Sunday, 12 October 2014

Kilang lori dan perihal sambung belajar

Kilang lori.

Tempat aku melaksanakan tuntutan kehidupan sehingga kini.

Pada saat awal menyatakan persetujuan untuk menerima kerja ini,
memang aku tak fikir banyak.

Keserabutan dengan presentation final,
juga huru-hara mahu mencari biasiswa buat sambung master.

Itu antara sebab yang buatkan aku terus menerima tawaran kerja dari kilang lori ini.
Panjang ceritanya.

Impian sejak sekolah menengah,
mahu sambung belajar hingga peringkat pHd.
Mahu jadi pensyarah, cerita aku pada semua.
Impian tinggal impian.

Sejurus tamat ijazah sarjana muda (degree),
terus aku melompat masuk ke alam kerja,
sumpah tak pernah terbayang dek mata.

Ingat lagi,
pada waktu awal bulan Februari 2013,
aku memang diserabutkan dengan perihal final presentation,
juga tesis yang menuntut otakku bekerja keras,
tenaga dan masa yang dikerah sebagai pelajar tahun akhir,
memang cukup untuk membuatkan aku gila.

Mujur,
aku masih punya Tuhan,
yang membantuku menamatkan juga status pelajar tahun akhir.

Di celah keserabutan itu,
aku masih tak dapat tawaran biasiswa.
Bagaimana aku bisa sambung belajar (Master) di negara orang?

Bonda di kampung kerap meluahkan rasa risau.
Bagaimana kamu hendak hidup di Jepun tu?
Antara soalan yang kerap ditanya.

Keresahan bonda mendatangkan ketidaktenangan aku.
Lalu aku hantar doa ke petala,
mohon Tuhan lorongkan jalan.

Tolong tenangkan Hati bonda, pintaku dalam sujud.
Saban waktu.

Kembalilah ke tanah tumpah darah, seakan Tuhan membisik jawapan.

Lalu ku putuskan untuk pulang.

Kalau sambung belajar, iya hanya di dalam Malaysia.
Kan masih bisa capai cita-cita, pujukku pada diri.
Sambung belajar adalah cita-citaku dari dulu.

Tapi, keputusan mendadak di masa kritikal sebegitu.
Mana mungkin aku mampu dapat tawaran biasiswa dan tempat sambung belajar dengan segera.
Masa suntuk.
Sudah Februari.
Hujung Mac patut dah balik Malaysia.
Kurang dua bulan untuk aku memastikan diriku tak melepak sahaja selepas pulang ke tanah air.
Nak menganggur di rumah?
Itu tak pernah terbayang di kepala.
Duit.
Aku perlu duit untuk sara hidup.

Lalu aku pun menghantar resume ke beberapa syarikat di Malaysia.
Tak fikir banyak pun.
Main hantar je.
Di fikiran, hanya mahu dapat kerja.
Nak duit. Nak duit. Nak duit.

Takdir Allah Taala,
Aku dapat panggilan temuduga untuk kilang lori ini.
Tak fikir banyak.
Aku redah je.
Temuduga hari jumaat, pukul 9 pagi kalau tak silap.
Khamis malam,
aku naik tren ke rumah junior di Hachioji.
Jumaat pagi, lepas subuh aku terus gerak pergi ke kilang lori,
tempat temuduga.
Dalam tren, kurang dari satu jam,
itulah saatnya aku baru belek internet,
cari tips untuk jawab temuduga.
Gila!
Aku memang tak prepare langsung untuk pergi temuduga.
Dalam masa yang suntuk itu jugalah,
aku tonton youtube,
tentang contoh jawapan bagus untuk temuduga.

Pendek kata,
aku memang tak bersedia langsung untuk temuduga.

Satu jam masa temuduga.
Aku goreng je segala jawapan yang logik.
Muka konfiden tu confirm.

Takdir Allah,
aku dapat juga tawaran kerja di kilang lori ini.

Entah kenapa,
aku terima.

Kontrak kerja dua tahun.

Selamba aku kata setuju.

Konon nak biasakan diri dengan suasana Malaysia,
sempatlah untuk buat rancangan masa depan.
Iyalah kan, planning hidup aku tiba-tiba berubah bila aku tiba-tiba putuskan untuk kerja.
Padahal selama ni dalam kepala set untuk sambung belajar.

Eh, mana ada lupa cita-cita.

Waktu temuduga,
memang aku dah maklumkan pada si penemuduga,
big boss kilang, big boss production, juga big boss HR.
Aku mahu hanya kerja dalam office hour,
dan jangan ganggu hujung minggu.
Ok.
Kata mereka.

Dalam surat tawaran pun ada tertulis begitu.
Itulah sebab kenapa aku tak fikir panjang,
terus terima tawaran kerja ni.

Oh...
Mahu hanya kerja office-hour,
dan jangan ganggu hujung minggu.
Itu bertujuan untuk aku punya masa sendiri,
untuk sambung belajar.
Aku mahu ambil kelas di hujung minggu.
Belajar sambil kerja.
Janjiku pada diri.

Tapi kini.
Pukul 730am selalunya aku sudah terpacak di kilang.
Pulang malam pukul 800pm dikira seronok.
Kerja Sabtu adalah normal.
Kerja Ahad pun tak ada hal.

Entah ke mana hilang cita-citaku untuk sambung belajar.

Hilang.


---


Malam Ahad.
Tak boleh tidur.
Bai.
0218am waktu Jepun.
12/10/2014.





1 comment:

Anonymous said...

:) smoga trus kuat 'kak' gja. Al mukminun ayat 29. krn kita tak tahu dimana tmpt terbaik.

huda