3 Jun 2012
“Hah, waktu subuh kena ikut matahari?” Amir
bertanya.
Tercengang-cengang.
“Aah, ikut matahari.” Asiah menjawab
ringkas.
“Waktu Subuh masuk apabila garisan horizon
berwarna putih muncul melintang dari sebelah timur, waktu Syuruk tiba bilamana
matahari muncul di kaki langit. ” Asiah bercerita lebih lanjut.
“Oh… kalau waktu Zohor, Asar semua tu macam
mana pula? Maghrib dengan Isyak pun ikut matahari? Kan dah malam. Macammana nak
tengok matahari? ” Soal Amir bertubi-tubi.
“Waktu Zohor masuk apabila matahari
tergelincir ke arah barat. Condong sedikit lah senang kata. Waktu Asar pula
masuk apabila panjang bayang-bayang sesuatu objek melebih panjang objek itu
sendiri.”
Asiah berhenti seketika mengambil nafas,
lalu menyambung,
“Bila matahari terbenam, itulah tanda waktu
Maghrib dah masuk. Kalau diperhatikan, secara perlahan-lahan, cahaya warna
jingga akan hilang dari kaki langit. Ketika ini, masuklah waktu Isyak.” Panjang
lebar Asiah bercerita, sambil tangannya dihayun-hayun seolah sedang menunjukkan
pergerakan matahari.
“Oh… sebab itulah ada sesetengah negara
yang waktu Subuhnya masuk awal, ada pula yang waktu Subuhnya masuk lambat ya?
Kedengaran suara Amir lagi.
Wajahnya kelihatan keliru.
Asiah memandang wajah Amir sekilas, seolah
tak percaya soalan itu ditanya olehnya.
“Err, iya begitulah.” Asiah menjawab.
“Patutlah…” Hanya sepatah yang keluar dari
mulut Amir. Dia tak jadi menyudahnya ayatnya.
“Patutlah apa?” Soal Asiah.
“Tak ada apa.” Amir membalas pantas, lalu
kepalanya mendongak ke langit, cuba memerhatikan matahari.
Amir teringat peristiwa pagi tadi. Dia
bangun untuk solat Subuh pada pukul 6 pagi waktu Jepun, tapi matahari sudah
menyinar terang, ibarat terpacak di atas kepala.
Dia menyangkakan waktu Subuh di Jepun, sama
sahaja seperti waktu Subuh di Malaysia, maklumlah beza waktunya hanya satu jam.
Tak terfikir pula dia, kalau matahari keluar awal, maksudnya waktu Subuh juga
masuk awal.
Amir menelan air liur. Dia terlewat untuk
solat Subuh rupanya pagi tadi.
Amir lebih berasa hairan apabila memikirkan
mengapa dia tak pernah terfikir pun sebelum ini tentang waktu solat yang
beralih dari suatu waktu kepada waktu yang lain, adalah berdasarkan pergerakan
matahari.
***
“Amir, jalan cepat sikit. Kita kena jalan
laju-laju ni. Lampu isyarat tu dah nak tukar kepada warna merah.” Kata Asiah.
Kakinya dihayun sepantas yang mungkin supaya dia sempat untuk menyeberang
simpang besar di Shibuya yang sibuk itu.
“Alaaa… kalau tak sempat yang ini, kita
tunggu aje la lampu isyarat tu tukar warna balik.” Jawab Amir.
“Mana boleh. Kita nak kena kejar tren ni.
Jangan lupa, ini Jepun lah. Kalau terlambat satu saat pun, alamatnya memang
terlepas tren lah kita. Tak adanya tren tu nak tunggu kita.” Asiah berkata
termengah-mengah. Dia berlari melintas simpang itu.
Amir yang terkejut dengan Asiah yang
berlari tiba-tiba, turut berlari juga, cuba mengikuti langkah Asiah.
“Hoi, kenapa lari? Lain kali beritahulah
siap-siap kalau nak lari. Terkejut orang tau.” Amir berkata sambil tangan
memegang dadanya.
“Kan dah cakap yang kita kena kejar tren. “Balas
Asiah selamba. Matanya melilau mencari papan tanda untuk menaiki tren ke
Odaiba, dari Shibuya. Sesekali, dahinya berkerut, tanda dirinya berasa serabut
dengan kesesakan di sekitar kawasan stesen tren besar seperti Shibuya itu.
Asiah tidak suka dengan keadaan yang sesak dengan orang ramai sebegitu. Dia rimas.
“Asiah, dah masuk waktu Zohor, kita kena
cari tempat solat ni. Nanti kita solat di Odaiba okey? Kat sana macam banyak
spot baik untuk solat je.” Sarah yang sedari tadi diam, tiba-tiba bersuara.
“Molek juga gitu. Lepas solat, baru kita
pergi makan.” Balas Asiah, sambil tersenyum kepada Sarah. Dia berterima kasih
sebenarnya kepada Sarah, yang sudi untuk menemaninya pada hari itu, walaupun
baru malam tadi dia menelefon Sarah untuk meminta bantuan Sarah.
***
2 Jun 2012
“Sarah… esok free? “
“Hmm… free lah juga. Kenapa?”
“Nak minta tolong teman saya esok, nak bawa
orang pergi jalan-jalan kat kawasan Tokyo, sebelum hantar dia pergi airport
malam esok.”
“Eh, awak tu bukan Lone-Ranger ke? Selama
ni steady je jalan-jalan seorang diri, sampai ke Kyushu yang hujung Jepun itu pun
awak selamba turun seorang. Inikan Tokyo? “ Sarah bersuara dari corong telefon.
“Jomlah. Saya kasihan kat dia ni. Dia baru datang
Tokyo semalam. Hari ini dia ada konferens kat Shinjuku, ada bentang paper kalau
tak silap. Esok dia dah tak tahu nak jalan pergi mana, Dahlah dia tak faham
langsung bahasa Jepun. “ Asiah bercerita.
“Dia? Siapa dia?”
“Boleh tak temankan saya ni?”
“Dahtu? Kalau iya pun kasihan, pergi je lah
teman orang tu jalan-jalan area Tokyo. Kenapa nak ajak saya pula?” Sarah
berkata. Dia hairan dengan Asiah yang tiba-tiba mengajaknya untuk keluar
membawa ‘orang’ untuk bersiar-siar di sekitar Tokyo. Selalunya Asiah boleh
sahaja keluar seorang diri.
“Dia lelaki.” Asiah menjawab pendek
“Lelaki? Oh my God… Asiah. Mana awak kenal
dia? Kenapa dia minta awak temankan dia? Kenapa awak nak temankan dia? Tak cuba
minta tolong orang lelaki yang lain ke? Siapa dia tu Sarah?” Bertubi-tubi
soalan dilontarkan Sarah. Dia terkejut apabila mengetahui Asiah yang sentiasa
menjaga perhubungan dengan lelaki ajnabi itu tiba-tiba mengajaknya menemani
seorang lelaki untuk bersiar-siar di sekitar Tokyo. .
“Dia sepupu saya.”
“Oh… kuuusss semangat den. Tapi kenapa awak
tak minta kawan kita yang lelaki untuk pergi temankan dia esok?”
“Dia baru hantar mesej whatsapp kepada
saya, minta tolong saya siang tadi. Dia dah ada kat Shinjuku dah pun. Dah cuba Tanya
kawan lelaki yang lain. Ada yang tak boleh tolong free, nak buat kalau berbayar
je. Ishh… mengada betul! Ada yang dah ada hal lain.Tak sempat dah ni untuk cari
orang lain. ”
“Ohh, patutlah awak ajak saya teman. Okey,
baik bos, Esok kita jumpa.” Jawab Sarah.
Memahami.
***
“Di sini ada surau ke?” Tanya Amir, sambil
matanya membuang pandang ke bangunan Aqua City, salah sebuah bangunan di
Odaiba. Dia tak habis lagi kagum dengan pemandangan sepanjang perjalanan ke
sini tadi. Tren yang mereka naiki melalui Yurikamono-line itu melalui kawasan
laut yang membiru. Cantik. Tambahan pula, tadi dia terpandang sebuah figura
Gundam yang besar terpacak di kawasan itu, selepas berjalan beberapa minit dari
stesen tren Odaiba-Kaihin-Kouen. Nasib baik Asiah bermurah hati membenarkan dia
berhenti daripada berjalan seketika,untuk mengambil foto bersama figura tersebut,
buat kenang-kenangan.
“Mestilah ada. Kat Jepun ni lah tempat yang
paaaling banyak surau tau.” Asiah menjawab sambil tersenyum mengangkat
keningnya berulang kali.
Sarah mengecilkan anak mata. Pelik dengan
telatah Asiah hari ini. Sudahlah tadi si Asiah berkeras mahu berhenti di stesen
tren Odaiba-Kaihin-Kouen,yang perlukan mereka berjalan lebih kurang 15minit
untuk tiba di bangunan Aqua City.
“Asiah, kenapa awak tak nak berhenti di
stesen tren Odaiba tadi? Kan lebih dekat dengan Aqua City ni?” Sarah bertanya
tak sabar. Desah nafasnya jelas kedengaran. Mengah dek berjalan dari tadi.
“Saja.” Sepatah dijawab Asiah.
“Haa? Nak tercabut kaki saya berjalan tau.
Dahlah angin kuat hari ni. Hampir terbang saya tadi tahu?” Sarah bercakap.
Masih termengah.
“Baguslah… memang sengaja. Hihi… Minta
maaflah Sarah. Saya memang nak bagi orang rasa nak tercabut kaki, tapi bukan
awak. Dia.” Kata Asiah, sambil memuncungkan mulutnya ke arah Amir yang matanya
sedari tadi lekap pada kamera, menatap fotonya bersama figura kesayangan.
“Awak nak buli dia ke?”
“Dulu waktu kecil, dia selalu buli saya
tau.”
“Laa… kes balas dendam lah ni. Tak pasal-pasal
saya terlibat sekali. Kasihan saya.” Sarah menggeleng-gelengkan kepalanya
berulang kali.
Bersambung…
---
Nota : Ini hasil hujung minggu. Baru mula tulis semalam. Penghujung cerita, masih lagi ditimbang tara. Idea mencurah-curah, tak putuskan lagi nak habiskan bagaimana.
Nota 2 : Sebarang komen mahupun idea, amat dialu-alukan.
1 comment:
keh2. comel je si asiah tu. kesian orang yang tak tau apa2.
hek3. keep it up akak. eksited nak tunggu yang lain2.
Post a Comment