Showing posts with label ...aku.... Show all posts
Showing posts with label ...aku.... Show all posts

Wednesday, 22 October 2014

Isteri Orang

Kurang 72 jam dari saat post ini ditulis.

Aku bakal bergelar isteri orang.

Tak pernah terlintas.

Beginilah jalan ceritanya.

Tak pernah terbayang.

Itulah orangnya.


Flashback.
Doa yang diulang tayang.
Tiap waktu selepas solat.

"Ya Allah Ya Tuhanku. Kurniakan aku jodoh  dengan cara yang paling Engkau sukai."

Dan pasti inilah cara yang dah ditetapkan.


Pabila ditanya,

"Mengapa dia?"

Aku hanya membalas dengan senyum.

Pabila disogok kata,

"Kadangkala, kita perlu memilih. Tak salah untuk kau berfikir semula."

Aku tersenyum lagi.
Kali ini nafas dihela.
Jelas, si penanya memang tak mengenali aku.

Pabila diasak soal,

"Apa ada padanya?"

Jawabku, "Bukan apa yang ada padanya. Tapi apa yang jadi padaku setelah dia datang."



***


Aku tenung langit malam.
Dalam-dalam.

"Memilih suami adalah ibarat memilih pintu Syurga."

Terngiang-ngiang pesanan aku pada diri sendiri.
Iya Syurga itu ada harganya.
Kau perlu bersusah payah, berkorban jiwa raga untuk ke SyurgaNya.

Lalu perlahan aku cuba bisikkan pada Hati.
Penuh hati-hati.
Bimbang tak termengerti diri sendiri.

"Untuk Syurga. Pilih yang sukar dibuka kuncinya."

Maka aku pejam mata.
Rapat.
Dengan lafaz basmalah.
Aku terima lamaran itu.

Lalu urusan demi urusan dipermudah Tuhan.

Paling tidak, sehingga saat ini.

Yang bakal terjadi esok lusa.
Hanya berserah padaNya.

"Perkahwinan itu suatu perjudian."
Pesan Bonda berulang kali.

"Jangan fikir banyak sangat. Kadang-kadang kita hanya perlu redah je."
Lagi Bonda ulang.

Telan air liur.

Aku mula menyusun langkah.
Keputusan yang sudah dibuat tak bisa diubah.

Satu-satu aku redah.

Dan tiap satunya Allah permudah.

Allahu...

Tanda apa lagi yang aku mahu untuk keyakinan yang lebih jitu?


Isteri.
Satu gelaran yang penuh bunga-bunga.
Penyeri rumahtangga lah senang kata.
Penyejuk mata pula.

Berat tanggungjawab.
Moga tak dianggap beban.

Tuhan,
bantu aku menjadi isteri dia.


---

Rumah Sewa,
221014

Sunday, 12 October 2014

Kilang lori dan perihal sambung belajar

Kilang lori.

Tempat aku melaksanakan tuntutan kehidupan sehingga kini.

Pada saat awal menyatakan persetujuan untuk menerima kerja ini,
memang aku tak fikir banyak.

Keserabutan dengan presentation final,
juga huru-hara mahu mencari biasiswa buat sambung master.

Itu antara sebab yang buatkan aku terus menerima tawaran kerja dari kilang lori ini.
Panjang ceritanya.

Impian sejak sekolah menengah,
mahu sambung belajar hingga peringkat pHd.
Mahu jadi pensyarah, cerita aku pada semua.
Impian tinggal impian.

Sejurus tamat ijazah sarjana muda (degree),
terus aku melompat masuk ke alam kerja,
sumpah tak pernah terbayang dek mata.

Ingat lagi,
pada waktu awal bulan Februari 2013,
aku memang diserabutkan dengan perihal final presentation,
juga tesis yang menuntut otakku bekerja keras,
tenaga dan masa yang dikerah sebagai pelajar tahun akhir,
memang cukup untuk membuatkan aku gila.

Mujur,
aku masih punya Tuhan,
yang membantuku menamatkan juga status pelajar tahun akhir.

Di celah keserabutan itu,
aku masih tak dapat tawaran biasiswa.
Bagaimana aku bisa sambung belajar (Master) di negara orang?

Bonda di kampung kerap meluahkan rasa risau.
Bagaimana kamu hendak hidup di Jepun tu?
Antara soalan yang kerap ditanya.

Keresahan bonda mendatangkan ketidaktenangan aku.
Lalu aku hantar doa ke petala,
mohon Tuhan lorongkan jalan.

Tolong tenangkan Hati bonda, pintaku dalam sujud.
Saban waktu.

Kembalilah ke tanah tumpah darah, seakan Tuhan membisik jawapan.

Lalu ku putuskan untuk pulang.

Kalau sambung belajar, iya hanya di dalam Malaysia.
Kan masih bisa capai cita-cita, pujukku pada diri.
Sambung belajar adalah cita-citaku dari dulu.

Tapi, keputusan mendadak di masa kritikal sebegitu.
Mana mungkin aku mampu dapat tawaran biasiswa dan tempat sambung belajar dengan segera.
Masa suntuk.
Sudah Februari.
Hujung Mac patut dah balik Malaysia.
Kurang dua bulan untuk aku memastikan diriku tak melepak sahaja selepas pulang ke tanah air.
Nak menganggur di rumah?
Itu tak pernah terbayang di kepala.
Duit.
Aku perlu duit untuk sara hidup.

Lalu aku pun menghantar resume ke beberapa syarikat di Malaysia.
Tak fikir banyak pun.
Main hantar je.
Di fikiran, hanya mahu dapat kerja.
Nak duit. Nak duit. Nak duit.

Takdir Allah Taala,
Aku dapat panggilan temuduga untuk kilang lori ini.
Tak fikir banyak.
Aku redah je.
Temuduga hari jumaat, pukul 9 pagi kalau tak silap.
Khamis malam,
aku naik tren ke rumah junior di Hachioji.
Jumaat pagi, lepas subuh aku terus gerak pergi ke kilang lori,
tempat temuduga.
Dalam tren, kurang dari satu jam,
itulah saatnya aku baru belek internet,
cari tips untuk jawab temuduga.
Gila!
Aku memang tak prepare langsung untuk pergi temuduga.
Dalam masa yang suntuk itu jugalah,
aku tonton youtube,
tentang contoh jawapan bagus untuk temuduga.

Pendek kata,
aku memang tak bersedia langsung untuk temuduga.

Satu jam masa temuduga.
Aku goreng je segala jawapan yang logik.
Muka konfiden tu confirm.

Takdir Allah,
aku dapat juga tawaran kerja di kilang lori ini.

Entah kenapa,
aku terima.

Kontrak kerja dua tahun.

Selamba aku kata setuju.

Konon nak biasakan diri dengan suasana Malaysia,
sempatlah untuk buat rancangan masa depan.
Iyalah kan, planning hidup aku tiba-tiba berubah bila aku tiba-tiba putuskan untuk kerja.
Padahal selama ni dalam kepala set untuk sambung belajar.

Eh, mana ada lupa cita-cita.

Waktu temuduga,
memang aku dah maklumkan pada si penemuduga,
big boss kilang, big boss production, juga big boss HR.
Aku mahu hanya kerja dalam office hour,
dan jangan ganggu hujung minggu.
Ok.
Kata mereka.

Dalam surat tawaran pun ada tertulis begitu.
Itulah sebab kenapa aku tak fikir panjang,
terus terima tawaran kerja ni.

Oh...
Mahu hanya kerja office-hour,
dan jangan ganggu hujung minggu.
Itu bertujuan untuk aku punya masa sendiri,
untuk sambung belajar.
Aku mahu ambil kelas di hujung minggu.
Belajar sambil kerja.
Janjiku pada diri.

Tapi kini.
Pukul 730am selalunya aku sudah terpacak di kilang.
Pulang malam pukul 800pm dikira seronok.
Kerja Sabtu adalah normal.
Kerja Ahad pun tak ada hal.

Entah ke mana hilang cita-citaku untuk sambung belajar.

Hilang.


---


Malam Ahad.
Tak boleh tidur.
Bai.
0218am waktu Jepun.
12/10/2014.





Sunday, 15 June 2014

Hilang hidup

Kadang-kadang,

aku rasa macam dah hilang hidup.

Jam 730pagi sudah terpacak di kilang.

Jam 730malam, kalau sudah menjejak rumah,
akulah manusia yang paling gembira.

Macam nak lompat-lompat pun ada.

Hidup macam hilang.

Sekejap.

Atau diri aku yang sudah hilang?

Tenggelam dengan suasana sekeliling.

Entah.
Aku tak dapat fikir.
Macam tak mahu nak fikir.

Redah.

Redha.

Dua kata kunci,
yang memungkinkan aku untuk terus melangkahkan kaki.

Monday, 9 December 2013

Salahkah aku?

Salahkah aku mahu menjadi baik?

Salahkah aku yang cuba menjadi solehah?

Kau umpama menidakkan kemanusiaan aku,
pabila mengharapkan aku untuk terus sempurna tanpa cela.

Aku juga manusia,
jangan lupa itu.

Salahkah aku cuba mengenal Tuhan?

Salahkah aku yang cuba merangkak keluar dari gelita,
cuba mengejar cahaya yang aku percaya ada?

Kau tak pernah cuba tahu,
bagaimana kegelapan itu menghantui aku.

Salahkah aku berbuat salah?

Kau umpama menafikan kemanusiaan aku,
pabila tersenyum akan kesalahan aku.

Tegurlah aku,
andai aku tersalah laku.

Nasihati aku,
andai aku terlajak kata.

Salahkah aku yang cuba berpakaian labuh dan longgar?

Salahkah aku yang cuba meraikan rasa malu pemberian Tuhan?

Salahkah aku yang cuba berasa izzah dengan kemuliaan yang dijanjikan Tuhan buat wanita yang memelihara dirinya?

Menjadi wanita di zaman ini,
tak pernah aku rasa mudah.

Salahkah aku cuba menjaga diri?

'Orang Baik' yang kau labelkan padaku,
tak pernah menjadi syarat untuk aku tetap berbuat perkara yang betul setiap masa.

Aku juga manusia,
jangan lupa itu.

Apa kau fikir,
wanita berpakaian labuh dan longgar itu sudah pasti ahli Syurga?
Sehinggakan kau berasa jelek akan kesalahan yang diperbuatnya.

"Takkanlah ahli Syurga duk buat perangai pelik yang tak elok gitu?"

Seumpama terngiang-ngiang suara kau menjerit sebegitu.

Wahai teman...

Khabarkan pada aku,
andai aku tersalah.

Jangan hakimi aku,
jangan pernah kau cuba menilai aku.

Kau tak pernah berjalan dengan kasutku,
mana mungkin kau faham kesakitan yang aku rasa sepanjang perjalanan hidupku.

Kalaupun kau pernah menyarung kasutku,
kau takkan pernah mengerti wahai teman.

Kerana gerak langkah kaki kita berbeza.

Ia takkan pernah sama.

Aku juga manusia.
Jangan lupa itu.

---

Nota Alas : Lalu aku memilih untuk menulis, kerana aku tahu kau akan baca.

Nota Tapak : Maafkan aku, kerna aku lahir berpakejkan sifat-tak-pernah-sempurna.


---

Tuhan,
jadikan aku manusia berhikmah.

Di saat maruah perempuan seolah di tapak kaki,
jadikan aku bidadari.




Tuesday, 26 November 2013

Tanah Tumpah Darah

Malaysia.

Aku kira,
selagi hidup dan segala urusan diri sendiri masih haru-biru,
maka ujian datang bertalu-talu.

Tuhan mahu mengajarkan aku,
bahawa hanya Dialah tempat bergantung harap.

Doa.

Iya,
aku belajar tentang doa,
yang memang sebenar senjata.

Tawakal.

Aku makin belajar,
bahawa tawakal itu,
adalah bersedia untuk redha dan tetap sabar,
walau apa yang terjadi,
walau langit runtuh menyembah bumi,
walau bumi merekah terbelah dua,
jiwa aku perlu bersedia,
menerima segala,
tanpa rungut tercela,
tanpa mengeluh hampa.

(';




Monday, 4 November 2013

Sabar

Kebelakangan ini,banyak perkara yang tak terjangka,terjadi.

Satu persatu.Cukup membuatkan aku terkebil-kebil.

Entah bagaimana,ada kekuatan yang membuatkan aku tak mudah goyah,tak melatah.

Entah dari mana,ada rasa tenang yang mendamaikan jiwa,mendekatkan aku pada Sang Pencipta.

Tipu.

Tipulah andai aku langsung tak terganggu,dek dugaan bertalu-talu,satu persatu.

Cuma,cumalah aku rasa kebersamaan Tuhan.

Itu sahaja.

---

Sebagaimana 313 ahli Badar itu,dicukupkan keperluannya di medan perang.1000 kuffar dikalahkan. Satu nisbah tiga. 

Walau ia tak logik dek akal,bagi Tuhan ia cukup mudah. Seakan Tuhan berbicara,"Serahkan urusan kamu kepadaku. Biar aku yang menguruskan. Cukuplah andai kamu berserah diri." 



---Maka segala yang sedikit di mata kita,serahkanlah kepada Allah.Dia akan mencukupkan.








Aku,
masih lagi belajar,
erti berjiwa besar.



Sunday, 15 September 2013

Senja

Insiden senja.

Allah mengajarkan tentang sabar,
dan kecukupan.

Juga rahsia-rahsia yang belum terbentang.

Sekejap cuma,
tapi menyentap jiwa.

Dalam kebasahan hujan,
aku bersandar di tepi tangga.
Memandang langit yang mendung mengandung hujan.

Titisan hujan yang selalu menggembirakan,
tadi sekadar hiasan alam.

Titisan air mata yang penat bertakung,
sudah pun tertumpah paksa.

Lidah cuba juga mengulang istighfar.

Tapi dengusan nafas terluah juga.

Hampa.

Berjalan pulang meredah hujan.
Kaki dihayun laju,
supaya minda tak terfokus pada rasa sayu.

Langit sudah bertukar warna.

Hitam.

Sang rembulan yang kurang suku penuh.
Seakan menyimpan rahsia,
tak mampu bercerita.

Aku tersenyum dalam hujan.
Istighfar diulang-ulang.
Menyebut nama Tuhan sebanyak mungkin.


Tuhan sedang bertanya,
apa benar doa yang aku pinta,
sama ada memang sebenar pinta,
atau pemanis mulut semata.

Tuhan sedang mengajarkan sesuatu,
naluriku memberitahu.

Aku mengangguk,
seakan setuju.

---
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.

Merajuk.
Nak Tuhan pujuk, boleh?

Membawanya Pulang

Tanah ini menjadi saksi.

Yang tersurat,
dia kembali atas urusan kerja.

Yang tersirat,
dia kembali mengutip serpihan rasa,
yang bertabur tertinggal lara.

Mengumpulkan lalu memeluknya dengan Cinta,
agar ia tak terburai menjadi hampas yang bakal hapak,
dia mahu membawanya pulang.


---

Katanya,
langit di sini masih seperti dulu.
Senjanya tetap memukau.

Katanya lagi,
hujan di sini masih menambat jiwa.
Cantik bertempias ke muka.
Dia suka!


---
Nota tapak : Dia menghitung serpihan rasa yang berjaya dikumpul. Setiap malam cuba mencantum.


(';


Friday, 30 August 2013

Satu-satunya pilihan yang aku suka

ialah memilih untuk tetap menapak,
di saat berdiri tegak bukan lagi pilihan jawapan,
sedang menoleh belakang pun dah dihapus jejak.

---


Ini bukan puisi.
-gja-


Thursday, 29 August 2013

Teruslah tersenyum

Allah sedang mengajarkan sabar.

Lalu teruslah tersenyum.

Sedang mereka hairan dengan kau yang masih bisa bertahan dalam situasi begini.

Lalu teruslah tersenyum.

Kau tak sendiri, Tuhan sedang menyertaimu.

Lalu tersenyumlah.

Terus.


---


Aku yakin, Tuhan memang sedang mengajarkan sabar.

-gja-
0255am
Shah Alam

Tolong Doa

Tolong doa.

Mohon doa.

Doakan ya?

Itu antara ayat-ayat penghujung untuk beberapa post di blog pelik ini, akhir-akhir ini.

Para pembaca tegar dan secret admirer (nak perasan sikit--) mesti perasan hal ini kan?

Pemilik nick name 'Aku-bukan-robot' perasan tak hal ni? Kikiki--- (special dedication)

Ehem.

Tak ada apa, saja.

Mengharapkan ada doa daripada hati yang jujur di luar sana. Mana tahu, doa kalian yang Allah angkat ke langit.

Mengenangkan diri sendiri yang masih lagi bergelumang dengan jahiliyah sendiri, membuatkan saya selalu meminta orang lain untuk mendoakan saya.

Orang tua-tua.

Pengemis tepi jalan.

Adik bertudung jual ubat tepi bank.

Pakcik berkopiah jual kereoek di hujung bangunan.

Pakcik mekanik yang namanya seperti ayah saya.

Itu antara orang yang saya minta doanya.

Mak saya selalu pesan, orang yang susah, hidup biasa-biasa tu, selalunya ikhlas. Makcik-makcik cleaner, janganlah kita pandang lekeh je. Orang sebegitu, selalunya buat kerja ikhlas. Hatinya baik.

Itu antara sebab saya suka bersembang dengan makcik dan akak cleaner.

Saya tahu yang akak cleaner yang belum betudung (free hair) di tempat kerja saya, mempunyai seorang anak berusia belasan tahun, yang memasuki sebuah pesantren di Indonesia atas kemahuan sendiri.

Anaknya mahu belajar agama, katanya. Saya mengangguk sahaja.

Akak cleaner ni pernah datang ke Malaysia suatu masa dulu, mula bekerja di Sungai Petani sebagai bibik. Kemudian pulang ke negaranya sebelum datang semula ke Malaysia untuk bekerja sebagai cleaner ditempat kerja saya. Pernah beberapa kali saya terlihat dia sedang berjalan pulang selepas kerja bersama rakan-rakannya yang lelaki. Dia seorang je perempuan? Mesti sunyi ... kesiannya... rasa macam nak jalan sekali... saya bermonolog setiap kali melihatnya berjalan pulang, sedangkan saya naik kereta (tumpang member la tapi) walau rumah dekat tak sampai 10minit je. Cuak kot nak lintas jalan kat area Shah Alam yang banyak kenderaan dan para pemandu gila yang kurang sabar. Ops---

Sedih dan sayu pabila mengetahui dia berusaha mengumpul duit untuk dihantar ke Indonesia buat anaknya yang mahu belajar agama. Beberapa kali dia mengulangi cerita yang sama kepada saya.

Aiseh macam mana boleh termasuk cerita pasal akak cleaner ni....

Kembali ke topik asal.

Tolong doa.

Saya amat memaksudkannya.

Menjangkakan diri sendri sudah membuat persediaan mental fizikal buat menghadapi kehidupan di Malaysia yang dikatakan sungguh realiti itu.

Rupanya saya tersilap perhitungan.

Masih lagi berlaku cultural shock. Ewah--

Betul, tak tipu.

Kejutan budaya di tanah tumpah darah sendiri.

Banyak juga kejutannya.

Masih cuba mencari 'tune' buat mengikut rentak yang sukar difahami.

'Baru nak bernafas....' itu antara ayat saya pabila ditanya 'Amacam hidup di Malaysia?'

Kehkeh.

Sekian bebelan ringkas.

Nak sambung tidur.

Tadi awal sangat terkoma. Penat otak dan badan. Mujur jiwa masih dibelai Tuhan. Sumpah, tak tipu.

Nak senyum boleh?

Nak tidur sikit lagi. Moga boleh bangun dan jadi manusia normal esok. Biological clock tak boleh diganggu. Hoi-- Kang ada kes orang menguap kat ofis.

Makin merepek nampaknya.

Bye.


---

Nak doa lagi tau.

Thursday, 1 August 2013

Kasih dan Sayang

Kasih dan sayang.

Itu yang menggerakkan.
Menyemai rasa cinta yang tak terluah dek segala kata.

Sesekali, aku merasakan bahawa dunia ini sudah kehilangan rasa.
Segalanya hanya wayang semata.

Tapi,
ia masih ada.

Aku tahu dan tetap percaya,
bahawa kita masih punya rasa.
Walau sekelumit cuma.

Rasa kasih,
dan sayang.
Itu akan menuntun akhlak kepada yang baik,
sesama manusia.
Lalu menyentuh hati-hati yang dahagakan siraman kasih dan sayang.
Pastinya bisa membawa kepada Tuhan,
Pemilik Segala Kasih Sayang.

Berapa banyak jiwa yang tersentuh dengan akhlak mulia Sang Nabi?

Tapi berapa ramai antara kita yang mencontohi akhlak baginda?

Kasih,
dan sayang.

Ia sukar untuk dicurahkan pada semua.
Lebih-lebih lagi andai ada kisah lama,
yang menuntut kemaafan kita padanya.
Tak.
Bukan tak boleh nak maafkan,
tapi lukanya amat dalam.
Dah.
Sudah pun dijahit.
Tapi mungkin jahitan tak berapa kemas,
hampir-hampir tertetas..

---
Aku,
masih lagi berusaha.
Melihat semua manusia dengan hanya satu pandangan.
Kasih, dilengkapi sayang.

Mohon doa, ya?

Thursday, 18 July 2013

Entah kenapa

Hati selalu sayu tak semena-mena.
Berdebar entah tiba-tiba.
Gembira tak tersangka-sangka.


---
Ramadhan.

(':



Friday, 14 June 2013

Rahsia

Kadang-kadang kan,
berahsia itu buat jiwa tertekan.

Rahsia disimpan,
daripada diri sendiri.

Itu tak jujur.

Hoi ~

Nak dikhabar pada teman,
seakan makin meraban.

Okeh.

Mari tanya iman.

---
Nota tapak : Iman itu akan membolehkan seseorang untuk berbual dengan hati sendiri. Allah sebagai peneman.


(';

Sunday, 14 April 2013

Pendidikan Percuma


[Pendidikan Percuma]

Nota awal : Sedangkan nyawa, nikmat islam dan iman yang percuma pun dibuat-tak-kesah je, inikan pula...

--- 

Saya lebih nampak pendidikan percuma ini dapat bantu dari segi ekonomi pelajar SAHAJA. 

Ia memang tak boleh mengubah pelajar malas kepada rajin lagi hebat hanya kerana 'menghargai pendidikan percuma' (memang tak logik pun manusia berubah hanya kerana itu. ) 


Nota 1 : Ini bukan medan-silap-mata, 'TIIING~' tup tup jadi manusia rajin lagi berilmiah.

Kalau bab nak ubah pemikiran pelajar,
untuk fikir lebih matang,
yakni menjadikan pelajar itu menjadi lebih baik dalam bab pendidikan mahupun sahsiah,
yang perlu diusahakan ialah (antaranya) :

Sistem pendidikan di sekolah, bentuk program kokurikulum, jenis drama dan movie di televisyen, program masa lapang dsb. 

Nota 2 : Kita memanglah belajar subjek-subjek di sekolah, tapi percayalah yang kita juga belajar menjadi manusia melalui jenis rancangan televisyen, dan program masa lapang juga (tak keterlaluan kalau saya kata apa yang kita belajar di sekolah, tak digunakan sepenuhnya sewaktu alam bekerja dan berkeluarga).

My point is, persekitaran lah yang membentuk seseorang itu untuk fikir lebih kritis lagi matang, sekaligus meningkatkan jumlah manusia bermanfaat.

Kata Kunci : Bermanfaat

"Barangsiapa yang tidak menyumbang apa-apa kebaikan kepada dunia, dia hanyalah lebihan kepada dunia."
- Mustafa Sadiq ar-Rifai'e -
(seorang Fuqaha')

Kalau belajar tinggi-tinggi pun,
tapi bila bekerja masih fikir nak kaut untung ke dalam tekak dan perut sendiri,
akhlak entah ke mana,
sia-sia je lah.

Kalau belajar tak berapa nak tinggi pun,
tapi bila bekerja, 
dialah dengan penuh amanahnya membuat kerja sendiri bersunguh-sungguh,
sentiasa menyantuni manusia sekeliling dengan baik-baik,
oooh indahnya dunia!

Nota 3 : Belajar tinggi atau tidak, ada sijil atau tidak, itu hanya nilaian manusia. Manusia yang tentukan 'kedudukan dan keberjayaaan' seseorang manusia itu, melalui jenis aliran, jenis sekolah, jumlah sijil dsb. Sadis kan?


Kembali kepada topik asal, saya memandang pendidikan percuma dalam aspek ekonomi sahaja.



Pandangan picisan,
seorang student obesi,
yang dapat belas ihsan kerajaan untuk menerima biasiswa.



Nota akhir : Saya membesar dalam keluarga yang tidak mewah. Hakikatnya, duit biasiswa saya banyak digunakan untuk membantu keluarga di tanah air. 

---
Melihat dunia dari kacamata berbeza.

Wednesday, 6 March 2013

Kiasan : Mengapa ?


Gagak jalanan itu lebih memahami, 
mengapa jalan itu penuh sampah di kaki.

Kamu yang bernama Helang,
sila manfaatkan peluang menerjah udara,
moga mampu mendarat sebaiknya.

Berapa ramai yang boleh meneka atau faham apa yang saya cuba sampaikan melalui ayat-ayat di atas ini (yang saya kira tak adalah berkias mana)?

---
Ada seorang kawan pesan kepada saya,

"Gja, janganlah sarkastik (dalam penulisan) sangat, i tak faham." 
**Kawan saya sebenarnya memaksudkan bahawa jangan berkias sangat. Ini berdasarkan perbualan-perbualan kami yang sebelum itu.

"Hahaha." Saya sambut dengan gelak tawa.

"Ohhh... sarkastik itu adalah tanda si penulis masih mahu beradab sopan, menjaga tatasusila sebagai manusia-yang-punya-hati dalam penulisannya. " Jawab saya dalam hati.

"Masalah timbul apabila si pembaca tak dapat tangkap maksud sebenar si penulis. " Tambah saya, juga dalam hati.

"Keadaan makin buruk apabila si pembaca mula membuat anggapan sendiri yang berunsur negatif. Itu memang perangai manusia di mana-mana ceruk bumi." Sambung saya lagi, masih dalam hati.

---
Bila kita tulis/cakap direct lagi tegak depan muka, lalu si pembaca/pendengar tetap tercengang terpinga-pinga tak faham apa yang kita kata, maka itu adalah suatu kerja sia-sia.

Makanya di sinilah ayat-ayat sarkastik memainkan peranannya. 
Bahasa mudahnya, ia bertindak sebagai 'Pemujuk-Jiwa' .

Apabila kita tulis/cakap secara sarkastik (baca : berkias), lalu si pembaca/pendengar tak dapat tangkap maksud asal, sebagai si penulis/tukang-cakap, kita pun rasa TAK-APALAH-depa-tak-faham pun, sebab memang kita tak tulis/cakap ayat yang biasa orang guna. Paling kurang, kita dapat 'menyalurkan rasa/pemikiran kita' .



Tak semua orang akan sedia dengar apa yang kita kata. Tapi, kita tetap perlu 'menyalurkan apa yang kita rasa, untuk elak meletup' dek simpan lama-lama. [Kredit]



Nota : Segala perasaan suka duka, ceria lara, sayang marah, adalah sejenis tenaga yang perlu disalurkan. Ia tak dapat dicipta, tak dapat juga dihapuskan. Ianya hanya boleh dipindahkan. (Ini adalah hasil penghadaman dari pelajaran di kelas fizik selama bertahun-tahun).


---
Moga menjawab persoalan.

*senyum*





---
1) Saya baru sahaja pulang dari berjalan-jalan di Pulau Okinawa, sebuah pulau di Jepun yang mempunyai cuaca, bangunan, dan pepohonan seperti Malaysia(kawasan tropika). Orangnya sedikit 'ganas' berbanding di kawasan Tokyo.

2) Tak adalah berjalan mana. Lebih kepada mencari diri yang baru. Err... Hati baru?

3) Alhamdulillah. Tsumma, alhamdulillah... cantik sangat pemandangan. Segar dan nyaman! Oh, Allah sangat baik!

4) Sireh bakal pulang ke gagang. Semoga.


Wednesday, 27 February 2013

Antara Figura-Muda-Ikhwah-DnT-Semasa dan Komen-Akhwat

Amaran : Ini post panas. Tak pernah-pernah saya letak amaran kat depan post di blog ini.

Jemput baca bagi yang teruja.

---

Kebelakangan ini, 
dunia dakwah dan tarbiyah sudah mula (baca : makin) mendapat tempat di hati muda-mudi harapan agama.

Mari ucap alhamdulillah.
Syukur dan teruslah bersyukur.

Alam maya.
Kewujudan figura muda yang berimejkan dakwah dan tarbiyah.
Bergaya kelihatannya.
'Hot stuff' semasa lah pendek kata.
Ada beberapa figura yang andai saja meng'update' sebarang status di alam mukabuku, mahupun menge'post' artikel di laman blog, ada sahaja manusia yang klik butang 'share' , koman-koman 'like' , tak kurang juga yang segar mengisi ruang komen.

Iya, itu suatu perkara yang bagus jika kita memandang ia sebagai suatu respon terhadap suatu 'luahan rasa' mahupun 'pendapat'.

*ehem*

Saya akhwat.

Apabila figura itu adalah seorang lelaki (baca : ikhwah), 
makanya saya yang berjantina perempuan (baca : akhwat), 
akan berasa pelik sekaligus mengecilkan saiz mata, sesekali berkerut dahi secara tiba-tiba apabila membaca sebarang komen daripada kaum sejenis saya (baca : akhwat) yang berbunyi seperti :

"Astaghfirullah al-azim... terkesannya baca apa yang akhi tulis. terkesan!"

atau

"Ooohhh... terasa diriku ditembak bertubi-tubi."

atau

"Wahwah terasa amat bersemangat apabila membaca post ini."

atau 

"Huuuu... kena usaha lagi ni. yosh~"

dan seangkatan dengannya.


Nak lagi hebat?


"Waduh waduh... beruntungnya saya baca artikel ni. Pandainya akhi menulis!"

atau

"Inilah dia bakal pemimpin zaman ini! Bertuahnya bakal zaujah nanti."

atau

"Tahniah kepada jejaka on demand masakini. Tulisan anda benar-benar menyentap jiwa hamba."

dan yang seangkatan dengannya.


*ehem*


Jangan salah sangka.
Saya tak jeles.
Tak pula rasa nak marah.


Cuma...
Hairan.

Bagaimana bisa seorang yang mengaku akhwat boleh memberi komen sebegitu rupa? 

Jemput baca sekali lagi contoh-contoh komen yang saya senaraikan di atas. 

Carilah persamaan yang ada. 

Jumpa?

Kesemua contoh yang saya beri tu, mempunyai unsur 'perasaan'. 

Err...
Faham ke?

Untuk yang suka direct-direct : 
Kesemua contoh komen tersebut nampak macam mengada-ngada (baca : gedik) la senang kata. 
(Nampak mengada di mata saya. Maaf pada yang tak nampak gitu)

Kita akhwat.
Tak perlu kot nak bagi komen gitu kat status/post ikhwah. 
'Terusik hati' si ikhwah bila baca komen kita yang sebegitu.
(Ni berdasarkan apa yang saya faham daripada status/post ikhwah juga. Mereka kata yang mereka susah nak jaga hati bila baca komen-komen akhwat.) 

Yes~
Memanglah iman depa, depa yang jaga.
Tapi kita kenalah jaga iman kita juga.
Atau mungkin lebih 'ringan', kita kena jaga akhlak kita (err... ikhtilat?).

Tak perlu letak komen yang ada unsur-unsur jiwa di situ.

Bahaya!

Letaklah yang berunsurkan 'akal' yakni yang boleh dijadikan perbincangan ataupun boleh difikirkan bersama, bukannya boleh membuatkan orang menelan air liur. 

Tergamam.

Contohnya, status tersebut bercerita tentang masalah futur yang berleluasa. Jadi, mungkin kita boleh beri komen seperti :

"Masalah futur bukanlah masalah peribadi. Seseorang akhwat perlu bantu akhwat lain yang sedang futur. Kena selalu tanya khabar. "

atau

"Futur itu normal. Tapi perlu dibasmi segera. Perlu mantapkan tarbiyah dzatiyah."

atau

"Apabila futur, akhwat perlu keluar mencari akhwat. Cuba meresapi kekuatan dari akhwat yang lain lah senang kata."

dan seangkatan dengannya.

Pendek kata...
Bila orang baca komen kita, orang akan angguk kepala (tanda setuju atau berfikir). 
Bukannya yang akan buat orang rasa hairan tak semena-mena.

Risaunya,
kalau orang naik menyampah.

Yes~
Saya akui, akhwat itu seorang perempuan, yakni makhluk kaya emosi.
Tapi tapi tapi...
Please akhwati fillah...
Jangan cepat dan mudah memberi respon gerak balas sebegitu rupa.
Malu.
Saya yang baca pun rasa malu.

Jom kita jaga 'nilai' yang kita ada.

Kalau setakat nak komen dengan menulis perkataan "Astaghfirullah" , "Subhanallah" , "Terkesan!" , dan sebagainya, rentikan je la. 

Tak perlu. 

Kalau nak komen dengan puji-puja seolah dialah suami kita yang sah, tolonglah jangan!


Satu, ianya bisa mengundang pandangan buruk kepada kita sebagai akhwat. 

Dua, ianya bisa mengundang penyakit hati kepada si ikhwah. 

Tiga, ianya bisa mengundang persepsi negatif (baca : fitnah) kepada dakwah yang kita bawa.

Empat, ianya membazir. Penat-penat si ikhwah menulis status/artikel, tiba-tiba ada manusia yang menjauhi dunia dakwah dan tarbiyah ini, hanya kerana komen yang kita tulis?


Allahu Allah.


Akhwati... Akhwati...!!


Mengah.




Khabarnya, bakal bidadari di Jannah. Takkanlah mudah melemah dan meluah? [kredit]



---



1) Saya kira, post kali ini agak tergantung. Sudah beberapa kali saya cuba baca semula untuk dibuat penutup yang kena gaya, tapi tak muncul juga idea. Saya rasa sesaknya dada. Maafkan saya.

2) Dah lama pendam. Moga bermanfaat.

3) Ataukah post ini takdelah panas mana? Bajet je lebih~

4) Minta maaf kepada yang tidak selesa. Memang sengaja.




Yes, I care.



Friday, 25 January 2013

...

.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.

.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
Sudah dibilang, SABAR itu pada hentakan yang pertama.

Diam.


---

Yang tersayang itu yang bisa menjerut kesayangan hamba.

Berbisa.

---

Untuk Kau semata.

Mana?

Tuesday, 22 January 2013

Warisan - Jasa Bonda

Kau dibuai mimpi, dia jaga.
Kau bersenang, dia bekerja.
Untukmu tiada terbatas,
memberi tak minta dibalas.

Ingin dibinanya untukmu,
kehidupan yang sempurna.
Punya kekuatan jiwa,
punyai MARUAH.

Leterannya dari rasa luhur,
menegur sebelum terlanjur.
Itulah yang diwarisi,
pesan ibu terpahat di hati.

Beringat-ingatlah berpesan-pesan,
untuk kebaikan.
marah bukan kebencian,
tapi tanda sayang.

Engkau semakin dewasa,
berjiwa MERDEKA.
Sedang dia semakin tua,
membilang usia.
Di saat kau berjaya,
dia tiada berdaya.

Semoga kau tak lupa,
jasa BONDA.

[Warisan-Jasa Bonda]





---
Semenjak kali pertama,
ia mula berdendang di telinga,
lapan tahun yang lalu,
tak pernah ia menjemukanku.

Ada unsur jiwa,
dalam alunan lagu ini.

---
Wahai Pemilik Segala Jiwa,
Ampuni dosa aku.
Ampuni dosa bonda,
Ampuni dosa bonda.
Ampuni dosa bonda,
Ampuni dosa ayahanda.
Dan kasihilah mereka,
sebagaimana mereka mengasihiku,
semasa kecilku.


Takwa dan Tawakkal

Takwa.
Itu membawa kepada jalan keluar,
juga rezeki yang tak disangka punca.

Tawakkal.
Tuhan akan mencukupkan segala.

Percaya.
Itu syarat agar Tuhan menyertai kita.

(';

Tarbiyah Allah di mana-mana.
Dalam sebarang rupa.


Maka bertasbihlah.



Ianya tentang Percaya. Sila percaya.[Foto ihsan google]



Kapasiti ujian yang menyesak nafas.
Untuk mereka yang berHATI luas.

Kapasiti dugaan yang berat.
Untuk mereka yang berjiwa hebat.

Kapasiti nikmat yang melapangkan dada.
Untuk mereka yang syukur tiada tara.


---

Tujahkan doa melangkau petala. 
Tanpa curiga. 
Dia mengikuti sangkaan HambaNya,

---

Nota ; Mari doakan saya.