Friday 11 March 2011

Aku berjalan, aku belajar. (4)


Islam akan terus menyinar. Merugilah bagi yang tidak menyumbang ke arahnya. [sumberfoto]




Kesesatan dalam kegelapan itu lebih wajar,
berbanding dengan teraba-raba dalam cahaya.

Menyuluh-nyuluh dalam kesamaran jahiliyah itu nyata lebih bermaruah,
berbanding dengan menyilaukan kebenaran yang sudah sedia cerah.



***




Malam.
Aku keseorangan mencari stesen bas Osaka-Umeda.
Benar seperti kata si senior, susah mahu mencarinya.
Warga Osaka sendiri sudah berkali-kali tersesat,
apatah lagi aku yang dari kampung Yamanashi.
"Tak apa, biar tersesat dahulu, baru kita akan bersungguh mencari jalan yang betul."
jawab aku dalam hati.

Berbahasa, kononnya.
Bajet macam hebat, mudah jumpa jalan.
Haha.
Nyata aku tersesat juga.
Stesen bas.
Aku cuba juga mencari.
Dengan bantuan navigation melalui iphone,
juga dengan imaginasi sendiri hasil daripada gambaran daripada si senior.

Hujan.
Ia turun membasahi bumi.
Menambah kegelisahan,
juga kesejukan di malam hari.

Tanya orang, itu yang diputuskan.
Bertanya kepada si Japanese,
aku cuba berbahasa penjajah tanah air suatu ketika dahulu.
Melihatkan diriku yang bukan Japanese,
si Japanese cuba berbahasa antarabangsa.
Alaaa... bahasa penjajah kita jugalah, bahasa Inggeris.
Seperti kebanyakan Japanese yang lain,
si Japanese ini nyata kurang betul pronounciation bahasa Inggerisnya.
Tak faham aku dibuatnya.
Menambahkan lagi kesukaran aku di malam hari.
Sudahlah aku mengejar masa.
Aiseeeh...
"Cik kak, kalau kita berkomunikasi dalam bahasa kamu (japanese), lagi bagus saya rasa."
cadang aku, cuba memberi jalan penyelesaian.
Si Japanese bersetuju.
Fuh, lega.

Lapar.
Sangat mahu mengalas perut, walau sedikit.
Aku mengejar masa.
Tak sempat nak singgah konbini pun,
untuk membeli sedikit makanan.
Itu pada mulanya lah.
Tahap kelaparan yang kian meningkat nyata mendesak aku untuk merubah fikiran.
Mata mula melilau mencari konbini.
Tak jumpa.
Makin lapar dalam kesesatan.

Teringat pesanan seorang kakak,
"kalau mahu apa-apa, minta sama Allah..."

Terus cuba dipraktik semahunya.
Berulang kali disebut,
"Ya Allah, aku lapar."
beritahu aku kepada Dia, yang sememangnya sudah sedia tahu.

Dalam hujan,
aku terus meredah malam.
Dengan pertolongan Dia,
melalui si Japanese tadi.

Akhirnya.
Jumpa juga stesen bas harapan.
Alhamdulillah.

Jumpa juga konbini idaman.
Dalam kejar2 masa itu,
aku sempatkan juga untuk membeli.
Sekotak air coklat Van Houten,
bersama 2 biji(betul ke itu penjodoh bilangannya?) onigiri tunamayo (tuna+mayonis).
Satu untuk dimakan dalam bas, satu lagi untuk sarapan pagi esok.
Itu cadang asalnya.
Bimbang pagi esoknya, aku kelaparan lagi.

Uwaaah...
terima kasih ya Allah.

Bas.
Kempat-empat tayarnya meluncur laju ke Hakata-eki, Fukuoka.
Dalam bas.
Aku memberi sebiji onigiri kepada Kurita Megumi, kenalan baru di atas bas.
Sebiji lagi pula untuk aku.
Sebelum terlena,
kami berbual-bual sambil makan onigiri.

Kurita Megumi.
Seorang pelajar jurusan undang-undang rupanya.
Kagumlah aku seketika.
Teringat cita-cita zaman kanak-kanak aku dahulu.
Aku pernah berimpikan mahu menjadi seorang peguam.
Lantang bersuara melontar hujah.
Mendedah kebenaran.
Tapi kini aku bergelar seorang pelajar enjin.
Jauh juga lah untuk menjadi peguam.
Si Kurita Megumi.
Tak mahu menjadi peguam segala,
mahu menjadi seorang pembuat roti,
mahupun menjadi seorang designer pakaian (kalau aku tak salah lah).
Itu kata dia.
Aku mengangguk, menghantar reaksi balas.

Perbualan diteruskan.
Entah macammana,
termasuk topik tentang agama.
"Apa pandangan awak tentang orang yang bertudung, yang solat?"
tanya aku bersahaja.
"Pada saya, mereka itu orang yang nesshin (bersungguh-sungguh) dalam beragama,"
jawab dia bersemangat.
Anak matanya dikecilkan, memberi signal bahawa dia benar-benar memaknakan kata-katanya.
Aku perasan akan hal itu.
Aku tersenyum tak semena-mena.
Rasa izzah dengan agama kebanggaan diri.
"Nanti pagi esok, awak nak solat macammana? Kan kita ada di dalam bas,"
si Kurita Megumi melontar soalan, selepas aku bercerita kepadanya tentang waktu-waktu solat.
"Kita ada di dalam bas, jadi saya solat di dalam bas sahaja lah,"
balas aku spontan.
"Waaah... boleh ek macam tu?"
tanya dia lagi. Matanya membuntang.
"Mestilah boleh. Islam ni mudah je..."
balas aku selamba.

Malam terus larut.
Sedang si pungguk tetap merindukan sang rembulan,
sang rembulan terus bertasbih memuji Yang Maha Segala.
Aku terlena dibuai mimpi.
Begitu juga dengan si Kurita Megumi di sebelahku.
Dalam perut bas yang meluncur laju membelah kepekatan malam.

Detik-detik masa menghampiri dinihari.
Solat subuh ditunaikan di tempat duduk di dalam perut bas.
Fenomena biasa bagi orang-orang islam di bumi sakura.
Nak solat di surau segala, seperti di tanah air?
Memang susahlah.
Masjid-masjid dan bilik-bilik yang dijadikan musolla,
sudah ada kewujudannya di bumi samurai ini.
Tapi, tak banyak lah.
Cukup untuk bermuhasabah.
Masih banyak lagi kerja kita yang mengucap syahadah paling kurang sembilan kali sehari ini.
Bumi samurai ini perlukan cahaya islam yang menyinar.
Perlu disuburkan.
Ianya gersang.
Hedonisme menggila di sini.
Sifat kagum entah apa-apa terhadap barat, amat memuncak.
Bangunan-bangunan menjulang langit, tak terkira bilangannya.
Teknologi dunia gajet, dibangga melangit.
Hidup mesti ditambah baik, itu kata mereka.
Kerja yang bagus, itu menjamin hidup.
Itu juga kata mereka.
Sedang insan-insan homeless makin bersepah tak terjaga.
Meh tengok sat...



Insan-insan homeless di bumi samurai ini digelar 'gentleman'.
Mereka tidak meminta-minta, setahu aku.
Rasa kasihan akan menjalar ke seluruh urat nadi.
Pabila bertemu dengan mereka di tengah kesibukan kota Tokyo, selalunya.

Aku terdiam menghadam realiti.
Dunia tak bisa dibiar terus begini.
Islam dibawa menyebar kesejahteraan.
Tapi banyaknya insan merana.
Apakah gerak kerja KITA belum cukup kencang?
Itu yang tak percayakan Tuhan, lain ceritanya.
Yang percayakan Tuhan pun, ramai yang terkapai-kapai sendiri.
Mengah mengikut arus dunia.
Kenalan-kenalan aku sendiri.
Berhidung pesek.
Berkulit sawo matang.
Bermata bundar.
Serumpun lah, senang kata.
Seakidah juga, tak mudah menghadamnya.
Ternyata jahiliyah masih memekat.
Yang tersedar, tak bisa berdiam lagi.
Arus gila itu perlu ditongkah.
Umat perlu diselamatkan.



~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


Tak bisa dilengah lagi.
Detik-detik masa terus berlari pergi.


[Osaka, Jepun. Malam. 17/2/2011]

No comments: