Selamat datang bayu berhawa dingin.
[kredit kepada pemilik asal foto ini-lupa sumber]
Salam rindu-rinduan.
Eceh.
Alhamdulillah 2011 ini sudah menghala ke saat-saat penghujungnya. Mengikut kiraan Incik Pope Gregory XIII (baca: gregorian calendar) yang dipersetujui ramai, dengan izinNya, beberapa hari lagi, akan menghilanglah bulan september, menjelmalah pula purnama oktober. Bayu musim luruh yang sudah mula berhembus pun akan lebih mesra berpuput menemani luruhnya dedaunan kuning keemasan yang mengering di pepohonan.
Iya. Musim luruh sudah mampir menjenguk muka. Kembali berkasih sayang bersama isi bumi selainnya di tanah radiasi ini, sebelum menyerahkan tugas memesrai alam ini kepada musim salju yang bakal menyaksikan butir-butir putih dingin yang akan turun membekukan bumi.
Sejuk.
Tanah radiasi ini akan mula menyejuk.
Tika ini, dialog-dialog klise akan terdengar lagi. Di mukabuku, di laman kicau, di alam maya mahupun di alam nyata. Di mana sahaja di ceruk bumi radiasi ini.
"Sejuknyaaaaaaa... kalau panas kan best."
"Susahnya nak bergerak waktu sejuk-sejuk gini.Nak kena berbalut segala. Musim panas ugokiyasui (senang nak bergerak)."
"Kulit jadi mengering, kasar, gatal-gatal bila cuaca sejuk. Hidung pun kadang-kadang berdarah. Kalau natsu (musim panas) takdenye jadi gini."
"Rela tidur terlentang dalam kepanasan daripada tidur mengerekot dek kebekuan."
Sedangkan suatu masa dahulu, ayat-ayat begini pula yang selalu kedengaran:
"Panas sungguh alam ini. Garang benar mentari mencerlang. Kalau sejuk kan seronok."
"Panaihnya cuaca... membahang. Kena kipas-kipas sokmo. Kalau musim sejuk, idokle letih tangan mengipasnye..."
"Berpeluh sakan di musim summer begini. Andai musim winter, takde nya nak peluh gini."
"Tak boleh keluar sangat, uv memancar hebat di luar. Rosak kulit nanti. Kalau winter, langit teduh je rasanya."
***
Keliru.
Manusia itu berubah pendapat mengikut suasana, atau suka merungut tak kena masa?
Sejujurnya, saya juga kerap begitu. Astaghfirullah al azim... Seringkali mengeluh tak kena gaya, merungut tak berpada-pada. Walau selalu kesal dengan tingkah sendiri. Huuuuu...
Manusia itu diciptakan berfitrah oleh Allah. Mengeluh itu memang fitrah manusia. Atau bahasa mudahnya, manusia selalu tak puas hati terhadap banyak perkara. Iya, manusia itu sentiasa cenderung untuk merungut segala.
"Sungguh, manusia diciptakan bersifat suka mengeluh. Apabila dia ditimpa kesusahan dia berkeluh kesah, dan apabila dia mendapat kebaikan (harta) dia jadi kikir,"
[surah al-ma'arij 70: 19-21]
Jemput baca ayat 22-34 dalam surah yang sama, di tafsir al-quran milik kalian sendiri yaaa...
Mari berpada-pada dalam meluah rasa, melontar bicara. Bimbang sekali ianya menjadi bukti ketidaksyukuran sebagai hamba.
Syukur.
Setinggi mana kesyukuran kita?
Manusia.
Pabila susah, bukan main lagi meratap tangis, meluah hiba, memohon bantuan Pemilik Cakerawala. Sesudah dihulur bantu, seenaknya berbuat sesuka hati, seolah tak pernah ada sendu. Allahu...
Oh ya, di bawah ini saya sertakan sedikit pesanan ringkas daripada Pemilik Cakerawala, yang termaktub lama di kitab agung tiada tara. Jemput baca ya.
"Dan apabila manusia ditimpa bahaya dia berdoa kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri, tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu daripadanya, dia (kembali) melalui (jalannya yang sesat), seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada Kami untuk (menghilangkan) bahaya yang telah menimpanya. Begitulah orang-orang yang melampaui batas itu memandang baik apa yang selalu mereka kerjakan. "
[surah yunus 10:12]
noted: Menjulang syukur itu lebih payah daripada melapangkan sabar.
Sila percaya.