Friday 19 August 2011

Warkah buat adik

Seteguh langit tiangnya tiada, ku titipkan warkah buatmu adinda.

Adik,

Angkat wajahmu,
pandang ke hadapan.
Nun di sana ada sinar menanti.

Adik,

Toleh juga ke belakang, sesekali.
Biar sepahit mana kisah itu.
Biar sesakit mana kenangan dulu.
Hari-hari yang lalu itulah yang mencorak kamu,
menjadi kamu yang hari ini.

Adik,

Hidup ini tak semudah yang kita sangka.
Selalu bermain dengan apa yang tak diduga.
Siapkan dirimu.
Sediakan hatimu, lebih.
Qadar Allah itu sentiasa menduga jiwa, iman pastinya.

Adik,

Aku juga masih bertatih, sebenarnya.
Mahu untuk tetap berlari mencari cahaya.
Terus melaju menuju Dia.

Adik,

Aku tiada kata, sebenarnya.
Andai bisa diguna segala peribahasa dunia,
mahu sekali aku muntahkan bahasanya.
Agar kau bisa menghadam,
juadah kehidupan yang tak selalu manis bergula.

Adik,

Biar masa yang bercerita,
kisah cinta segala petala.
.
.
.
salam melangkau segala benua,
kakakmu.

No comments: