Saturday 12 March 2011

Quake in Japan : sekali mengaum, baru tenganga.


Alam tak pernah membantah, ataukah kita yang malas bermuhasabah? [sumberfoto]


***

Aku telah hidup di bawah bayangan al-Quran, dan di sana aku dapat merasa adanya keseimbangan yang indah di antara harakat manusia seperti yang dikehendaki Allah dengan harakat alam buana yang diciptakan Allah. Kemudian aku melihat keadaan simpang-siur yang dialami oleh umat manusia yang telah menyimpang dan undang-undang alam buana, juga melihat percanggahan di antara pengajaran-pengajaran yang merosak dan jahat yang diajarkan kepada mereka dengan fitrah semulajadi mereka, lalu aku berkata di dalam hatiku: Manakah syaitan yang jahat yang telah memimpin umat manusia ke Neraka ini?

Alangkah ruginya manusia!


[Sayyid Qutb, Mukaddimah Fi Zilal al-Quran]




***



Ayat ini telah menyentak hati saya ketika kali pertama saya membacanya, suatu ketika dahulu.

Ayat ini juga yang memanggil saya untuk menghadam ibrah terselindung di sebalik kejadian gempa bumi yang mencetuskan kebimbangan di hati bonda juga ayahanda di tanah air.

Ayat ini jugalah yang memanggil saya untuk terus menelan tarbiyah daripada suasana huru-hara di bumi yang majoriti warganya sentiasa berkejaran memburu dunia, 'penafsiran' direct terhadap konsep sunnatullah, tanpa penelitian hebat pada prinsip syariatullah.


Allahu akbar!


Objek yang sama, dilihat daripada sudut pandangan yang berbeza. Ianya sentiasa subjektif. Ilmu al-Quran merangkumi segalanya. Sudut pandangan sebagai muslim. Mesti melihat dengan mata hati.


***


11 Mac 2011.
A part of a history.
Sejarah terburuk gempa bumi di Jepun.

Plat tektonik Pasifik yang menggelongsor secara tesentak-sentak,
sekaligus menyebabkan berlakunya gempa bumi di bumi samurai ini.

Plat tektonik telah beralih,
sekaligus merubah kedudukan daratan dan juga dasar lautan secara perlahan-lahan kepada kedudukan yang baru. Tsunami mula beraksi.

Kerosakan harta benda, kehilangan rumah kediaman, kebakaran kilang, penundaan penerbangan di airport, penutupan tren-tren, jalan-jalan raya yang ditutup, dan banyak lagi tak tersenarai. Rakyat Jepun di kawasan yang terlibat seumpama pelarian dalam kesejukan. Foto-foto berkenaan, boleh lihat sini.

Sehingga saat saya menulis entri ini, kadar kematian(不明 , bukan accurate number) adalah 1300 orang. Mata seolah tak mahu lepas daripada memandang kaca televisyen.

Line-line telefon kian tenat. Sekejap ada, sekejap putus.
Ruang maya menjadi medium pilihan untuk berhubung.
Yang tiada tv di rumah, ustream menjadi salah satu pilihan lagi. Di update sentiasa.

Status tahap kestabilan mengikut kawasan dilaporkan juga di sini.

Disebabkan tren-tren dihentikan perkhidmatan buat sementara waktu, ramai yang terkandas, sehingga terpaksa berjalan kaki 3, 4 jam lamanya, untuk pulang ke rumah masing-masing termasuk beberapa orang pelajar Malaysia.

Alhamdulillah, kawasan tempat tinggal saya masih di tahap stabil. Itupun, sekejap-sekejap (11/3/2011), masih terasa gegarannya, dalam tempoh gegaran yang lama. Gegaran yang terasa di awal pagi tadi (12/3/2011), sedikit sebanyak merisaukan saya yang keseorangan di rumah ini. Terima kasih kepada semua yang bertanya. (=


***


Bumi selalu bersuara.
Manja-manja, orang tak dengar.
Mengaum, baru ternganga.

[muhasabah mode]


Doakan segalanya baik-baik sahaja.

Friday 11 March 2011

Aku berjalan, aku belajar. (4)


Islam akan terus menyinar. Merugilah bagi yang tidak menyumbang ke arahnya. [sumberfoto]




Kesesatan dalam kegelapan itu lebih wajar,
berbanding dengan teraba-raba dalam cahaya.

Menyuluh-nyuluh dalam kesamaran jahiliyah itu nyata lebih bermaruah,
berbanding dengan menyilaukan kebenaran yang sudah sedia cerah.



***




Malam.
Aku keseorangan mencari stesen bas Osaka-Umeda.
Benar seperti kata si senior, susah mahu mencarinya.
Warga Osaka sendiri sudah berkali-kali tersesat,
apatah lagi aku yang dari kampung Yamanashi.
"Tak apa, biar tersesat dahulu, baru kita akan bersungguh mencari jalan yang betul."
jawab aku dalam hati.

Berbahasa, kononnya.
Bajet macam hebat, mudah jumpa jalan.
Haha.
Nyata aku tersesat juga.
Stesen bas.
Aku cuba juga mencari.
Dengan bantuan navigation melalui iphone,
juga dengan imaginasi sendiri hasil daripada gambaran daripada si senior.

Hujan.
Ia turun membasahi bumi.
Menambah kegelisahan,
juga kesejukan di malam hari.

Tanya orang, itu yang diputuskan.
Bertanya kepada si Japanese,
aku cuba berbahasa penjajah tanah air suatu ketika dahulu.
Melihatkan diriku yang bukan Japanese,
si Japanese cuba berbahasa antarabangsa.
Alaaa... bahasa penjajah kita jugalah, bahasa Inggeris.
Seperti kebanyakan Japanese yang lain,
si Japanese ini nyata kurang betul pronounciation bahasa Inggerisnya.
Tak faham aku dibuatnya.
Menambahkan lagi kesukaran aku di malam hari.
Sudahlah aku mengejar masa.
Aiseeeh...
"Cik kak, kalau kita berkomunikasi dalam bahasa kamu (japanese), lagi bagus saya rasa."
cadang aku, cuba memberi jalan penyelesaian.
Si Japanese bersetuju.
Fuh, lega.

Lapar.
Sangat mahu mengalas perut, walau sedikit.
Aku mengejar masa.
Tak sempat nak singgah konbini pun,
untuk membeli sedikit makanan.
Itu pada mulanya lah.
Tahap kelaparan yang kian meningkat nyata mendesak aku untuk merubah fikiran.
Mata mula melilau mencari konbini.
Tak jumpa.
Makin lapar dalam kesesatan.

Teringat pesanan seorang kakak,
"kalau mahu apa-apa, minta sama Allah..."

Terus cuba dipraktik semahunya.
Berulang kali disebut,
"Ya Allah, aku lapar."
beritahu aku kepada Dia, yang sememangnya sudah sedia tahu.

Dalam hujan,
aku terus meredah malam.
Dengan pertolongan Dia,
melalui si Japanese tadi.

Akhirnya.
Jumpa juga stesen bas harapan.
Alhamdulillah.

Jumpa juga konbini idaman.
Dalam kejar2 masa itu,
aku sempatkan juga untuk membeli.
Sekotak air coklat Van Houten,
bersama 2 biji(betul ke itu penjodoh bilangannya?) onigiri tunamayo (tuna+mayonis).
Satu untuk dimakan dalam bas, satu lagi untuk sarapan pagi esok.
Itu cadang asalnya.
Bimbang pagi esoknya, aku kelaparan lagi.

Uwaaah...
terima kasih ya Allah.

Bas.
Kempat-empat tayarnya meluncur laju ke Hakata-eki, Fukuoka.
Dalam bas.
Aku memberi sebiji onigiri kepada Kurita Megumi, kenalan baru di atas bas.
Sebiji lagi pula untuk aku.
Sebelum terlena,
kami berbual-bual sambil makan onigiri.

Kurita Megumi.
Seorang pelajar jurusan undang-undang rupanya.
Kagumlah aku seketika.
Teringat cita-cita zaman kanak-kanak aku dahulu.
Aku pernah berimpikan mahu menjadi seorang peguam.
Lantang bersuara melontar hujah.
Mendedah kebenaran.
Tapi kini aku bergelar seorang pelajar enjin.
Jauh juga lah untuk menjadi peguam.
Si Kurita Megumi.
Tak mahu menjadi peguam segala,
mahu menjadi seorang pembuat roti,
mahupun menjadi seorang designer pakaian (kalau aku tak salah lah).
Itu kata dia.
Aku mengangguk, menghantar reaksi balas.

Perbualan diteruskan.
Entah macammana,
termasuk topik tentang agama.
"Apa pandangan awak tentang orang yang bertudung, yang solat?"
tanya aku bersahaja.
"Pada saya, mereka itu orang yang nesshin (bersungguh-sungguh) dalam beragama,"
jawab dia bersemangat.
Anak matanya dikecilkan, memberi signal bahawa dia benar-benar memaknakan kata-katanya.
Aku perasan akan hal itu.
Aku tersenyum tak semena-mena.
Rasa izzah dengan agama kebanggaan diri.
"Nanti pagi esok, awak nak solat macammana? Kan kita ada di dalam bas,"
si Kurita Megumi melontar soalan, selepas aku bercerita kepadanya tentang waktu-waktu solat.
"Kita ada di dalam bas, jadi saya solat di dalam bas sahaja lah,"
balas aku spontan.
"Waaah... boleh ek macam tu?"
tanya dia lagi. Matanya membuntang.
"Mestilah boleh. Islam ni mudah je..."
balas aku selamba.

Malam terus larut.
Sedang si pungguk tetap merindukan sang rembulan,
sang rembulan terus bertasbih memuji Yang Maha Segala.
Aku terlena dibuai mimpi.
Begitu juga dengan si Kurita Megumi di sebelahku.
Dalam perut bas yang meluncur laju membelah kepekatan malam.

Detik-detik masa menghampiri dinihari.
Solat subuh ditunaikan di tempat duduk di dalam perut bas.
Fenomena biasa bagi orang-orang islam di bumi sakura.
Nak solat di surau segala, seperti di tanah air?
Memang susahlah.
Masjid-masjid dan bilik-bilik yang dijadikan musolla,
sudah ada kewujudannya di bumi samurai ini.
Tapi, tak banyak lah.
Cukup untuk bermuhasabah.
Masih banyak lagi kerja kita yang mengucap syahadah paling kurang sembilan kali sehari ini.
Bumi samurai ini perlukan cahaya islam yang menyinar.
Perlu disuburkan.
Ianya gersang.
Hedonisme menggila di sini.
Sifat kagum entah apa-apa terhadap barat, amat memuncak.
Bangunan-bangunan menjulang langit, tak terkira bilangannya.
Teknologi dunia gajet, dibangga melangit.
Hidup mesti ditambah baik, itu kata mereka.
Kerja yang bagus, itu menjamin hidup.
Itu juga kata mereka.
Sedang insan-insan homeless makin bersepah tak terjaga.
Meh tengok sat...



Insan-insan homeless di bumi samurai ini digelar 'gentleman'.
Mereka tidak meminta-minta, setahu aku.
Rasa kasihan akan menjalar ke seluruh urat nadi.
Pabila bertemu dengan mereka di tengah kesibukan kota Tokyo, selalunya.

Aku terdiam menghadam realiti.
Dunia tak bisa dibiar terus begini.
Islam dibawa menyebar kesejahteraan.
Tapi banyaknya insan merana.
Apakah gerak kerja KITA belum cukup kencang?
Itu yang tak percayakan Tuhan, lain ceritanya.
Yang percayakan Tuhan pun, ramai yang terkapai-kapai sendiri.
Mengah mengikut arus dunia.
Kenalan-kenalan aku sendiri.
Berhidung pesek.
Berkulit sawo matang.
Bermata bundar.
Serumpun lah, senang kata.
Seakidah juga, tak mudah menghadamnya.
Ternyata jahiliyah masih memekat.
Yang tersedar, tak bisa berdiam lagi.
Arus gila itu perlu ditongkah.
Umat perlu diselamatkan.



~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


Tak bisa dilengah lagi.
Detik-detik masa terus berlari pergi.


[Osaka, Jepun. Malam. 17/2/2011]

Aku berjalan, aku belajar. (3)


...lorong-lorong itu akan selalu sepi, pabila tiada kehadiran hati...[sumberfoto]



Di dalam peperiksaan di Darul Ulum, Imam Hasan Al-Banna pernah diminta menulis sebuah karangan bertajuk, ‘Apa yang akan anda buat selepas menamatkan pengajian dan apakah cara yang anda gunakan?’

Imam Hasan Al-Banna menulis seperti berikut:

‘Saya ingin menjadi seorang guru dan pendakwah. Saya akan mendidik para pemuda pada waktu siang, malam dan waktu cuti. Saya akan mengajak keluarga mereka mengamalkan cara hidup Islam dan menunjukkan kepada mereka jalan untuk mendapatkan kegembiraan dan kebahagiaan hidup yang sebenar. Saya akan menggunakan cara-cara yang paling baik yang termampu oleh saya untuk mencapai tujuan ini melalui syarahan, penulisan dan pengembaraan di jalan raya dan lorong-lorong.’


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

ibrah dari lorong-lorong sepi,
hanya untuk yang memerhati.

lorong panjang Shinsaibashi,
[Osaka, Jepun. Siang. 17/2/2011]

Saturday 5 March 2011

Fail exam? Nasib ah...


Belajar setiap detik, selagi terdaya. [sumberfoto]


Ada seorang manusia, yang saya kenal. Bagi memudahkan penceritaan, kita namakan dia sebagai si A.
Mengikut kronologi normal bagi penuntut ilmu engineering di bumi sakura ini, sepatutnya, si A sudah tamat belajar dan perlu pulang ke tanah air untuk memasuki alam pekerjaan.

Tetapi, ketetapan Sang Pengatur mendahului segalanya. Menurut seorang sumber iaitu si B, si A ini telah gagal untuk lulus dalam satu subjek wajib bagi kursus nya. Menurut sumber ini lagi, si A telah pun mengambil subjek itu sebanyak 2 kali, tapi masih tak lepas juga.
Sebagai konsikuensinya, si A perlu melanjutkan lagi tempoh keberadaannya di bumi sakura ini untuk mengambil lagi sekali subjek ini. Bahasa mudahnya, 'repeat paper'.

Berada lebih lama di oversea?

Itu bukanlah suatu fenomena yang menarik, pabila jawapan konkrit yang ada (jika ditanya), hanyalah

" Aku kena repeat paper, sebab tu tak balik tanah air lagi..."

Walaupun sememangnya jawapan abstrak, seperti

" Ini semua Allah dah plan sejak dulu. Pasti Dia mengatur sesuatu yang lebih baik untuk aku..."

tetap wujud sebagai pengubat hati, ianya pasti merupakan suatu yang sukar untuk dihadapi oleh si penghadapnya. Bak kata orang-orang 'beragama', di situ nilainya mujahadah.



Lulus atau gagal, itu aturan Dia, panjang huraiannya.[sumberfoto]


Baiklah, tentang jawapan abstrak itu, kita letak dalam bab lain. Panjang dan amat mendalam juga untuk diceritakan. Tentang ketentuan Allah, tentang qadar, tentang mujahadah segala tu, pun letak dalam bab lain dulu. Kang kalau cerita jugak, boleh berasap jadinya.

Sila percaya.

Kembali kepada fokus asal catatan ini ditulis, di sini, sebagai entri.

Tentang reaksi kepada jawapan konkrit.

" Aku kena repeat paper, sebab tu tak balik tanah air lagi..."
Baiklah. Itu jawapan normal yang selalunya insan-insan seperti si A akan jawab (jika ditanya).

Saya percaya, ungkapan sebegitu bukanlah suatu yang mudah untuk disebut.

Ketika mengetahui cerita ini daripada si sumber iaitu si B, saya hanya terkedu menelan air liur. Terbayangkan sekiranya saya yang berada di tempat si A.

"Kesiannya..." lafaz itu hanya di hati.

Saya berusaha untuk tidak meluahkannya dalam bentuk kata-kata. Sebagai seorang yang mengaku beriman kepada qadar, saya mahu lebih percayakan jawapan abstrak. Jadi perasaan kasihan tak sepatutnya wujud.

"Mesti dia kuat kan..." terpacul juga ayat itu dari mulut saya. Spontan.

"Nasib ahh..." balas si sumber iaitu si B, sambil disusuli oleh ketawa kecil si B. Reaksi spontan.

Saya terkedu sekali lagi. Kali ini anak mata saya dikecilkan sedikit. Sedikit geram.

NASIB AHH...?

"Apakah perasaan si A jika mendengar ayat si B itu?" tanya saya dalam hati.

"What do you mean?" kata saya, masih dalam hati.

"How can you, how dare you say like that?" kata saya, juga dalam hati.

Entah. Saya secara peribadinya tak berkenan dengan reaksi balas si B. Walau si B langsung tak berniat mentertawakan kegagalan si A. Tak sepatutnya si B menjawab sebegitu, ditambah dengan ketawa kecilnya itu. Agak menyakitkan hati.

Jawapannya seolah-olah merendahkan si A yang gagal. Sepertinya kegagalan si A itu adalah memang patut. Sepertinya si A langsung tak berusaha untuk meluluskan diri dalam subjek itu.

Memandang serong terhadap kegagalan orang lain.


Ini point nya.

Sepanjang bernafas di muka bumi ini, sudah banyak orang yang saya temui, yang punyai sikap (baca : perangai) seperti si B.

Memandang serong terhadap kegagalan orang lain. Selalunya sikap ini dipunyai oleh mereka-mereka yang selalu berasa senang dalam hidup secara amnya, mendapat keputusan yang agak bagus dalam peperiksaan secara khususnya.

Ataukah ini merupakan simptom-simptom virus elitisma?



Virus perasan bagus yang kian menular di kebanyakan kita.[sumberfoto]

Err... faham kah?

Bahasa mudahnya, elitisma ini ialah perasaan rasa esklusif seseorang hasil daripada kehidupan elit lagi selesa bagi dirinya. Perasan baguih orang elit la senang kata.

Bagi sesiapa yang mahu tahu lebih lanjut mengenai virus elitisma ini, sila manfaatkan abang google. Sila ambil tahu tentang apa yang kita tak tahu, tapi diberitahu.

Ini contoh elitisma.

Nak cerita banyak-banyak kang, takut tak faham.

Saya tak nyatakan yang si B mempunyai simptom elitisma. Perkataan ini hanyalah tanggapan spontan saya, hasil pernerjahan saya di alam maya, tentang sikap (baca : perangai) suka memandang rendah akan orang lain.

Untuk memudahkan penghadaman, fahamkan saja entri ini adalah berkaitan sikap memandang rendah akan kegagalan orang lain.

Saya ada seorang lagi kenalan, si C. Menurut si C, dia selalu mendapat keputusan yang agak baik dalam subjek ehem-ehem, dalam peperiksaan, ketika di sekolah rendah. Katanya lagi, dia tak dapat nak faham, mengapa ramai di antara kawan-kawannya yang lain tidak dapat menguasai subjek ehem-ehem itu. Menurutnya lagi, subjek itu mudah sahaja, jadi sepatutnya semua orang boleh skor lah. Itu katanya.

Saya yang mendengar hanya mengangguk, menghantar respon. Walau hati membentak-bentak tak menyetujui pandangan menariknya itu.

Walaupun saya tidak satu sekolah rendah bersama si C, tetapi saya sentap juga. Apa yang dikatakannya itu seolah-olah memang ditujukan kepada saya. Kerana saya juga amat terkial-kial dalam subjek ehem-ehem itu ketika di sekolah rendah. Bayangkan, sepangjang 6 tahun di sekolah rendah, saya tak pernah mendapat A dalam subjek itu kecuali 2 kali. Sekali ketika peperiksaan trial UPSR, itupun 80%, cukup makan sahaja la orang kata. Sekali lagi ketika peperiksaan UPSR. Untuk itu, alhamdulillah dipermudahkanNya. Saya amat faham kesusahan untuk skor dalam subjek itu, ianya amat sukar.

Sememangnya wujud insan-insan yang tak berapa perlu struggle sangat dalam study, tapi keputusan peperiksaannya elok lagi bagus.

Dan wujud jua insan-insan yang amat struggle study, mengharapkan result yang baik, tetapi masih tak berapa bagus juga keputusan peperiksaannya.


Ilmu hidup tak pernah dibuku. Ianya subjektif. [sumberfoto]


Sewaktu si C menceritakan kepada saya tentang perasaannya yang seolah-olah tak suka dengan orang-orang yang bertanya kepadanya pabila tak faham itu, amat mengguris hati saya.

"Oh, macam ni rupanya perasaan orang-orang yang pandai, bila mengajar kita-kita yang tak tahu..." ngomel saya dalam hati.

Terasa sebenarnya.

Cuba menghadam realiti sikap sesetengah manusia.

Sikap.

Lagi-lagi soal sikap.

Belajar sampai ke menara gading, mencium puncak angkasa, pun tetap ada masalah dengan persepsi terhadap orang-orang yang 'kurang berjaya' daripadanya.

Iya.
Persepsi yang betul terhadap sekeliling takkan dipelajari melalui pembelajaran di sekolah, mahupun kuliah-kuliah di univerisiti.

Sila setuju.

Ianya ada pada pemerhatian dan pembelajaran kita terhadap kehidupan, pada realiti pelbagai jenis tahapan pemikiran manusia.

Allah Maha Kaya, menjadikan manusia ini dengan pelbagai tahapan pemahamannya, tahap kecepatannya 'mendapat' sesuatu melalui pembelajaran dalam kelas, dalam kuliah.

Jadi, banyakkan memerhati, dan belajar daripada kehidupan seharian. Elakkan membuat seseorang berasa 'down' dengan kata-kata kita.

Belajarlah untuk tidak memperlekehkan orang lain.

Hari ini mungkin kita terjulang ke atas, mana tahu esok lusa kita tersungkur ke bawah. Hidup ini umpama roda, kata kebanyakan kita.

Bersyukur.
Sila praktik.

Wednesday 2 March 2011

A Call For A Turning Point


...titik tolak menuju rahmah, ianya tidak mudah...
[sumberfoto : googleimage]



Menghela nafas berbeza dari udara yang serupa,
ianya titik tolak dalam memaknai kehidupan.

Amat jarang turning point itu disebabkan kebahagiaan.
Mungkin ada, tapi kebarangkaliannya masih boleh dipertikaikan.

Selalunya musibah yang hadir menjengah ke ruang hidup,
itulah pencelik mata.

Biasanya masalah yang datang menyinggah di jendela hidup,
itulah pembuka minda.

Kelazimannya suratan takdir yang merentas titian kembara hidup,
itulah penyucian jiwa.

***

...bukan sekadar perjalanan semata...
[sumberfoto : googleimage]



Hidup ini bukan suatu perjalanan semata-mata.
Ianya perjuangan!

Hidup ini bukannya sekadar bermain sebagai kanak-kanak, bersekolah sebagai pelajar, berkahwin sebagai orang dewasa, menimang anak sebagai seorang ibu mahupun bapa, dan duduk di rumah menanti ajal sebagai orang tua (jika punya umur lagi).

Ianya lebih dari itu.

Sila percaya.

Ketika ditimpa musibah, mudahnya berkata begini...


"Rasa amat down. Teruknya hidup macam ni..."

"Asyik aku aje yang ditimpa masalah. Tak sempat nak setel satu masalah, datang pula masalah lain..."

"Dah tak larat dah nak hadapi semua kesusahan ini. Macam dah takde harapan je untuk aku hidup bahagia..."


Maka merugilah bagi mereka yang masih mampu untuk berkata begitu, tanpa melakukan suatu usaha penambahbaikan...

Diulangi, TANPA melakukan suatu usaha penambahbaikan.

"Sesat di hujung jalan, kembali ke pangkal jalan."
[peribahasa Melayu]


Itu peribahasa yang kita rata-ratanya tahu.

Kembali ke pangkal jalan.

Melaksanakannya tak semudah kata.

Sila setuju.

Untuk kembali berada di pangkal jalan setelah tersesat, ianya tidak mudah.

Ianya perlukan mujahadah.

Dan mujahadah untuk itu pastinya lebih sukar andai tiada pemerhatian yang jelas tentang musibah yang dihadapi.

Boleh jadi kita terbuat kesilapan yang sama, sekali lagi.

Allah itu Maha Kaya.

Macam-macam cara Dia boleh buat untuk panggil kita kembali kepadaNya, kembali dekat kepadaNya.


"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat..."
[Al-Baqarah 2:186]




***

Hidup ini bukan suatu perjalanan semata-mata.
Ianya perjuangan!

Perjuangan untuk memastikan hari ini lebih baik daripada semalam, dan pastinya hari esok lebih baik daripada hari ini.

Kalau hari semalam kita berbuat salah, hari ini kita tidak boleh mengulanginya.
Perlu jadi lebih baik.

Kalau hari ini kita berbuat salah, hari esok kita tidak boleh mengulanginya.
Perlu jadi lebih baik.

Tidak boleh ulang kesalahan.

Tidak boleh ulang kesilapan.

Tidak boleh ulang kekhilafan.



Gulp... sentap dengan ayat sendiri.



Nak power lagi?

Nah...



Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:Seorang mukmin tidak akan jatuh ke dalam satu lubang dua kali.
[Riwayat Bukhari & Muslim ]



~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Ini catatan spontan.
Hasil daripada kes adik lelaki saya yang dibuang sekolah.
Atas kesalahan yang terhasil daripada pemikiran singkat dia, 
seorang remaja lelaki berusia 17 tahun.
Walau dia kini nyata menampakkan kesal.
Yang dah lepas, tetap perlu dilepaskan.
Kami tak pernah menyalahkan dia.
Berita ini nyata hampir meragut tabahnya bonda, juga ayahanda. 
Khabar ini nyata menggugah sabarnya kami, adik beradik sedarahdaging.
Iya.
Kini aku cuba berusaha menjernihkan keadaan yang sedia keruh.


"Mungkin ini turning point untuk dia lebih sedar akan masa depannya."
Itu kata-kata mereka yang ramai. 
Amboi mudahnya kata, aku menelan air liur. Kelat.


"Bagai nak luruh jantung mak bila dengar berita tu..."
Itu kata-kata bonda yang sedang meniti usia.
Allahu, kuatkan bonda, mataku berkaca. Takungan makin penuh.


"..."
Itu aku yang tiada kata untuk meluah rasa.