Langit itu,
tak pernah berganjak,
tidak pula roboh,
teguh.
Setia benar pada Khaliqnya.
Langit itu,
kerap menjadi saksi,
segala perlakuan seisi bumi,
yang taat lagi menghidupkan dinihari.
mahupun yang penuh dosa keji.
Seakan mengerti,
jutaan jiwa menanti ia terbuka,
luas yang menghantar bahagia,
ibarat merasai tempias dari Syurga.
Moga terangkat segala doa,
saban waktu ditujah ke petala.
Moga rahmat turun mencurah ke bumi,
agar terbasuh segala hati yang berdaki.
Moga sempat menjengah ke Ramadhan,
pada sisa usia yang berbaki.
-gjada-
19/05/2013
---
[Khabar Dari Langit]
“Pintu
langit bakal dibuka!”
“Pintu
langit akan terbuka!”
“
Ia terbuka seluas-luasnya!”
Begitu
teriak ahli qariah musolla, yang menjadi wakil pihak istana, jurucakap bagi
pihak sultan. Petang itu, ahli qariah musolla itu mampir ke pertengahan kawasan
Kampung Biru, bagi membuat satu pengumuman penting lagi hebat, dengar
khabarnya. Ahli qariah musolla itu turut menghebahkan titah sultan yang
menyebut tentang larangan bagi sebarang bentuk keraian-keraian berunsur
hiburan, yang majoritinya berkiblatkan hedonisma iaitu suatu bentuk sihir daripada
puak Barat yang bertapak di hati penduduk Kampung Biru, sekian lamanya.
Keraian-keraian itu termasuklah, majlis tari-menari, pertandingan beradu suara
‘Siapa merdu’, juga tayangan wayang kulit ‘Kisah cinta kau dan aku’.
Seluruh
Kampung Biru gamat dengan pengumuman daripada wakil pihak istana itu.
Pintu
langit bakal dibuka?
Apa
yang istimewanya?
Pintu
langit akan terbuka?
Apa
faedahnya?
Ia
terbuka seluasnya?
Mengarut
sungguh.
Mengapa
pula dilarang segala keraian yang meriangkan hati penduduk Kampung Biru selama
ini?
Gila!
Begitulah
persoalan dan tohmahan yang berbangkit sejurus pengumuman itu dibuat oleh ahli
qariah musolla itu.
“Ini
bukan kerja orang lain, pasti ini kerja Pak Lebai yang baru datang itu. Sejak
dia mampir ke Kampung Biru, macam-macam perkara baru yang dibawanya. Banyak
pula perkara yang dibawanya itu tak masuk akal!” laung seorang penduduk Kampung
Biru, yang bertahi lalat di bawah mata, yang berusia lingkungan 20-an.
“Betul.
Pak Lebai selalu benar menghasut sultan. Sultan sudah disihirnya!” tambah
seorang anak muda berdada bidang. Nada suaranya berbaur geram.
“Aku
sokong. Tempoh hari, dikhabarkannya tentang peristiwa Si Utusan Cakerawala yang
pernah dibawa naik ke langit, beratus tahun lampau pada malam purnama Rejab,
meneroka kehebatan Pemilik Cakerawala, lalu menerima mandat, solat itu perlu
dilaksana. Kali ini dikhabarkannya tentang pintu langit yang akan terbuka?
Gila!” jerit seorang anak muda yang
memakai celana merah pula.
Keadaan
di Kampung Biru pada petang itu semakin gamat seandainya tiada sebarang usaha
meredakan suasana. Masing-masing cuba mempersoalkan tentang pengumuman daripada
ahli qariah musolla itu.
Tidak
puas hati lagaknya.
Kebanyakan
mereka terdiri daripada warga Muda.
Tiba-tiba…
“Sabar
anak muda. Sabar. Bukankah Si Utusan Cakerawala pernah mengkhabarkan bahawa
apabila datang purnama Ramadan, dibukakan pintu langit, dikunci pintu neraka,
dan dibelenggu semua syaitan?[HR Bukhari]” satu suara bernada mendatar kedengaran
dari belakang. Ternyata ianya suara milik Pak Kasman, seorang warga Tua yang
dihormati.
“Sepatutnya
seruan dan titah sultan ini kita junjung, selagi mana ianya berlandaskan ajaran
daripada Pemilik Cakerawala, yakni apa yang menjadi sembahan Si Utusan Cakerawala
yang digelar Al-Amin itu. ” ujar Pak Kasman perlahan. Terpancar aura ketenangan
di wajah tua itu.
“Benar
kata Pak Kasman. Larangan bagi mengadakan keraian-keraian yang berunsurkan sihir
dari puak Barat, yang dipanggil hedonisma itu sepanjang purnama Ramadan adalah
amat wajar,” tambah seorang lagi warga Tua, Pak Selamat namanya.
Kudin,
anak muda yang memakai celana merah itu mengetap bibirnya. Menahan amarahnya.
Salim,
si warga Muda yang bertahi lalat di bawah mata itu, memerah mukanya. Dadanya
turun naik, makin geram rasanya.
Begitu
juga dengan Mamat, si warga Muda yang berdada bidang. Kedengaran dia mendengus
kasar. Menampakkan panas hatinya yang cuba dikambus.
Penduduk
Kampung Biru, sama ada warga Muda mahupun warga Tua, yang pada awalnya tadi
kelihatan membara-bara semangatnya melontarkan rasa tak puas hati kepada titah
sultan itu, mulai senyap. Masing-masing cuba sedaya mungkin menahan rasa itu
supaya tidak meletus lagi.
Desah-desah
nafas kepanasan kedengaran memenuhi suasana.
Perasaan
tidak puas hati mereka tentang titah sultan itu dipendamkan sahaja. Itupun
kerana warga Tua sudah bersuara.
Walaupun
ada di kalangan warga Tua yang turut berasa tidak puas hati dengan larangan
mengadakan sebarang keraian pada purnama Ramadan, mereka hanya diam seribu
bahasa. Ini kerana menghormati pemimpin warga Tua itu sendiri yang sudah
bersuara, iaitu Pak Kasman.
Itulah
keunikan yang dimiliki oleh penduduk Kampung Biru.
Menghormati
warga Tua.
Sejahat
mana pun mereka, takkan ada yang berani melawan kata-kata warga Tua. Biadap namanya.
Sesiapa yang didapati biadap terhadap warga Tua, akan dipandang jelek, bahkan
pernah suatu ketika dahulu, ada warga Muda yang dipulaukan beberapa purnama,
hanya kerana meninggikan suara kepada warga Tua.
Begitulah
sifat menghormati warga Tua yang sudah ditanam semenjak kecil terhadap setiap
penduduk Kampung Biru.
Penduduk
Kampung Biru dibahagikan kepada dua golongan utama, iaitu warga Muda dan warga
Tua. Warga Muda ialah mereka yang berumur 30 tahun ke bawah, tak kira lelaki
mahupun wanita. Sebaik sahaja umur mereka menginjak ke angka 31 tahun, dengan
sendirinya mereka akan tergolong dalam kalangan warga Tua.
Nun
di suatu sudut perhimpunan itu, berdiri seorang warga Muda. Wira namanya. Sejak
dari awal perhimpunan tadi, dia hanya memerhati.
Wira
sebenarnya cuba memahami apa yang sedang berlaku di kampungnya.
Semenjak
kehadiran seorang warga Tua dari kampung sebelah, suasana di kampungnya banyak
berubah.
Warga
Tua itu bernama Badar Al-Amin, atau lebih dikenali sebagai Pak Lebai. Pak Lebai
mampir ke Kampung Biru semenjak 5 purnama yang lalu, iaitu pada purnama Rabiul
Awal yang lepas. Menurut desas-desus yang didengarinya, Pak Lebai itu kerap
berhijrah dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Menyebarkan khabar-khabar
gembira buat pengikut ajaran yang dibawa oleh Si Utusan Cakerawala, juga
menyampaikan berita-berita sengsara buat mereka yang menolak ajaran yang sama.
Wira
seakan tak mengerti apa yang sebenarnya berlaku.
Walaupun
dia kerap juga tak dapat menerima kesahihan cerita-cerita yang dikhabarkan oleh
Pak Lebai, tetapi dia memilih untuk tidak melawan seperti Kudin, Salim mahu pun
Mamat, Wira hanya memerhati.
Bagi
Wira, dia hanya akan mempercayai cerita-cerita itu sekiranya ianya berlaku
benar-benar di hadapan matanya, bukan dengan hanya mendengar cerita dari mulut
ke mulut. Tak pasti apa hujung pangkal cerita. Begitu prinsipnya.
Daripada
pemerhatiannya, semenjak kehadiran Pak Lebai, kehidupan penduduk Kampung Biru
banyak yang berubah.
Jika
dahulu penduduk Kampung Biru kerap menyabung ayam, kini jarang sekali.
Menyabung ayam itu banyak rugi daripada manfaatnya, kata kebanyakan mereka.
Jika
dahulu kaum hawa di Kampung Biru, rambutnya ditayang seenaknya, kini kurang
sekali . Ramai yang sudah mengenakan kerudung di kepala. Makin jelita, bisik
hati Wira.
Kalau
dahulu penduduk Kampung Biru hanya keluar mencari rezeki di siang hari, dan
kembali ke rumah ketika mentari mencecah ke horizon langit, lalu di rumah berdiam
diri, kini tidak lagi. Suatu bangunan kecil yang dipanggil musolla yang lama
menyepi tanpa pengunjung, kini mula diziarahi. Setiap hari, sebanyak 5 kali
musolla itu meriah dengan kehadiran penduduk Kampung Biru, melaksanakan rutin
wajib yang dipanggil solat, sebagai tanda patuh pada Pemilik Cakerawala.
***
“Kurang
lebih sepekan lagi, purnama Ramadan mampir menemui kita. Persediaan kita menemuinya
juga perlu digiatkan lagi,” kata Pak Jaya.
Malam
itu, Pak Jaya yang menggantikan Pak Lebai untuk memberikan pengisian selepas
solat maghrib di musolla. Mata para jemaah musolla itu ditatapnya satu persatu.
“Sudah
sekian lamanya Kampung Biru ini gersang tanpa perkara yang membasahkan jiwa.
Lama juga musolla ini seolah tiada nyawa. Moga purnama Ramadan yang bakal
menjelang tak lama lagi ini akan menjadi ruang buat kita kembali ke jalan
Pemilik Cakerawala,” sambung Pak Jaya. Suaranya kedengaran sedikit serak
daripada biasa.
“Sihir
hedonisma itu terlalu kuat meracuni pemikiran kita semua. Bertahun lamanya
sihir itu mengabui mata kita tentang kebenaran ajaran yang dibawa Si Utusan
Cakerawala.”
“Kita
tak boleh kalah. Tak mampu lagi diperdaya oleh sihir itu. Purnama Ramadan ini
seumpama peluang baru yang diberi kepada kita semua, untuk membersihkan diri
daripada dosa.” Suara Pak Jaya kian serak.
“Tercatat
teguh di baris 31, dalam surah An-Nuur, daripada kitab Al-Furqan :
‘Dan
bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Hai orang-orang yang beriman supaya
kamu beruntung.’
Tapi
sedikit sekali kita memandang berat kepada baris itu. Keuntungan yang
dijanjikan oleh Pemilik Cakerawala itu pasti. Dia tak pernah memungkiri janji.
Cuma kita jarang mahu memahami.” Kali ini mata Pak Jaya mulai bergenang.
Sesekali
kelihatannya seperti menarik nafas yang amat dalam. Seakan ada kisah silam yang
menggamit perasaannya.
“Yang
sudah berlalu biarkan sahaja ianya berlalu.” Terluah juga bait-bait kata yang
menggambarkan perasaannya kini.
“Kitab
Al-Furqan ini banyak menyuluh jalan, untuk kita menuju kepada Pemilik
Cakerawala ini.” Kali ini, kedua tangan Pak Jaya memeluk erat kitab Al-Furqan
lusuh miliknya. Rapat ke dada.
“Pesanan
daripada Si Utusan Cakerawala beratus tahun dahulu :
‘Barangsiapa
yang berpuasa pada bulan Ramadan, dengan penuh keimanan dan
berkira-kira(mengharap), maka akan diampunkan oleh Allah akan dosa-dosanya yang
telah berlalu.[HR Bukhari dan Muslim]
Nah.
Pengampunan yang dijanjikan Dia. Syaratnya mudah disebut, tapi payah dilaksana.
Itulah dia puasa yang dilakukan dengan penuh keimanan dan pengharapan kepada
Dia. Dosa. Dosa. Dosa. Banyaknya dosa. Ianya ternyata menghimpit jiwa.”
Mata
Pak Jaya kelihatan disepetkan sedikit. Memberi petanda bahawa Pak Jaya
benar-benar memaknakan kata-katanya itu.
“Dosa-dosa
yang terkumpul itulah yang menghilangkan rasa damai daripada hati selama ini.
Ini bukan sepenuhnya salah sihir hedonisma dari puak Barat. Ini berasal
daripada masalah hati. Hati yang malas mahu membasah. Hati yang selalu suka meresah.”
Kedengaran
esakan tangis yang ditahan-tahan daripada jemaah musolla yang hadir.
“Dosa-dosa
itu yang kian memberat saban hari, jika tiada episod pembersihan hati.” Ujar
Pak Jaya penuh perasaan.
Terbayang
ketakutan di wajah tua milik Pak Jaya itu. Seumpamanya ada gunung besar yang
bakal menghempap kepalanya. Sepertinya segala petala langit akan menghentam
wajahnya.
“Pembersihan
hati yang kita panggil taubat. Sampai bila mahu ditangguh?” Kali ini nada
suaranya kedengaran sedikit meninggi daripada tadi.
Esakan
tangis daripada jemaah musolla yang hadir makin menjadi-jadi. Mereka benar-benar
menjiwai setiap patah kata Pak Jaya pada malam itu.
Malam
itu, suasana di musolla penuh syahdu. Bait-bait kata Pak Jaya benar-benar
menikam kalbu.
Majoriti
jemaah musolla, yang kesemuanya penduduk Kampung Biru, menanam azam untuk
menjadikan purnama Ramadan kali ini adalah suatu ruang pembersihan jiwa.
Penduduk
Kampung Biru amat mengerti akan perasaan Pak Jaya. Sudah sekian lamanya,
purnama Ramadan dibiarkan berlalu begitu sahaja. Kampung Biru sudah lama
ketiadaan ruh.
Kisah
silam yang menjadi sejarah di Kampung Biru. Kampung Biru itu banyak menyimpan
kisah-kisah pahit, yang kebanyakannya akibat sihir hedonisma yang dikenakan
oleh puak Barat.
Angkara
sihir oleh puak Barat? Bukan. Bukan sepenuhnya salah puak Barat.
Mereka
mahu berhenti menuding jari kepada puak Barat yang mengenakan sihir hedonisma itu
kepada mereka.
Benar
kata Pak Jaya. Suasana Kampung Biru yang ketiadaan ruh itu berasal daripada
masalah hati.
Iya.
Masalah hati.
Tiada
cara lain untuk mengembalikan suasana yang mempunyai ruh. Hanya episod
pembersihan hati yang dipanggil taubat. Sesiapa yang melalui episod ini dengan
penuh pengharapan, takkan tersihir lagi oleh hedonisma itu lagi, pastinya
dengan izin Pemilik Cakerawala.
Dan
malam itu, bintang-bintang yang menghiasi dada langit di Kampung Biru ,
bersinar terang.
Seolah
turut menjiwai perasaan jemaah musolla yang berazam mahu melalui episod
pembersihan jiwa pada purnama Ramadan nanti.
Di
suatu ceruk penjuru musolla, kelihatan seorang warga Muda yang berkerut
dahinya.
Itulah
Wira.
Wira
tak mengerti mengapa jemaah musolla pada malam ini, ramai yang berendam air
mata.
Apa
yang mengusik jiwa mereka? Wira memaksa otaknya supaya bekerja mencari jawapan.
Melihatkan Pak Jaya yang bersungguh memberikan pengisian, menambahkan lagi rasa
hairan di jiwa Wira.
Untuk
apa kesungguhan itu?
Episod
pembersihan hati yang dipanggil taubat?
Penting
sangatkah?
Bertalu-talu
persoalan datang menerjah kepala Wira.
Wira
makin terhimpit dengan persoalan-persoalan tanpa jawapan, walau sedikit
sebanyak jiwanya terasa tenang berada di musolla pada malam itu.
[Bersambung...]
Nota : Cerpen ini ditulis sempena Ramadhan, pada tahun lepas. Moga bermanfaat.