esakan tangis daripada jemaah musolla yang hadir makin menjadi-jadi. Mereka benar-benar menjiwai setiap patah kata Pak Jaya pada malam itu.

Malam itu, suasana di musolla penuh syahdu. Bait-bait kata Pak Jaya benar-benar menikam kalbu.

Majoriti jemaah musolla, yang kesemuanya penduduk Kampung Biru, menanam azam untuk menjadikan purnama Ramadan kali ini adalah suatu ruang pembersihan jiwa.

Penduduk Kampung Biru amat mengerti akan perasaan Pak Jaya. Sudah sekian lamanya, purnama Ramadan dibiarkan berlalu begitu sahaja. Kampung Biru sudah lama ketiadaan ruh.

Kisah silam yang menjadi sejarah di Kampung Biru. Kampung Biru itu banyak menyimpan kisah-kisah pahit, yang kebanyakannya akibat sihir hedonisma yang dikenakan oleh puak Barat.

Angkara sihir oleh puak Barat? Bukan. Bukan sepenuhnya salah puak Barat.

Mereka mahu berhenti menuding jari kepada puak Barat yang mengenakan sihir hedonisma itu kepada mereka.

Benar kata Pak Jaya. Suasana Kampung Biru yang ketiadaan ruh itu berasal daripada masalah hati.

Iya. Masalah hati.

Tiada cara lain untuk mengembalikan suasana yang mempunyai ruh. Hanya episod pembersihan hati yang dipanggil taubat. Sesiapa yang melalui episod ini dengan penuh pengharapan, takkan tersihir lagi oleh hedonisma itu lagi, pastinya dengan izin Pemilik Cakerawala.

Dan malam itu, bintang-bintang yang menghiasi dada langit di Kampung Biru , bersinar terang.

Seolah turut menjiwai perasaan jemaah musolla yang berazam mahu melalui episod pembersihan jiwa pada purnama Ramadan nanti.

Di suatu ceruk penjuru musolla, kelihatan seorang warga Muda yang berkerut dahinya.

Itulah Wira.

Wira tak mengerti mengapa jemaah musolla pada malam ini, ramai yang berendam air mata.

Apa yang mengusik jiwa mereka? Wira memaksa otaknya supaya bekerja mencari jawapan. Melihatkan Pak Jaya yang bersungguh memberikan pengisian, menambahkan lagi rasa hairan di jiwa Wira.

Untuk apa kesungguhan itu?

Episod pembersihan hati yang dipanggil taubat?

Penting sangatkah?

Bertalu-talu persoalan datang menerjah kepala Wira. 

Wira makin terhimpit dengan persoalan-persoalan tanpa jawapan, walau sedikit sebanyak jiwanya terasa tenang berada di musolla pada malam itu.





[Bersambung...]

---

Nota : Cerpen ini ditulis sempena Ramadhan, pada tahun lepas. Moga bermanfaat.



Monday 13 May 2013

Cerpen : Asiah [Bhg. 1]


3 Jun 2012

“Hah, waktu subuh kena ikut matahari?” Amir bertanya.

Tercengang-cengang.

“Aah, ikut matahari.” Asiah menjawab ringkas.

“Waktu Subuh masuk apabila garisan horizon berwarna putih muncul melintang dari sebelah timur, waktu Syuruk tiba bilamana matahari muncul di kaki langit. ” Asiah bercerita lebih lanjut.

“Oh… kalau waktu Zohor, Asar semua tu macam mana pula? Maghrib dengan Isyak pun ikut matahari? Kan dah malam. Macammana nak tengok matahari? ” Soal Amir bertubi-tubi.

“Waktu Zohor masuk apabila matahari tergelincir ke arah barat. Condong sedikit lah senang kata. Waktu Asar pula masuk apabila panjang bayang-bayang sesuatu objek melebih panjang objek itu sendiri.”

Asiah berhenti seketika mengambil nafas, lalu menyambung,

“Bila matahari terbenam, itulah tanda waktu Maghrib dah masuk. Kalau diperhatikan, secara perlahan-lahan, cahaya warna jingga akan hilang dari kaki langit. Ketika ini, masuklah waktu Isyak.” Panjang lebar Asiah bercerita, sambil tangannya dihayun-hayun seolah sedang menunjukkan pergerakan matahari.

“Oh… sebab itulah ada sesetengah negara yang waktu Subuhnya masuk awal, ada pula yang waktu Subuhnya masuk lambat ya? Kedengaran suara Amir lagi.

Wajahnya kelihatan keliru.

Asiah memandang wajah Amir sekilas, seolah tak percaya soalan itu ditanya olehnya.

“Err, iya begitulah.” Asiah menjawab.

“Patutlah…” Hanya sepatah yang keluar dari mulut Amir. Dia tak jadi menyudahnya ayatnya.

“Patutlah apa?” Soal Asiah.

“Tak ada apa.” Amir membalas pantas, lalu kepalanya mendongak ke langit, cuba memerhatikan matahari.

Amir teringat peristiwa pagi tadi. Dia bangun untuk solat Subuh pada pukul 6 pagi waktu Jepun, tapi matahari sudah menyinar terang, ibarat terpacak di atas kepala.

Dia menyangkakan waktu Subuh di Jepun, sama sahaja seperti waktu Subuh di Malaysia, maklumlah beza waktunya hanya satu jam. Tak terfikir pula dia, kalau matahari keluar awal, maksudnya waktu Subuh juga masuk awal.

Amir menelan air liur. Dia terlewat untuk solat Subuh rupanya pagi tadi.

Amir lebih berasa hairan apabila memikirkan mengapa dia tak pernah terfikir pun sebelum ini tentang waktu solat yang beralih dari suatu waktu kepada waktu yang lain, adalah berdasarkan pergerakan matahari.

***
“Amir, jalan cepat sikit. Kita kena jalan laju-laju ni. Lampu isyarat tu dah nak tukar kepada warna merah.” Kata Asiah. Kakinya dihayun sepantas yang mungkin supaya dia sempat untuk menyeberang simpang besar di Shibuya yang sibuk itu.

“Alaaa… kalau tak sempat yang ini, kita tunggu aje la lampu isyarat tu tukar warna balik.” Jawab Amir.

“Mana boleh. Kita nak kena kejar tren ni. Jangan lupa, ini Jepun lah. Kalau terlambat satu saat pun, alamatnya memang terlepas tren lah kita. Tak adanya tren tu nak tunggu kita.” Asiah berkata termengah-mengah. Dia berlari melintas simpang itu.

Amir yang terkejut dengan Asiah yang berlari tiba-tiba, turut berlari juga, cuba mengikuti langkah Asiah.

“Hoi, kenapa lari? Lain kali beritahulah siap-siap kalau nak lari. Terkejut orang tau.” Amir berkata sambil tangan memegang dadanya.

“Kan dah cakap yang kita kena kejar tren. “Balas Asiah selamba. Matanya melilau mencari papan tanda untuk menaiki tren ke Odaiba, dari Shibuya. Sesekali, dahinya berkerut, tanda dirinya berasa serabut dengan kesesakan di sekitar kawasan stesen tren besar seperti Shibuya itu. Asiah tidak suka dengan keadaan yang sesak dengan orang ramai sebegitu. Dia rimas.

“Asiah, dah masuk waktu Zohor, kita kena cari tempat solat ni. Nanti kita solat di Odaiba okey? Kat sana macam banyak spot baik untuk solat je.” Sarah yang sedari tadi diam, tiba-tiba bersuara.

“Molek juga gitu. Lepas solat, baru kita pergi makan.” Balas Asiah, sambil tersenyum kepada Sarah. Dia berterima kasih sebenarnya kepada Sarah, yang sudi untuk menemaninya pada hari itu, walaupun baru malam tadi dia menelefon Sarah untuk meminta bantuan Sarah.

***
2 Jun 2012

“Sarah… esok free? “

“Hmm… free lah juga. Kenapa?”

“Nak minta tolong teman saya esok, nak bawa orang pergi jalan-jalan kat kawasan Tokyo, sebelum hantar dia pergi airport malam esok.”

“Eh, awak tu bukan Lone-Ranger ke? Selama ni steady je jalan-jalan seorang diri, sampai ke Kyushu yang hujung Jepun itu pun awak selamba turun seorang. Inikan Tokyo? “ Sarah bersuara dari corong telefon.

“Jomlah. Saya kasihan kat dia ni. Dia baru datang Tokyo semalam. Hari ini dia ada konferens kat Shinjuku, ada bentang paper kalau tak silap. Esok dia dah tak tahu nak jalan pergi mana, Dahlah dia tak faham langsung bahasa Jepun. “ Asiah bercerita.

“Dia? Siapa dia?”

“Boleh tak temankan saya ni?”

“Dahtu? Kalau iya pun kasihan, pergi je lah teman orang tu jalan-jalan area Tokyo. Kenapa nak ajak saya pula?” Sarah berkata. Dia hairan dengan Asiah yang tiba-tiba mengajaknya untuk keluar membawa ‘orang’ untuk bersiar-siar di sekitar Tokyo. Selalunya Asiah boleh sahaja keluar seorang diri.

“Dia lelaki.” Asiah menjawab pendek

“Lelaki? Oh my God… Asiah. Mana awak kenal dia? Kenapa dia minta awak temankan dia? Kenapa awak nak temankan dia? Tak cuba minta tolong orang lelaki yang lain ke? Siapa dia tu Sarah?” Bertubi-tubi soalan dilontarkan Sarah. Dia terkejut apabila mengetahui Asiah yang sentiasa menjaga perhubungan dengan lelaki ajnabi itu tiba-tiba mengajaknya menemani seorang lelaki untuk bersiar-siar di sekitar Tokyo.  .

“Dia sepupu saya.”

“Oh… kuuusss semangat den. Tapi kenapa awak tak minta kawan kita yang lelaki untuk pergi temankan dia esok?”

“Dia baru hantar mesej whatsapp kepada saya, minta tolong saya siang tadi. Dia dah ada kat Shinjuku dah pun. Dah cuba Tanya kawan lelaki yang lain. Ada yang tak boleh tolong free, nak buat kalau berbayar je. Ishh… mengada betul! Ada yang dah ada hal lain.Tak sempat dah ni untuk cari orang lain. ”

“Ohh, patutlah awak ajak saya teman. Okey, baik bos, Esok kita jumpa.” Jawab Sarah.

Memahami.

***
“Di sini ada surau ke?” Tanya Amir, sambil matanya membuang pandang ke bangunan Aqua City, salah sebuah bangunan di Odaiba. Dia tak habis lagi kagum dengan pemandangan sepanjang perjalanan ke sini tadi. Tren yang mereka naiki melalui Yurikamono-line itu melalui kawasan laut yang membiru. Cantik. Tambahan pula, tadi dia terpandang sebuah figura Gundam yang besar terpacak di kawasan itu, selepas berjalan beberapa minit dari stesen tren Odaiba-Kaihin-Kouen. Nasib baik Asiah bermurah hati membenarkan dia berhenti daripada berjalan seketika,untuk mengambil foto bersama figura tersebut, buat kenang-kenangan.

“Mestilah ada. Kat Jepun ni lah tempat yang paaaling banyak surau tau.” Asiah menjawab sambil tersenyum mengangkat keningnya berulang kali.

Sarah mengecilkan anak mata. Pelik dengan telatah Asiah hari ini. Sudahlah tadi si Asiah berkeras mahu berhenti di stesen tren Odaiba-Kaihin-Kouen,yang perlukan mereka berjalan lebih kurang 15minit untuk tiba di bangunan Aqua City.

“Asiah, kenapa awak tak nak berhenti di stesen tren Odaiba tadi? Kan lebih dekat dengan Aqua City ni?” Sarah bertanya tak sabar. Desah nafasnya jelas kedengaran. Mengah dek berjalan dari tadi.

“Saja.” Sepatah dijawab Asiah.

“Haa? Nak tercabut kaki saya berjalan tau. Dahlah angin kuat hari ni. Hampir terbang saya tadi tahu?” Sarah bercakap. Masih termengah.

“Baguslah… memang sengaja. Hihi… Minta maaflah Sarah. Saya memang nak bagi orang rasa nak tercabut kaki, tapi bukan awak. Dia.” Kata Asiah, sambil memuncungkan mulutnya ke arah Amir yang matanya sedari tadi lekap pada kamera, menatap fotonya bersama figura kesayangan.

“Awak nak buli dia ke?”

“Dulu waktu kecil, dia selalu buli saya tau.”

“Laa… kes balas dendam lah ni. Tak pasal-pasal saya terlibat sekali. Kasihan saya.” Sarah menggeleng-gelengkan kepalanya berulang kali.  


Bersambung…


---
Nota : Ini hasil hujung minggu. Baru mula tulis semalam. Penghujung cerita, masih lagi ditimbang tara. Idea mencurah-curah, tak putuskan lagi nak habiskan bagaimana. 

Nota 2 : Sebarang komen mahupun idea, amat dialu-alukan.