Friday 22 April 2011

Kuburan.


Salah satu daripada tiga tanah perkuburan muslim di bumi sakura.



Dunia,
tak ada apa-apa.
Sengsaranya,
menghimpit jiwa.
Nikmatnya,
meluas terhampar.

***

Wahai semut-semut di kuburan,
kamu mesti banyak tahu kisah kan?
Kalian hidup di kawasan kuburan.
Mesti dengar macam-macam.

Wahai semut-semut di kuburan,
apa yang kalian dengar?
Mari beritahu aku.
Khabarkan aku kisah di horizon Sana.

Wahai sakura-sakura mekar di kuburan,
apa yang kalian saksikan?
Mari beritahu aku.
Khabarkan aku cerita di dimensi Sana.

Wahai orang-orang yang sudah pergi,
apa khabar kalian di alam Sana?
Marilah mengingatkan aku.
Khabarkan aku berita yang terhijab.

Agar hati yang selalu bongkak dapat ditunduk.
Biar jiwa yang selalu mentakbur bisa akur.
Supaya ruh yang selalu mengering suka membasah.

***

Aku yang menulis ini,
akan mati.

Kamu yang membaca ini,
akan mati.

Kita sama-sama,
akan mati.

Selamat lah dikau yang pergi dahulu.
Selamat juga andai aku yang berangkat dahulu.

Moga-moga selamat di alam Sana.
Menanti waktu dibangkit semula.

Tika itu akan tiba.
Sama-sama menempuhnya.

Selamat tinggal,
dunia fana,
yang kian menggila.

Andai aku pergi dahulu,
doakan aku selamat di alam Sana.
Selamat tinggal.
Tata.

.
.
.

Melangkah ke kawasan perkuburan di Enzan, Yamanashi-ken, telah meruntun jiwa.
Merupakan salah satu daripada tiga tanah perkuburan di Jepun.
Iya.
Satu daripada tiga.
Hanya tiga.
Itupun banyak masalah menyusul timbul.
Tanah kian tiada di sini.
Muslim pula makin bertambah jumlahnya.
Lokasi kuburan ini yang bersebelahan kuburan kafir (japanese),
amat mengundang pelbagai 'cerita'.
Mahu tahu cerita ?
Banyak perkara yang mahu dikongsi bersama.
Sungguh, ianya mensayukan hati.
Eh, mahu pergi sekolah.
Lain kali sambung cerita.
Itupun kalau ada yang mahu dengar cerita saya lah kan...
Ada ke?

Thursday 14 April 2011

Krisis Mesir. Bencana gempa. Tragedi tsunami : senyumlah lagi...

Bismillahi arrahman arrahim.

Salam.

Terima kasih kepada sesiapa yang terjenguk ke blog ini.

Tulisan kali ini mungkin panjang, saya cuba memaknakan apa yang saya tulis, insyaAllah.

Sebelum kita pergi ke point utama, jemput baca isi draf terbengkalai saya yang bertarikh 1/2/2011 di bawah ini.



***

Tajuk asal bagi draf terbengkalai ini :
Bukan untuk senyum- Melayang doa ke bumi kinanah.



senyum sahaja takkan menyelamat segala. [rujuk foto : utusan 1/2/2011]



Mata saya membuntang.
Darah saya menyirap membaca dialog di ruangan senyum kambing itu.
Maaf.

Bukan mahu mengatakan kita tak perlu bersyukur dengan keamanan di Malaysia.

Tapi ada perkara lain yang lebih perlu dipandang berat oleh kita-kita yang berada di zon selesa ini.

Situasi huru-hara di Mesir.
Keadaan rakyat kita di sana.
Situasi aman-damai(?) di Malaysia.
Keadaan rakyat kita di zon selesa(?).

Bukan suatu perkara untuk dibandingkan, buat masa ini.

Sudahlah kecewa dengan jawapan Tan Sri Muhyiddin Yassin ini.

Cuba bersangka baik. Bukan mudah mahu mengumpulkan kesemua lebih 11000 orang pelajar kita di sana.

Tapi akhbar dan media televisyen, tak sangat menghebah cerita.
Saya tidak berada di Malaysia, sekadar peroleh berita melalui alam maya.

Sudah.
Saya menangis mengetahui keadaan mereka.
Lebih-lebih lagi memikirkan nasib pelajar Malaysia.

Allah.

Mesir dilanda huru-hara.
Sahabat-sahabat saya masih ramai di sana.

Hampir setiap detik saya menyelongkar alam maya, menjenguk situasi saudara-saudara di sana.

Hari ini, pulang dari sekolah, saya pantas menerjah ke alam maya, mencari khabar berita.

Ada beberapa orang yang sudah pulang ke Malaysia, dengan tiket sendiri. Bukan proses EVAKUASI.
Ramai lagi yang di sana.

Saya tak mahu bercerita lebih di sini, seolah tahu segala.


----> noted : Catatan di atas, telah saya tulis di ruangan draf yang bertarikh 1/2/2011 (pada tarikh ini, belum dilaksanakan proses evakuasi lagi). Mengapa terbengkalai? Ada banyak sebab. Salah satunya ialah saya tak mahu tergolong dalam golongan orang-orang yang 'suka menari pabila ada yang bergendang'. Baru kini saya publish, dengan sedikit aksi edit-mengedit pada draf itu atas tujuan menyesuaikan isi draf itu dengan tulisan saya di bawah.






***


11 Mac 2011.
Tarikh keramat buat warga bumi samurai.
Bumi Jepun bergegar dengan gegaran 8.9 skala richter, cukup menghuru-harakan keadaan di kawasan-kawasan yang terlibat.

Kini, sesekali, masih terasa gegaran-gegaran susulan yang kecil. Jepun sedang dalam proses baikpulih, Walau dilanda kegelisahan terhadap bahaya yang tak ternampak oleh mata kasar. Ancaman radiasi!

Ketenangan pada wajah-wajah warga Jepun mudah dilihat. Melihatkan wajah-wajah mereka, jika kita tak menonton berita di televisyen, atau membaca khabar-khabar berkaitan di laman maya, kita tak akan dapat detect pun yang negara mereka ini telah dilanda bencana alam yang besar. Disusuli oleh kepungan ancaman radiasi. Bagai jatuh ditimpa tangga.

Kadang-kadang, saya pelik dengan mereka.

Ada ketikanya, mereka akan menjadi orang yang amat kelam-kabut. Panik tak bertempat. Menggelabah tak tentu pasal. Atau saya yang sudah terbiasa dengan situasi di tanah air yang ramai warganya rileks dan selamba tak kena masa?

Ada ketikanya, mereka akan mempamerkan air muka yang amat tenang dan sabar. Seolah tak pernah berhadapan dengan masalah. Kalau ada masalah pun, seakan meyakini masalah itu pasti akan selesai. Tolak ke tepi sebentar, tentang Jepun yang menggunungkan carta membunuh diri. Musibah yang melanda seolah tak menggugah jiwa. Seumpama qadar ketentuan Allah itu telah diimani sepenuh hati. AllahuAkbar! Atau saya yang sudah terbiasa dengan suasana di tanah air yang ramai warganya jenis ber responsif spontan tak kena gaya?


***


Aku melihat manusia, ramai yang takutkan mati. Gempa bumi. Ramai yang hendak lari. Mahu keluar dari nippon. Hairan. Resah. Kelakar. Gerun. Perasaan itu bercampur baur. Maut. Mahu lari dari mautkah? Haha. Takkan terlari. Sila percaya.
***
Pabila akhirat tak diobsesi, redha Ilahi tak tertimbang ketika memilih. Matlamat hidup perlu jelas, si Izrail tak pernah culas.


---- > noted : Secebis catatan pada buku diari milik peribadi, bertarikh 12/3/2011, sehari selepas gegaran terburuk dalam sejarah nippon. Amat kompleks untuk dihurai. Jika tidak kerana majlis perkahwinan abang kandung saya (dan saya pulang ke tanah air, 3 hari selepas bencana, alhamdulillah untuk itu), kaki ini bagai mahu meluru kepada warga nippon yang berkumpul di pusat pemindahan. Mahu membantu mana yang mampu. Paling tidak, sekadar menjadi pendengar cerita pengalaman tentang bencana.





***


[sumberfoto]


Errkk...Apekah?


"Nanti kalau ada jishin(gempabumi) lagi, kita lari ke tempat yang tinggi itu ya?"

"Ok. Itupun kalau tempat itu tak roboh. Kalau roboh, kita nak lari ke mana?"

"Kalau berlaku jishin lagi, aku nak menyorok kat situ."

"Airport bukak tak? Aku nak balik Malaysia. Jepun dah tak selamat."

"Kita kena prepare barang-barang penting dalam satu beg. Senang nak lari."


Jujurnya, telinga saya berdesing mendengar dialog-dialog sebegitu. Minta maaf.

Bukannya saya menidakkan keperluan untuk kita bersedia menghadapi kemungkinan bahaya mendatang.

Bukan juga saya mengiyakan untuk kita berpeluk tubuh saat bencana menghampir.

Itu menolak tuntutan sunnatullah.

Cumanya, pabila dialog-dialog sebegitu dilontarkan, tanpa ada tindakan susulan untuk menyeimbangkan kata-katanya itu, konotasi iman hanya menggambarkan goyah.

Menyeimbangkan kata-kata?

Begini,

alang-alang membenci israel , kenapa tidak menyukai palestin ?

alang-alang membenci sindiket , mengapa tidak meninggalkan rokok ?

(Pinjam kata-kata incik uwais. Baca sini untuk lebih faham.)

Jadi,
alang-alang takutkan mati, mengapa tidak menambah amal?

Mahu lari sebab takutkan mati, tapi tiada usaha untuk menambahkan amal? Itu semestinya salah.

Mesti jelas lah dengan tujuan kita menyelamatkan diri itu. Kalau sendiri takutkan mati, maksudnya diri tak cukup amal lagi lah. Astaghfirullah... beratnya hati ini mengizinkan jari-jemari untuk menaip patah-patah perkataan itu.

Amal itu adalah urusan antara seseorang hamba dengan Allah. Siapa pula saya untuk menyatakan seseorang itu tidak menambah amal?

Jawapannya mudah.
Amal ibadah yang sohih akan terhasil daripada akidah yang sejahtera. Yakni akidah yang sudah selesai tentang pemahaman bahawa mati itu pasti, tak boleh diubah, cuma kita berupaya mengatur hidup menuju detik kematian. Dan, secara automatik, sinar iman akan terpancar melalui cara pemikiran dan aktiviti hidup seharian.

Cara pemikiran dan aktiviti hidup seharian.

Rasanya tak perlu saya nyatakan dengan detail tentang soal ini. Boleh tahu-tahu sendiri kot ek, sama ada aktiviti hidup seharian kita membenarkan kerisauan kita tentang mati, atau sekadar kerisauan entah apa-apa.

Muhasabah.
Mari berfikir.


***

Dan, apa pula kena-mengena dengan draf terbengkalai pasal Mesir segala tu?

Manusia kehilangan fokus.

Itu pointnya.

Rakyat sendiri di negara orang dalam gelisah,
boleh pula tersenyum mengakui 'kestabilan' di negara sendiri.

Warga Jepun dalam huru-hara dilanda bencana tsunami,
boleh pula si menteri kita berbincang tentang kestabilan ekonomi.
Risau barangkali akan terjejas rezeki, dek tsunami.

Ada ramai lagi yang masih berduka di kepulauan yang sama di Jepun angkara bencana,
boleh pula ada yang merancang mahu terus bergelak tawa tanpa pengisian jiwa.


pinjam bait-bait kata Abusaif... [sila klik]


SI LUNCAI TERJUN DENGAN LABU-LABUNYA!

Bencana itu sudah tiba di Jepun!
Tak apa. Kita kan di Malaysia…

Bencana itu sudah tiba di Johor!
Tak apa. Kita kan di Selangor…

Bencana itu sudah tiba di Gombak!
Tak apa. Kita kan di Petaling Jaya…

Bencana itu sudah tiba di Seksyen 5!
Tak apa. Kita kan di Seksyen 2…

Bencana itu sudah tiba di Jalan 2/4!
Tak apa. Kita kan di Jalan 2/8…

Bencana itu sudah tiba di rumah nombor 47!
Tak apa. Kita kan di rumah nombor 74…

Bahagian depan rumah kita sudah runtuh!
Syukur. Dapur kita masih selamat…

Memperkenalkan… mazhab Aku Tidak Pedulisma!









Allahu...

Kita semakin tidak peduli, pada yang sepatutnya.

Fokus tersasar.

Padahal tsunami itu bukan sekadar tragedi.



“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)” [Ar-Rum :41]




[sumberfoto]



Banyaknya teladan dalam kisah Nabi Nuh a.s.

Banyak lagi yang perlu dimuhasabah.


Sila tepuk tangan bagi yang habis membaca! ^^

Tuesday 12 April 2011

Aku berjalan, aku belajar. (8)


...mendung tak semestinya hujan...


Pabila yang ditakdirkan itu tak pernah diduga,
hati mula disapa gundah,
jiwa pula meresah.
Padahal Dia itu Pengatur segala kejadian.
Maha Tahu lagi Berhikmah.


~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Iya.
Dia yang mengatur segala.


[KLIA, Malaysia. 2/4/2011]

Aku berjalan, aku belajar. (7)


...damai itu milik siapa?...


Apa yang terjadi, tak selalunya
terjangkau dek akal.
Hidup perlu diteruskan.
Mesti berani meredah.
Kerahsiaan itu adakalanya mengangkat darjat.
Ianya bermaruah.
Kerahsiaan juga adakalanya memakan diri.
Ianya menggoyah.
Mesti merancang.
Juga berserah.
Jangan menyerah.
Dia selalu ada.
Lebih dekat daripada urat nadi, bahkan.


~~~~~~~~~~~~~~~~~

pada kekalutan itu aku temui damai.


[Rumahku syurgaku, Malaysia. 28/3/2011]

Sunday 10 April 2011

Syukur mematah ego.



...terus cuba terbang ke langit, walau jejak masih dibumi...






Pabila syukur 


terbang melangit,


ego akan 


rebah membumi.











[Oh, amat suka lagu ini. Alangkah seronoknya jika bakal suami saya akan nyanyi lagu-lagu seperti ini pada bila-bila masa saya minta...]



~~~~~~~~~~~~~~

Dan bersabar itu tidaklah sesukar bersyukur.
Sila percaya.

Saturday 9 April 2011

Aku-aku. Kau-kau.


...dalam islam, tiada istilah aku-aku, kau-kau...



"Nanti, dah duduk asrama, jangan tak kawan dengan orang lain. Bahaya," itu pesan bonda kepada saya dan saudara kembar saya.

Ketika itu, kami baru sahaja mahu menapakkan kaki memasuki sekolah berasrama penuh ketika di tingkatan 4.

"Kenapa bahaya?" soal saya yang tak memahami.

"Iyalah, kalau kita selalu bersendiri, mudahlah pihak yang jahat 'masuk' line, nanti jadi perkara yang buruk-buruk."


Sabda Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya syaitan itu adalah serigala bagi manusia seperti serigala terhadap kambing. Ia menyerang kambing yang jauh dan memencilkan diri. Maka hindarkanlah dirimu daripada hidup jauh berjauhan, dan hendaklah kamu berjemaah, bersama orang ramai dan melazimkan diri dengan masjid” [Hadith riwayat Ahmad]



"Pihak yang jahat? Syaitan ke? Jin?"

"Pun boleh juga. Mungkin juga manusia lain yang jahat."

"Oo... tapi kami berdua. Bukannya duk sorang-sorang."

"Memanglah kamu sentiasa berdua, kalau kamu tak berkawan sangat dengan orang lain. Orang lain pun akan 'takut' nak berkawan dengan kamu, bimbang tak dilayan. Asyik berkepit aje kamu berdua ni." ujar bonda panjang lebar.

Kami tersengih.

Itulah saya dan saudara kembar saya suatu ketika dahulu. Kami selalu bersama, walaupun kadang-kadang berlainan kelas. Memang sedar jugalah, yang orang lain ala-ala tak berani nak berkawan sangat dengan kami berdua, dek kerana kami sentiasa bersama.

Disebabkan kami mahu cuba 'membuka ruang' agar kawan-kawan lain turut berkawan dengan kami, kami cuba 'merenggangkan' diri antara satu sama lain.

Cuba berjalan seorang diri. Ke kelas, ke dewan makan, ke surau.

Iya. Kami 'tersilap' cara. Tindakan kami yang cuba merenggangkan diri antara satu sama lain dengan harapan agar kami masing-masing mendapat kawan-kawan rapat yang lain, akhirnya hanya menambah kesunyian kepada kekerapan berkeseorangan.

Haha.

Hipotesis awal tertolak.

Akhirnya, kami kembali bersama ke mana sahaja.

Dan kini, memang saya rindu untuk selalu bersama dengannya. Masing-masing berada di bumi orang membawa haluan sendiri. Saya tahu dia sentiasa membaca catatan saya di blog ini. Buat kamu, saya rindu kamu okeh.


***

Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, karena itu damaikanlah antara kedua saudaramu (yang beselisih) dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat.
[surah al-hujurat 49:10]



Menjadi muslim,secara automatiknya, kita tidak bersendirian. Juga tak boleh bersendiri.

Tak boleh juga kita menyendiri tak tentu hala. Iaitu, sengaja bersepi-sepian seorang diri tanpa ada sebab yang jelas lagi munasabah.

Melatih diri untuk selalu menyendiri tanpa tujuan yang jelas, kita hanya menempah bala.

Hidup di zaman selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, mengundang banyak cabaran berbentuk ala-ala millenium.


"Aku buat hal aku, kau setelkan hal kau."

"Mind your own bussiness."

"Kain sendiri rabak, jangan duk usya kain orang boleh?"

"Alaaa... selagi dia tak kacau kita, biarlah dia buat apa pun."

"Kubur kita bukan ke asing-asing?"



Itu antara ayat-ayat yang mudah didengari berkenaan situasi hidup ala-ala nafsi-nafsi.

Menyumbang kepada keruntuhan akhlak.

Meningkatkan ego tak bertempat.

Mendorong hidup kurang bermaruah.

Tolak ke tepi sebentar, perihal kebangkitan ummah.

Selagi mind-set aku-aku, kau-kau ini tak diubah, memang selamanya kita akan berada di takuk yang sama.

Sebagaimana solat berjemaah itu menjadi keutamaan dalam solat fardhu, seperti itu jugalah kita perlu sentiasa bersama-sama dalam kehidupan seharian.

Dalam islam, tiada istilah aku-aku, kau-kau.

Kalau menjaga hal orang lain itu, atau bahasa mudahnya 'busybody', adalah tidak patut,

mana mungkin Rasulullah SAW beratus-ratus kali pergi mengetuk pintu rumah si Abu Jahal, demi mengajaknya kepada islam?

mana mungkin juga perlakuan ithar(melebihkan orang lain) menduduki tempat tertinggi dalam tangga ukhwah?

mana mungkin juga manusia diciptakan hidup di bumi dengan beban galas, melaksanakan tugas khalifah?

Logiknya mudah.

Pabila kita tak peduli dengan hal orang lain, secara automatik, kita tiada rasa tanggungjawab untuk berusaha mengajak orang lain bersama-sama kita menuju syurga.

Begitu.

Kita memang kena ambil tahu tentang orang lain. Lebih-lebih lagi tentang orang yang rapat dengan kita. Kawan-kawan kita. Adik-beradik apatah lagi.

Walaupun kadang-kadang ada orang yang tak suka dengan sikap kita yang ala-ala busybody, kita tetap kena ambil tahu juga perihalnya.

Boleh jadi juga sikap kita yang suka mengambil berat dengan perihal kawan kita, terjemahannya pada dia hanyalah kita ini penyibuk.

Jangan cepat melatah jika ini berlaku.
Mungkin ada cara kita yang tak berapa kena dengan situasi, pemikiran, mahupun penerimaan dia.

Bersabar.
Bermuhasabah lah.

Dan kita, elakkan diri daripada suka buat hal sendiri sahaja.

Hidup hanya untuk diri sendiri?
Tak seronok pun.

Hidup hanya memikirkan hal orang lain dengan mengabaikan diri sendiri?
Diri kita ada hak nya.

Mari.
Kita saling hidup untuk satu sama lain.



Jangan memencilkan diri tanpa sebab yang wajar.

Tak perlu menyendiri atas alasan 'malas bergaul'.

Kurang cemerlang dalam pergaulan?

Kelemahan bersosial jika dibiarkan, dikhuatiri akan membawa kepada kesan yang lebih kronik.

Tak mengapa. Perlahan-lahan lah. Latihlah diri agar selalu menjadi proaktif, bukannya reaktif.



Jangan terlalu suka melakukan hal sendiri-sendiri. Bahaya.

Jangan terlalu tak suka ambil tahu hal orang lain. Pun bahaya.

Samalah tu, tukar ayat je.

Haha.

Jangan sorang-sorang okeh.

Sebabnya...

.
.
.

Mengaku diri sebagai daei,

selain kerana Allah dan rasul,

saya tak perlu sebab untuk melakukan sesuatu.

.
.
.

we deserve it better,
di Sana.

Friday 8 April 2011

Hati.


...hati, jangan dibiar sepi...


Pabila diri dah mula mengimpikan keseronokan melebihi keperluan,
renungilah hati.

Pabila nafsu seakan mengawal keinginan,
tegurlah hati.

Pabila tubuh melengah malas bekerja,
jentiklah hati.

Pabila ibadah wajib dilaksanakan secara ala kadar,
beleklah hati.

Pabila ibadah sunat dilakukan tak seghairah dulu,
tanyalah hati.

Pabila bacaan Al-Quran sudah tak serancak dulu,
ketuklah hati.

Hati itu ibarat raja, 
dipersetujui oleh kebanyakan kita.

Hati itu umpama cermin, 
diakui oleh ramainya kita.

Hati itu mudah berbolak-balik,
disepakati oleh majoriti kita.

***

Hati!!!!

Di mana kamu?

Hadirlah memaknai rasa.

Himmah ini perlukan kamu.
Nafas ini mahukan kamu.

Datanglah memenuhi jiwa.

Lompang dakwah yang sepi tak bisa dibiar.
Kawah tarbiyah yang resah tak rela ditarah.

Wahai hati...
aku perlukan kamu.

Duhai hati...
aku menyeru kamu.

***

Hati.

Hati-hati.

Aku risau kamu yang tiada hati.

Aku berjalan, aku belajar. (6)


...manusia selalu asyik meminta, sedang Dia tak jemu memberi...


Kadang-kadang,
kita terlalu banyak memberi,
hingga terlupa untuk menerima.
Lalu hati menjadi kering.
Ruh tak terbasah.
Jiwa tak terbuai.
Damai itu kian menjauh.
Bahagia pula mula meminggir.
Maka iman makin melemah.
Walau hati giat menyeru mujahadah.



~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


Cinta Itu seakan kabur.
Apakah jiwa selalu takbur?


[Negeri jelapang padi, Malaysia. 27/3/2011]

Aku berjalan, aku belajar. (5)


...satu-satunya rumah Allah di Seoul...



Ada ketikanya,
suara hati kita tak pernah bernilai pada pandangan mata manusia lain.

Dan ada ketikanya,
meluah rasa itu ternyata lebih menyakitkan.

Lalu hati mula menghadam,
bahawa diam itu ternyata lebih baik,
walau hati tak sekuat mana menahan rasa,
demi menahan sakit mata yang melihat.




~~~~~~~~~~~

Oh, mungkin inikah berlapang dada?


[Seoul, Korea. 18/2/2011-24/2/2011]

Wednesday 6 April 2011

Mahu menulis.


...bahasa tulisan lebih meluah rasa...

Mahu menulis.

Banyak juga idea bertampuk dalam kepala.

Tapi tak terluah dalam bentuk entri.

Sekadar bait-bait ringkas di ruangan 'notes' di aifon milik peribadi, yang kini togel tanpa casing. Eh,lupa... sebenarnya ada casing, tapi tercabut dek terhempas jatuh buat kali yang ke berapa entah. Bercakap tentang aifon yang kini masih tak 'berbaju', ia pernah becasing suatu ketika dahulu, sebanyak dua kali, itupun kedua-duanya ialah casing percuma pemberian orang, yang sebenarnya dimiliki oleh cik pemilik blog katakhijau ini (credit to her). Pernah ada seorang sahabat yang menawarkan untuk menghadiahkan casing baru, dek terlihatkan casing pertama aifon saya yang sudah lama tak berwajah baru. Terfikir juga saya, buruk benor ke rupe aifon yang bercasing lama?. Hehe. OH, sebenarnya saya amat terharu lagi berterima kasih kepada beliau-beliau yang terlibat dalam me'wajahbaru'kan aifon saya itu.

Eh, macam melalut ke saya?
Sebenarnya nak cakap yang banyak idea-idea terkumpul yang bakal dijadikan entri pembuah bicara di blog tak seberapa ini, kebanyakannya dicatat oleh saya, ke dalam ruangan 'notes' di aifon. Itu je. Termelalut pula. Ah, biarkan, saya kan perempuan. Eh?


Atau nak 'up' sikit, idea-idea tersebut dah menjadi draf terbengkalai yang tak terpublish di blog. Heh, tak ke mana pun.

Mahu menulis, tapi bagaimana ya?

Sejuk.
Itu salah satu punca saya selalu gagal dalam menghabiskan menulis sebuah entri. Sebagai seorang pengidap fenomena Raynaud, kebekuan yang menimpa mengakibatkan jari-jemari ini selalu kaku di atas papan kekunci komputer. Benar. Hampir setiap 30 saat, saya akan 'menyalai' jari-jemari ini di hadapan incik danbo (sejenis alat pemanas). Demi memanaskan jari-jemari percuma kurniaan Ilahi.

Pabila jari-jemari saya menyejuk, saya akan kurang mampu untuk melakukan apa-apa aktiviti pun. Nak pegang pensel pun tak lepas, agak struggle jugalah sebenarnya sewaktu studi. Ok, ini bukan alasan untuk saya malas studi.

Kini di Jepun, sudah masuk musim bunga. Sakura-sakura sudah mula berkembang mengindahkan pemandangan di sepanjang Takeda Doori, yakni jalan sederhana besar behampiran rumah. Selepas bunga-bunga sakura ini gugur, maka akan bermulalah era kepanasan yang agak melampau (selalu mencatatkan beberapa kematian) di sepanjang musim panas. Ni kalau musim tak sejuk pun tak banyak menulis, tak tahulah nak kata apa.

Okey sekejap. Nak menyalai tangan lagi.

Waktu sejuk-sejuk begini, saya mula lah membayangkan, alangkah bahagianya pabila bakal suami saya sudah menjadi suami saya. Boleh lah si dia menggenggam jari-jemari saya yang menyejuk ini, dan lagi best kalau si dia boleh tolong taip apa yang saya mahu tulis. Tapi macam tak seronok je, kalau tak tulis sendiri. Eh, fikir apa ni? Stop. Mari berfikir perkara yang lebih 'besar'.

Mahu menulis.
Itu aje point nya buat masa ini.
InsyaAllah akan menyusul entri-entri yang lain, jika diizinkanNya.
Mohon dipermudahkanNya.

Saya tahu yang blog tak seberapa saya ini mempunyai silent-readers yang ternanti-nanti kemunculan entri-entri baru di sini. Eceh. Terima kasih, dan moga redha Dia sentiasa bersama kalian semua. Terus doakan saya, ya? Terima kasih juga kepada readers yang tak silent. Suara-suara kalian memberi saya nafas, sebenarnya.

Saya tahu juga yang blog tak seberapa ini telah bertambah beberapa followers, walau pun di saat tiada kemunculan entri baru, dan tiada juga blogwalking di saat saya disibukkan hal dunia, demi mendapat akhirat (insyaAllah). Hairan jugalah sebenarnya, apa yang nak difollownya. Apa pun, saya menghargai semuanya. Maaf, jarang sempat nak menjenguk, siapakah gerangan pemfollow blog ini. Diulangi, terima kasih juga yang mampu saya lafazkan.

~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pagi ini, saya buat marathon membaca artikel-artikel di malaysiakini, memandangkan saya sudah beberapa minggu tidak menjenguk ke ruangan itu sepanjang keberadan saya di tanah air. Agak 'lampi' jugalah apabila membaca karangan ini. Dah habis baca, baru dapat tangkap apa yang sedang diperkatakan. Teringat pula kata-kata incik jotter, sarkastic itu seni.

Sepanjang berpijak di bumi kelahiran, saya jarang membuat penerjahan ke alam maya, cuma mensensitifkan mata dengan membaca akhbar-akhbar yang sememangnya penuh auta. Panas hati jugalah sebenarnya pabila mengikut perihal-perihal pelik di tanah air. (Alahai dunia hari ini semakin 'menggelikan'). Juga memicingkan telinga dengan mendengar siaran berita di corong-corong radio dan menajamkan mata dengan menonton siaran-siaran di kaca televisyen. (Sambil mulut terkumat-kamit mengutuk tindakan Amerika ke atas Libya. Oh, tragedi Iraq bakal berulang?) Teringat pula perbualan kelmarin dulu, antara saya dengan cik hosmet yang penyayang dan ganas (eh?) tentang isu Amerika yang terlalu 'baik hati' mahu menamatkan konflik di Libya itu. Amerika itu terlalu suka menolong, atau tak kena cara menolong, atau tak pandai menolong?

Hampir setiap pagi saya tercatuk di depan televisyen, menonton astro di channel 398 (kot?), yang menayangkan siaran NHK, iaitu salah satu siaran televisyen dari Jepun. Itupun sebab nak follow cerita dan berita tentang gempa bumi, tsunami, juga krisis nuklear di bumi sakura ini. Sinaran radiasi yang berlegar-legar di ruang udara Jepun ini telah membimbangkan segelintir warga Malaysia yang ala-ala cepat melatah. Agak kelakar apabila mesej-mesej sms supaya rakyat Malaysia berhati-hati dengan sinaran radiasi, (seperti menggunakan payung ketika keluar rumah, memakai topeng muka (mask) ), telah tersebar dengan amat pantas lagi berinformasi tambahan yang entah dari mana sumbernya. Alahai, penduduk di Jepun ini pun rileks je ramai tak pakai topeng segala, inikan Malaysia.

Errr... bukanlah sifat berjaga-jaga atau mengambil langkah awal pencegahan itu yang kelakar. Cumanya, yang kelakar ialah sikap melatah yang entah apa-apa, juga tabiat suka menokok-tambahkan (baca: menyedapkan) cerita yang ada. Sehinggakan pabila ditanya tentang kesahihan berita-berita tentang bumi sakura ini oleh saudara-mara, saya menjawab "Jangan percayakan sebarang berita tentang krisis di Jepun kecuali daripada orang yang pernah berada di Jepun." Macam pelik la jawapan saya tu, tapi itulah jawapan spontan saya ketika ditanya. Aiseh.






Eh, tiba-tiba jadi satu entri.
Mungkin perlu muhasabah balik hasil tulisan sendiri yang ini.


noted : Oh, melangkah itu sebenarnya payah.

Tuesday 5 April 2011

Tolong Jangan Datang

"Tolong jangan datang, saya dah tahu apa jawapan saya untuk pertanyaan awak."

"Kenapa? Tak bolehkah saya mahu menjadi seorang manusia yang beradat, bersemuka dengan kedua orang tua awak?"

"Saya takut saya yang menjadi biadap di hadapan kedua orang tua awak."

"Tapi saya memang benar-benar mahu hidup dengan awak."

"Jangan mudah melempar kata, nanti merana."

"Saya sudah berkali-kali beristikharah. Saya yakin dengan awak."

"Tolong jangan merumitkan keadaan. Keyakinan itu adakalanya hanya permainan emosi. Tolong jangan tertipu."

"Demi Allah, saya tahu yang saya memang perlukan awak."

"Sila diam. Saya sudah mula rimas."



~~~~~~~~~~~~~~~~~~





Memori silam sering menggugah perancangan masa depan.
Emosi celaru.
Resah menghantui.
Nyata, menelan hakikat kehidupan, ianya tidak mudah.


mood : mengatur langkah, demi mencapah pasrah.

noted : Tiada kena-mengena dengan kejadian sebenar di alam nyata. Cuma bahasa lebih meluah rasa.