Friday, 14 June 2013

Tetaplah berangkat.

Satu.
Ibrahim yang menanti kehadiran anak bertahun-tahun lamanya. Tuhan yang Maha Kuasa menganugerahkan sabar buatnya.

Dua.
Ibrahim dikurniakan anak di usia tua. Ibrahim gembira sekali. Doanya dijawab Tuhan yang Maha Mendengar.

Tiga.
Tuhan punya rancangan sendri. Ibrahim diperintah meninggalkan si isteri yang setia, dan si bayi yang masih merah di tengah padang pasir. Tiada air. Tiada bekalan makanan. Tiada janji untuk berjumpa lagi.

Empat.
Bertanyalah si isteri, " Mengapa?"

Lima.
Ibrahim yang sudah berair mata, menjauh dari si isteri dan si bayi. Tak sanggup memberi jawapan. Sayu sekali meninggalkan si isteri dan si bayi di tengah gurun. Dia sedang diuji Tuhannya.

Enam.
Si isteri mengubah soalan, "Adakah ini perintah Allah?". Pertukaran soalan jelas menampakkan ketaqwaan si isteri.

Tujuh.
Soalan yang ditukar membuatkan Ibrahim berhenti melangkah. Soalan ini memberi kekuatan kepadanya untuk menjawab. Jawabnya, " Iya."

Lapan.
Jawab si isteri, "Baiklah jika begitu. Tuhan akan memelihara kami di sini."

Sembilan.
Selepas beberapa tahun, Tuhan menemukan Ibrahim dengan si anak tercinta. Si anak yang pernah ditinggalkan di padang pasir tanpa sebarang bekalan. Kerinduan Ibrahim pada anaknya terubat juga. Sifat manusiawinya jelas terpancar. Ibrahim, seorang bapa yang merindukan anaknya!

Sepuluh.
Tuhan itu benar-benar Maha Merancang. Ibrahim didatangi mimpi yang menghantarkan perintah Allah. Ibrahim diperintah agar menyembelih anaknya. Dengan tangannya sendiri!.

Sebelas.
Ibrahim manusia biasa. Dia berasa berat untuk menyembelih anaknya sendiri. Kerinduan yang baru terubat, kini diuji lagi.

Dua belas.
Ibrahim patuh pada perintah Tuhannya. Walau hatinya berat, dia tetap melaksanakan perintah Tuhan. Dia memejamkan mata sewaktu meletakkan pisau di leher si anak kesayangan. Tak sanggup melihat percikan darah anaknya.

Tiga belas.
Lalu Tuhan itu benar-benar Maha Penyayang. Si anak digantikan dengan seekor domba.

Empat belas.
Tuhan mengajarkan tentang ikhlas, melalui Ibrahim.

Lima belas.
Ikhlas itu bukanlah pada keringanan dalam melakukan sesuatu perintah Allah. Ikhlas adalah tetap melaksanakan perintah, walau terasa berat lagi berbelah-bagi.

---

Tuhan tidak menyuruh agar kita berusaha untuk berasa RINGAN dalam melaksanakan perintahNya.

Tuhan memerintahkan agar kita TETAP melaksanakan perintahNya, dalam keadaan apa pun.


"Berangkatlah kamu baik dengan rasa ringan maupun dengan rasa berat, dan berjihadlah dengan harta dan jiwamu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui. " [At-Taubah 9 : 41]


Kadang-kadang, kita cenderung menganggap orang lain yang rasa susah untuk berbuat baik itu adalah orang yang tak ikhlas.

Sehingga timbul pernyataan sebegini ,

"Lebih baik infaq RM10 yang ikhlas, daripada RM100 yang tak ikhlas."

"Lebih baik buat solat sunat bila teringin je asalkan ikhlas, daripada duk tunggang terbalik solat sunat, tapi tak ikhlas. Tak ada rasa."

"Lebih baik baca quran sehari 1 mukasurat je asalkan kita feel bila baca, daripada baca 5 mukasurat sehari, tapi tak ada rasa."

Allahuakbar!

Ikhlas itu rahsia Tuhan. Siapa kita untuk menilai yang ini ikhlas, yang itu tak ikhlas?

Mungkin lebih tepat untuk kita tukar perkataan 'ikhlas' dalam setiap ayat di atas tu kepada 'ringan'?

Lihatlah betapa indah dan moleknya Tuhan mengajar kita dalam berbuat ketaatan.

Hanya buat.

Berat atau ringan itu belakang kira.

Mungkin rasa berat itu adalah sesi penghapusan dosa buat kita.

Mungkin kita lupa, manusia akan diuji sehingga sehingga dia benar-benar layak menjejak ke Syurga!

Ujian ; sesuatu yang menyesakkan dada.

Ujian : sesuatu yang memberatkan jiwa kita untuk melaksanakannya.

Walaupun manusia lain selamba melakukannya. Dengan ringan sekali.

"Apakah manusia mengira bahwa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, "Kami telah beriman, " dan mereka tidak diuji? [Al-Ankabut 29 : 2]


Dalam islam, memang tiada paksaan.

Dalam mencapai taqwa, memang perlukan paksaan.

Itulah mujahadah.

Sebagaimana Ibrahim TETAP meninggalkan si isteri dan si anak yang masih merah di tengah gurun, walau sudah berair mata. Sayu.

Sebagaimana Ibrahim TETAP mahu menyembelih si anak yang baru dipertemukan Tuhan, walau dia memejam mata. Pilu.

Ibrahim TETAP melaksanakan perintah Tuhannya.

Iman itu di luar keterbatasan akal!


---

Nota : Perkongsian yang diadaptasi dari bacaan terkini daripada buku 'Jalan Cinta Para Pejuang - Salim A Fillah' .

Nota lagi : Kebelakangan ini, saya banyak ditegur 'direct' oleh Tuhan Semesta alam. Terasa benar sentuhan Tuhan. Mohon doa ya?


.

No comments: