Friday 5 August 2011

Kuburan. #2 : Tanah kuburan di Bumi Sakura

04 Ramadan 1432H.

Hari ini saya gagahkan juga diri untuk menaip di sini. Rasa terpanggil sangat untuk mencoretkan sesuatu di sini, selagi mana kimochi(mood) ini masih ada. Iya. Selagi mood untuk menulis tentang kuburan ini masih ada menyala-nyala.



Sebahagian daripada kuburan muslim yang ada.


Hari ini, usai solat zohor, saya bersama cik hosmet bersama-sama dengan 2 orang sensei(cikgu), pergi menerjah ke tanah perkuburan muslim di Enzan, Yamanashi. Saya pernah menyentuh sedikit tentang tanah perkuburan ini di sini, dan berjanji untuk menceritakan dengan lebih kuwashii(terperinci) lagi tentangnya. Jadi, entri ini adalah entri susulan bagi entri tersebut. Saya jadikan entri ini dalam bentuk cerita, agar saya sendiri tak bosan apabila membaca tulisan ini kembali di lain masa.

Pemergian kami ke tanah perkuburan itu juga disertai oleh warga Melayu Malaysia yang memakmurkan tanah Yamanashi, seramai 5 orang. Mereka menaiki sebuah kereta yang lain, sedang saya bersama cik hosmet menaiki sebuah kereta lain bersama para sensei. Kesemua mereka berlainan jantina dengan saya. Mereka lelaki. Warga Yamanashi yang sejantina dengan saya, sepertinya ada hal lain yang menghalang mereka untuk bersama kami menerjah ke tanah perkuburan itu.


Yang kanan ialah kuburan muslim, yang kiri ialah kuburan nihonjin(orang Jepun).

Mengapa penerjahan kami ke kuburan disertai sensei? Anda normal jika tertanya-tanya sebegitu. Baiklah baiklah, mari saya susun ayat cantik-cantik agar mudah difahami.

Begini... Tanah perkuburan islam di bumi samurai ini hanya ada 3, dan tanah perkuburan yang di Enzan ini adalah salah satunya. Alhamdulillah, hasil kerja dakwah yang bersepadu oleh para muslim hebat di sini, bilangan mualaf makin bertambah. Seiringan dengan itu, bilangan kuburan juga sepatutnya bertambah. Tetapi, itu tidak berlaku. Bilangan muslim bertambah, tetapi keluasan tanah perkuburan masih sebanyak itu. Wah wah, ini masalah. Takkan mahu sumbat-sumbat je jenazah yang bakal ada? Memikirkan soal ini, tampil lah beberapa insan berwibawa yang membawa harapan melebihi segala ketinggian gunung, untuk mengusahakan tanah lain, yakni menambah keluasan tanah perkuburan yang sedia ada. Sebelum anda melanjutkan pembacaan entri ini, sila tanamkan kemas-kemas dalam minda, bahawa di bumi samurai ini, untuk memiliki tanah berkeluasan sekangkang kera adalah teramat payah, apatah lagi untuk mendapatkan tanah yang agak luas bagi tujuan menempatkan jenazah-jenazah yang bakal ada. Ianya adalah amat susah, tidak mudah, dan amatlah memerlukan proses yang mendoukusai(leceh lagi melecehkan). Jadi, kira banyak 'fight' jugalah si insan berwibawa tadi untuk dapatkan tanah di sini, bagi tujuan itu. Dan alhamdulillah, tanah yang diharapkan itu dapat diperoleh. Betul-betul bersebelahan dengan tanah perkuburan yang sedia ada di Enzan ini. Tanahnya berbukit, curam jugalah sikit-sikit. Ada satu mata air (kolam kecil) di bahagian atas tanah itu.

Tanah sudah dapat, pelan(design) untuk kuburan pula diusahakan. Kali ini, dengan kerjasama insan kreatif di alam lukisan. Secara sukarela, pelan kuburan dilukis indah. Saya melihat sendiri lukisan bertatahkan water colour pelbagai warna, sebelum ianya diterjemahkan dalam bentuk printing oleh komputer. Amat cantik dan sugoi(hebat) jika tanah perkuburan yang ingin diusahakan ini benar-benar direalisasikan seperti yang dilukis itu. Bayangkan, di kawasan tanah berbukit, yang di bahagian atasnya terdapat satu kolam kecil, air dari kolam itu disalurkan di sisi kanan dan kiri kuburan. Kubur-kubur pula disusun berlapis-lapis, tidaklah berterabur seperti yang sedia ada ini. Diserikan lagi dengan kuntuman bunga pelbagai warna dan rupa, menghiasi atas kuburan. Wah wah, ini akan menampakkan keindahan islam yang sememangnya indah.

Pelan sudah ada, pembinaan kawasan kuburan pula diusahakan. Aktiviti menarah tanah itu yang berbukit, menanam rumput di bahagian tepi kuburan, dan aksi-aksi pembinaan lain yang saya tak fahami telah dilaksanakan, ini agar tanah tak mudah terhakis di kemudian hari. Tak sempat proses pembinaan kawasan kuburan ini sempurna disiapkan, air yang entah dari mana, keluar memancut-mancut, membasahi tanah di kawasan pembinaan. Dipercayai air itu datangnya dari bahagian atas bukit. Almaklumlah, kawasan berbukit sememangnya banyak mata air. Kehadiran air ini telah menyebabkan proses pembinaan kawasan kuburan baru ini tergendala. Nasihat daripada orang yang arif tentang hal-hal tanah diperlukan. Atas sebab inilah, sensei-sensei itu dibawa bersama menerjah ke tapak pembinaan kuburan baru. Bagi yang berkerut dahi, sensei-sensei itu adalah tenaga pekerja di Universiti Yamanashi, tempat kami menuntut ilmu. Para sensei itu telah memberi kesediaan untuk membantu memberi idea dan pendapat bernas tentang apa yang sedang berlaku di tapak kuburan baru, memandangkan para sensei itu adalah orang yang mempunyai ilmu dalam hal-hal tanah. Err.. faham ke?


Saliran air yang dibina, dan jaring yang dipasang bagi tujuan menghalang hakisan tanah.



Saliran air itu dihalakan ke bahagian bawah bukit.

Mungkin ada yang tertanya-tanya, mengapa pihak yang melakukan kerja-kerja pembinaan itu tidak selesaikan sendiri masalah ini? Adakah pihak itu tak mempunyai pakar yang mengendalikan 'projek' ini, yang memantau kerja-kerja pembinaan, lalu mampu menyelesaikan masalah berbangkit sebegini? Takkanlah sampai nak kena minta pendapat 'orang luar' seperti sensei universiti? Ini projek besar, bukan seperti main pondok-pondok di alam kanak-kanak. Iya, terima kasih kerana bertanya. Mari saya jawab seringkasnya, tidak ada. Kalau ada, sudah lama selesai masalah. Oh ya, lupa saya nyatakan, jumlah dana yang diperuntukkan bagi 'projek' ini tidaklah sebesar mana, lebih mengharapkan belas ihsan manusia bersifat manusiawi, atas dasar tanggungjawab sesama manusia, dalam usaha menyelesaikan masalah manusia. Sensei-sensei itu juga ada menyatakan bahawa sekiranya dana yang ada adalah amat besar lagi bertimbun-timbun, masalah air yang keluar memancut-mancut itu dapat diselesaikan dengan membina seeloknya saliran air (bayangkan sahaja longkang), bagi menyalurkan air yang memancut itu ke kawasan bawah bukit. Buat masa ini, sejenis saliran air sudah dibina, untuk tujuan menyalurkan air itu, tetapi saliran itu tidaklah benar-benar mampu menyalurkan air dengan baik ke bawah bukit. Sekadar ada sahaja lah. Air masih juga membasahi kawasan tanah kuburan baru, menyukarkan proses pembinaan diteruskan. Lecak-lecak jadinya.



Tanah yang lecak dek air yang memancut keluar.


Lebih kurang pukul 1630pm, Obousan(sami) yang menjaga kawasan perkuburan itu tampil menyertai perbincangan bersama para sensei. Sebenarnya, Obousan itu yang tidak berada di Enzan pada awalnya, telah bergegas pulang untuk menyertai perbincangan bersama para sensei. Buat yang mahu tahu, kawasan perkuburan islam di Enzan ini adalah tanah milik Obousan itu. Di tanah yang sama, terdapat kawasan perkuburan nihonjin(orang Jepun), juga sebuah otera( kuil orang Jepun), yang dijaga oleh Obousan yang sama. Hebat kan? Seorang sami menjaga tanah perkuburan nihonjin dan islam sekaligus. Bagi memeriahkan lagi entri ini, mari kita bercerita serba sedikit tentang Obousan ini. Pada waktu dahulu, sebelum tampilnya insan berwibawa (muslim) yang concern tentang hal kuburan islam yang tak terurus dengan amat baik ini, si Obousan ini telah berkerut dahi memikirkan masalah yang sama. Iya. Si Obousan ini telah pening-pening kepala, cuba menyelesaikan masalah yang sepatutnya lebih memeningkan mereka yang islam(baca: bersyahadah). Panjang dan berselirat ceritanya, jika mahu dicoretkan di sini. Jadi, hadamkan sahajalah bahawa si Obousan ini adalah manusia yang mempunyai hati yang luas, sebagai seorang manusia. Oh ya, walaupun beliau bergelar sami, si Obousan ini sudah berkahwin dan mempunyai 3 orang anak, comel-comel belaka. Si Obousan ini amat baik. Beliau telah membenarkan kami solat dalam oteranya. Sejak dahulu lagi, sekiranya ada muslim yang datang menziarahi kuburan di sini yang mahu solat, akan disuruh sahaja solat di otera miiknya. Apa yang menarik, si Obousan ini pernah cuba-cuba solat di sebuah masjid di Tokyo, si Obousan ini telah memuji solat orang islam, yang mempunyai tomakninah(berhenti sebentar antara dua rukun solat). Katanya, solat orang islam ini rileks-rileks sahaja jika mahu dibandingkan dengan sembahyang yang diamalkan beliau selama ini.

Kembali kepada cerita tentang kuburan. Setelah perbincangan antara Obousan dan para sensei dan seorang insan berwibawa tamat, para sensei telah pulang mendahului kami. Berdasarkan daripada hasil perbincangan, sepertinya cadangan untuk membina kawasan perkuburan baru di tanah berbukit itu seakan perlu ditimbangtara semula, mungkin juga dibatalkan. Iya, batal. Jika rencana awal cuba diteruskan, jumlah duit yang diperlukan untuk menjaga kawasan sisi kiri dan kanan yang bersaliran air itu lebih tinggi bajetnya daripada pembinaan kuburan itu sendiri. Harga tanah di Enzan yang ala-ala kampung ini yang perlu dibayar adalah lebih mahal, seperti tanah di kawasan bandar di Tokyo. Tak berbaloi, kata para sensei. Dana yang ada tak sebanyak mana. Oh Tuhan.

Tamat sesi perbincangan. Aksi bersih-membersihkan sekitar kawasan perkuburan yang sedia ada dilakukan dengan penuh komitmen. Terbongkok-bongkok kami menyapu dedaunan kering yang ada, mencabut pokok mati yang masih terpacak atas kuburan. Usai sahaja aksi-aksi itu, kami terus sabar menanti waktu berbuka. Juadah berbuka puasa kami pada hari ini disediakan khas oleh isteri Obousan, yang bertungkus-lumus menyiapkan hidangan seorang diri, walau kami (yang perempuan), telah berbasa-basi menawarkan pertolongan di dapur.


Selepas tidak dibenarkan menolong di dapur, kami membawa diri ke ruang tamu (dalam otera), berkumpul sesama kami. Si insan berwibawa telah mengambil kesempatan ini dengan bercerita serba sedikit tentang perjalanan kisah yang membuatkannya 'terjebak' dalam kerja-kerja menaiktaraf sistem kuburan di Enzan ini. Oh ya, si insan berwibawa ini adalah seorang rakyat marhaen Malaysia yang berjantina seperti saya, seorang perempuan. Beliau telah berkolaborasi dengan seorang insan berwibawa yang lain(seorang pakcik berasal dari Turmekistan-kalau tak silap) dalam hal ini. Sayang sekali, pakcik itu tak dapat hadir menyertai kami pada hari ini menjayakan 'misi kubur'. Daripada cerita si insan beriwbawa itulah, saya makin mengerti hal-hal kuburan Enzan ini, walau saya tidaklah sefaham mana.

Tamat bercerita, masih belum waktu berbuka. Saya pula cuba mengajukan soalan cepumas kepada warga Yamanashi yang ada di situ. Spontan.

"Apa kegembiraan bagi orang-orang yang berpuasa?" soal saya.

"Ketika berbuka." Jawab seorang junior. Pantas.

"Waktu nak makan sewaktu berbuka" Lontar seorang junior yang lain.

Bertubi-tubi jawapan diberi, semuanya membawa maksud yang sama, walau ayatnya sedikit berbeza. Saya menanti jawapan yang lagi satu sebenarnya.

"Kegembiraannya ada dua. Apa yang lagi satu?" Saya meemparkan hint jawapan.

Semua pakat duk geleng kepala, tanda tak tahu. Sedikit kecewa saya.

"Ketika melihat wajah Allah." Satu jawapan hebat muncul juga. Itu dari mulut cik hosmet saya.

"Iya. Kegembiraan bagi orang-orang yang berpuasa ada dua, iaitu ketika berbuka dan ketika menemui Tuhan nya." Saya mengolah jawapan yang ada.

"Menemui Tuhan itu, contohnya ketika kita bersolat, membaca al-Quran, berzikir dan yang seangkatan dengannya." Jawapan cuba dihurai ringkas.

"Kalau kita yang berpuasa ini, hanya gembira ketika berbuka, tapi tak rasa gembira lagi teruja sewaktu menemui Tuhan, sepertinya ada unbalance di situ. Tak seimbang lah senang kata." Selamba saya bersuara begitu.

"Ayat suruhan berpuasa itu diturunkan di mana? Di Makah atau di Madinah?" Satu soalan lain saya lontarkan lagi.

"Di Madinah." Laju jawapan itu diberi oleh junior saya.

"Kenapa pula diturunkan di Madinah, tidak di Makah? Apa pula beza ayat yang turun di Makah dan Madinah?" Bertubi-tubi soalan susulan saya lontarkan. Cuba menguji. Kening diangkat sedikit.

"Err... ayat tentang ibadah seperti berpuasa ini turun di Madinah. Bukankah ayat-ayat yang turun di Makah adalah ayat-ayat berkenaan akidah?" Agak ragu-ragu penerangan jawapan itu diberikan, tapi saya puas hati.

Kira ok lah tu. Ada juga hujah sokongan bagi jawapan sendiri.

"Waktu di Makah, hal-hal akidah yang ditekankan." Huraian susulan muncul lagi dari junior itu. Saya tersenyum tak semena-mena.

Gembira saya apabila para junior mempunyai kefahaman sebegini. Bersyukur sebenarnya.

Sesi menjawab soalan terhenti apabila makanan-makanan mula dihidangkan. Lantas, kami kaum hawa bangkit membantu sesi menghidang juadah berbuka.


Sebahagian daripada juadah yang ada. Sedap semuanya.



Ni popia yang dibawa sendiri.


Alhamdulillah, sedap-sedap semuanya. Banyak sungguh makanan yang ada. Tak terhabis pun. Masing-masing berusaha menghabiskan sebanyak mungkin juadah yang ada, tapi terpaksa menyerah kalah apabila perut terasa memberat.

Usai berbuka, kami bersama-sama menunaikan solat maghrib berjemaah. Iya, kami solat dalam otera itu, di hadapan patung-patung yang dianggap Tuhan oleh Obousan itu.

Apa yang menariknya lagi, si Obousan itu telah menyertai kami menunaikan solat maghrib. Satu persatu rukun solat dilakukan beliau. Rukuk, iktidal, sujud, tahiyat, sehinggalah ke salam terakhir. Beliau telah lama menunjukkan minat kepada islam. Cuma statusnya sebagai sami yang menghalang beliau untuk bersyahadah. Beliau menyertai kami solat itu pun kerana hari sudah malam, tiada orang di otera itu. Bimbang orang akan salah faham tentangnya barangkali. Bagi yang mahu tahu, ayah kepada Obousan ini sudah pun mengucap syahadah. Apa yang saya faham, si Obousan masih cuba mengenal islam, cuma tak berapa terang-terangan kerana menjaga statusnya sebagai sami. Hidayah itu milik Allah. Moga Allah beri yang terbaik buat si Obousan itu.

Selesai solat, kami semua bergegas pulang untuk menunaikan solat sunat tarawikh. Kepulangan kami itu juga sebenarnya bersama bekalan makanan, juga buah momo(buah pic) yang besar sihat lagi menyelerakan, oleh isteri Obousan. Wahwah, baik sungguh mereka ini.

Okeh okeh.

Panjang pula saya menulis di sini. Saya tulis entri ini pun, hanya kerana mahu bercerita tentang kuburan Enzan, yang tak diketahui kewujudannya sangat pun oleh muslim di bumi samurai ini. Kuburan ni amatlah perlu perhatian daripada ramai pihak, terutamanya muslim itu sendiri. Negara sakura ini majoritinya orang kafir, walau akhlaknya mengalahkan kebanyakan muslim. Siapa lagi yang mahu cakna soal kuburan sebegini kalau bukan kita yang bersyahadah ini?

Saya menyimpan harapan yang amat besar tentang hal ini. Saya mengharapkan tanah perkuburan Enzan ini dilawati oleh setiap warga Melayu Malaysia yang menetap di Yamanashi terutamanya. Perlu diziarahi sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Alangkah gah nya apabila populariti tanah perkuburan Enzan ini mengatasi populariti Fujisan(Gunung Fuji) di Yamanashi ini. Maksud saya, di kalangan muslim di Yamanashi. Selalunya apabila ditanya tentang tempat-tempat yang menarik di Yamanashi, yang dibanggakan ialah Fujisan, Fujikyu (sejenis taman tema seperti Genting Highland), dan segala jenis ladang buah-buahan yang ranum bertumbuh di sini. Saya sudah mula menukar jawapan kepada soalan yang sama. Saya akan menjawab keistimewaan tanah Yamanashi adalah Yamanashi memiliki tanah kuburan islam yang bertapak di sini. Wahwah kakkoii (macho lagi bergaya) sungguh jawapan sebegitu.

Kalau ada di antara anda yang membaca entri ini dapat menyebarluaskan kisah kuburan ini, amatlah bergaya nya anda.

Moga ada saham anda melalui kuburan ini, di akhirat Sana.

Ramadan Kareem.

4 comments:

Habibah said...

subahanallah3... Islam di tanah asing ini... Semoga projek ini berjaya.. teringin gak nak pergi. merasai maknanya hidup menginsafi maknanya mati. mereka mati dalam iman dalam masyarakat lainnya tidak mengenal syahadatain...subahanallahhh..

Syafa Mohamed said...

akak....syukran jazillan...banyak yang syafa dapat belajar untuk entry akak kali nie....

arigatou...socchi ikitai naaa...to omotte.

doakan kami yer akak,untuk kuat bangkit
sama-sama berjuang dan terus thabat di jalan ini...ya,segalanya pasti tiada mudah,tapi tidak mustahil kn akak...^^

Ain Mardhiah said...

salam ziarah dari akhwat jordan..

awwalan, ramadan kareem... =)

tertarik dengar kisah kuburan islan di jepun nih. suka sangat bila dengar ada usaha nak menaikkan islam di bumi asing. moga usaha kalian berhasil dan dipermudahkan. amin.. =) insyallah kalau satu hari nnti sy smpai jepun, tempat ni mesti masuk dlm list nak pergi.. ^^

lastly, salam taaruf~ ^_^

p/s: sy nak minta izin link ya..

Teratai Biru said...

Habibah :

InsyaAllah. Sama2 doakan projek ini berjaya. Marilah dtg yamanashi, nnt boleh kita pergi sama2 iA. Hidayah itu milik Allah, diberikan kepada hamba2 Nya yg terpilih shj. =)


Syafa :

Kite kudasai. mattemas yo~
Yang mustahil itu takkan pernah mudah. ^^


Ainul :

Jzkk atas ziarah. Terima kasih juga atas doa. Jemputlah dtg ke jepun. Nanti iA boleh tengok sendiri keadaan sebenar kuburan ini. Salam taaruf.^^ Silakan link, terima kasih.