Wednesday 24 August 2011

Saya Hidup

Ramadan sudah tiba ke saat-saat penghujung. Ini adalah saat-saat yang amat menyakitkan bagi para pencari Cinta Ilahi. Tetapi merupakan saat-saat yang seolah membahagiakan bagi mereka yang sekadar endah tak endah terhadap hadirnya ramadan ini.

Saya masih menapak di bumi orang, sebuah bumi yang membanggakan kemajuan menggila yang tak berkesudahan. Sesekali terbayang juga memori-memori indah di bumi sendiri. Cukup menggamit jiwa. Iya, saya anak kelahiran bumi nusantara. Tak cukup betah tinggal di bumi orang.

***

InsyaAllah, tahun ini akan menjadi kali pertama saya beraya di perantauan. Ramai sungguh yang bertanyakan sebab mengapa saya tak pulang ke Malaysia sahaja, beraya bersama keluarga terchenta. Kihkih. Selalunya saya hanya ketawa apabila diajukan soalan-soalan berbaur sebegitu. Antara jawapan yang selalu keluar dari mulut saya ialah "Saja mahu meriahkan embesi", atau "Mahu merasa pengalaman beraya di rantauan", atau kadangkala saya hanya lontarkan soalan balas dengan tujuan mematikan pertanyaan awal seperti "You nak tolong sapot tiket i ke?" .

Entah. Sejujurnya, saya sendiri tak punya jawapan pasti untuk soalan sebegitu. Sehinggakan saya akhirnya memuntahkannya di laman kicauan milik saya, dengan ayat sebegini :

"Hatiku tertinggal di Bumi Bunga Raya, sedang langkahku di Bumi Sakura."


Okey tipu. Bukan tiada jawapan, cuma saya tak tahu bagaimana mahu menyatakan jawapannya ke dalam bahasa yang mudah difahami.

Begitulah selalunya, pabila saya kehilangan kata-kata normal untuk menyatakan sesuatu, secara separa sedar, dengan sendirinya aksara-aksara akan tersusun membentuk patah-patah kata yang kononnya seumpama madah pujangga (orang yang kata), sebagai wakil kepada perasaan yang tak stabil, sebenarnya. Sebagai contoh hakiki, situasi kegerunan terhadap exam diterjemah kepada entri ini, peristiwa perasaan yang down selepas harapan tak kesampaian diterjemah menjadi entri ini, adegan memujuk diri diterjemah kepada entri ini.


***

Sekerat pengalaman melakukan baito (part time job) sewaktu cuti ini, sedikit sebanyak banyak mengajar saya tentang kehidupan. Iya, lari sedikit daripada kehidupan sebagai seorang pelajar yang asyik menghadap buku 24 jam. Sememangnya saya suka untuk berfikir tentang perkara-perkara di luar dewan kuliah seperti ini. Merasai 'hidup sebenar' lah kononnya. Tak sabar sebenarnya melepasi hari graduasi, yang menyusulkan saya ke alam pekerjaan pula nanti. Yang paling terkesan di jiwa ialah tentang kesyukuran. Pabila kita kerja lalu dapat duit hasil titik peluh kita itu, kita akan lebih menghargai nilai duit itu. Sebab kita nampak dan rasa susah payah kita untuk dapatkan duit itu, walau tak sebanyak mana. Terima kasih ya Allah.


***

Kesakitan yang menerjah ke kepala, impak daripada cuaca yang panas berbahang, telah mengheret saya ke hospital. Situasi sakit kepala seperti ini bukanlah suatu yang janggal bagi diri saya, cuma apabila kesakitan masih tak hilang walau painkiller ditelan berkali-kali, setelah 3 hari, bahkan makin teruk, sehingga wajah saya memucat tiada seri, gelak ketawa tak kedengaran lagi, sebarang pekerjaan tak mampu dilaksana sepenuh hati, maka dengan jiwa rela dalam paksa, saya gagahkan diri ke hospital. Itupun setelah dipujuk seribu daya oleh seorang kakak yang baik hati. =)

Hari pertama ke hospital, ubat yang diberi oleh doktor ternyata tak memberi kesan positif kepada saya, kepala masih terasa berdenyut-denyut. Hari kedua ke hospital, atas nasihat doktor, saya bersetuju menjalani MRI. Pengalaman yang cukup berharga. Selalunya dapat tengok dalam tv aje mende-mende sebegini. Berdesing jugalah telinga apabila mendengar getaran-getaran gelombang yang terhasil ketika proses scanning itu dijalankan, walau sudah dipakai penyumbat khas di telinga. Nak telan air liur pun fikir banyak kali. Bayangkan, setiap kali kita menelan air liur, akan terhasil getaran yang mengeluarkan bunyi yang amat kuat di telinga. Alhamdulillah, tiada apa yang mencurigakan yang menghuni dalam kepala. Sekadar sakit kepala biasa sahaja. Tapi tetap menyebabkan saya menerima ubat susulan daripada doktor. Doktor dah tak bagi saya ambil painkiller biasa, sebaliknya hanya memakan ubat doktor. Hukhuk.

Rentetan daripada itu, apabila doktor mengetahui keadaan saya yang seolah 'membeku' ketika suhu merendah, saya dinasihati untuk menjalani pemeriksaan darah. Waduh-waduh, bulan puasa sebegini diambil darah, kejang jugalah terasa tangan saya ini.

***

Terasa sekali mahu menimang cahaya mata. Iya, menimang cahaya mata, atau bahasa mudahnya, mempunyai anak sendiri. Sungguh mengujakan perasaan sebegini. Kebelakangan ini, saya asyik berinteraksi secara tidak sengaja dengan ibu-ibu mengandung, juga anak-anak kecil yang comel-comel belaka. Makin meluap-luap pula perasaan kepingin menjadi bonda. Reminder : perasaan mahu menimang cahaya mata dan perasaan mahu menikah adalah dua perasaan yang amat jauh berbeza (dapat ayat ini daripada blog seorang sahabat). Sila mengerti. Jangan double meaning. Aisehla.


***

Ah, hidup ini selalu membutuhkan kita untuk menjadi lebih kuat daripada apa yang kita sendiri mampu sangkakan.

Dan ianya amat berkait rapat dengan semaksima mana kebergantungan kita pada Dia.

.
.
.

noted : Dengan sengaja, entri ini mempunyai ayat-ayat tergantung dalam kuantiti yang banyak, atas tujuan kerahsiaan, pemikiran, dan penghadaman terhadap nilai-nilai yang ada pada setiap penghujung ayat yang tergantung itu. Moga setiap patah kata yang tertulis ada hitungan yang penuh keuntungan.


Malam ke-24. Speed up! Speed up!

No comments: